Uqasha Senrose ketepikan kisah sensasi


Tidak dinafikan, banyak cerita panas dan sensasi melibatkan Uqasha Senrose di jaluran media sosial.

Bagaimanapun, Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen ini tidak mudah melatah dan enggan memikirkan hal remeh-temeh.

Paling penting bagi Uqasha ialah fokus kepada kerjaya demi meletakkan diri sebaris pelakon versatil sedia ada.

Pertemuan bersama Uqasha pada sambutan ulang tahun ke-25 pada 6 Julai lalu membuka ruang buat bintang berasal dari Kelantan ini dalam berkongsi soal kerjaya juga cerita sensasi yang sering menghimpit.

Menyifatkan dirinya bertuah kerana masih mempunyai kelompok peminat yang sentiasa menyokong perkembangan seninya, Uqasha juga terharu dengan semangat yang tidak pernah putus daripada keluarga, sahabat terdekat dan rakan media.

Hubungan kekeluargaan yang rapat turut mendorong Uqasha Senrose menjadi lebih kuat dan tabah mengharungi liku-liku sebagai anak seni.

Sejak kecil, mereka sudah terdidik untuk saling hormat dan menyayangi di antara satu sama lain.

Cubit paha kanan, paha kiri juga terasa.

Begitulah perumpamaan di antara Uqasha dan dua lagi adiknya, pelakon Nelydia dan Raysha Rizrose.

Menyifatkan setiap langkah pasti akan tersungkur namun dia bersyukur kerana adik-beradik lain menyokong dan banyak memberi nasihat berguna.

Pelakon drama 26 episod Khabar Dari Casablanca itu mengakui bangkit semula dan berusaha melangkah.


Walaupun kerjaya seninya kian positif, kata Uqasha, dia tidak mahu terlalu cepat berpuas hati dengan respons yang diterima daripada peminat.

Uqasha nyata lebih selesa bersikap low profile dalam lakonan, tetapi pada masa sama cuba memberikan yang terbaik di dalam setiap drama yang dilakonkan.

“Sejujurnya, saya bersyukur atas apa yang berlaku kerana sudah ada yang boleh terima lakonan saya. Meski pada peringkat awal ada yang pesimis, tapi itu bukan halangan untuk saya membuktikan kebolehan diri.

“Sebab saya sedar, saya juga tidak boleh paksa orang untuk suka atau puas hati dengan lakonan kita. Tapi bila ada komen positif yang membina, secara tidak langsung memberikan saya semangat untuk terus buat yang terbaik. Setidak-tidaknya, saya mencuba,” kata bintang Paku Pontianak yang bakal terlibat dalam drama bersama Michael Ang tidak lama lagi.

Reaksi positif

Uqasha tidak menolak bahawa watak Puteri Emallyn dalam Hero Seorang Cinderella menjadi penanda aras buatnya dalam lakonan.

Malah, dia mengakui bertuah kerana rezeki masih berpihak kepadanya, biarpun waktu itu dia terpalit dengan pelbagai kisah yang kurang enak didengar.

“Seronok bila masih ada peminat yang sayang dan menghargai. Sebab sebenarnya takut juga dengan penerimaan penonton bila drama tersebut ditayangkan kelak.

Bimbang dengan reaksi yang bakal saya terima. Tapi tak sangka pula, bila bawa watak antagonis, ramai yang suka.

“Bila dapat skrip, saya rasa watak ni sangat interesting kerana Puteri bukanlah watak jahat sepenuhnya. Dia anak manja yang terikut-ikut dengan perangai ibunya yang baran dan pendendam.

“Tapi at the end of the story, dia mula sedar dan mencari dirinya sendiri,” kongsi Uqasha.

Bagaimanapun, Uqasha tidak mahu tertekan dengan perbandingan kualiti watak Puteri dan watak lainnya selepas ini.

Justeru, kata Uqasha, apa yang boleh dilakukannya adalah berusaha untuk mengikut standard yang diberikan pengarah.

Jelasnya lagi, seperti biasa apabila mendapat tawaran, dia akan terlebih dahulu meneliti skrip yang diberikan selain banyak bertanya pengarah.

Tak kisah watak pembantu

Sementara itu, pelakon drama Tundukkan Playboy Itu juga tidak meletakkan syarat di dalam pemilihan watak dan berpendapat sebagai pelakon tidak perlu selektif dan hanya mahu watak heroin sahaja.

“Setiap pelakon punya pendirian yang khusus. Saya tidak kisah bawa watak apa pun, misalnya pembantu kerana kita sedia tahu kadang-kadang watak pembantu pun boleh beri impak besar buat penonton.

Bukan sekadar menjadi tempelan semata-mata.

“Jadi saya tak kisah, asalkan karyanya baik dan mencabar diri. Paling penting, saya mahu cuba pelbagai watak selepas ini untuk menguji sejauh mana saya boleh pergi dalam lakonan,” azam Uqasha yang turut berlakon di dalam klip video Pejamkan Mata nyanyian Malique dan Dayang Nurfaizah.

Post a Comment

Previous Post Next Post