Hafiz Suip pertaruh lagu rancak


Setelah hampir dua tahun menyepi daripada aktiviti seni, Hafiz Suip, membuat kemunculan semula di persada muzik tanah air dengan lagu berjudul Kejar demi mengubati kerinduan peminatnya.

Lagu yang membawakan genre muzik pop ini adalah hasil nukilan komposer terkenal tanah air, Audi Mok dengan kerjasama Shazee Ishak yang juga penulis lirik lagu.

Membuat perhitungan yang cukup berani untuk lari daripada imej penyanyi balada yang dibawa sebelum ini, Hafiz mempertaruhkan Kejar, iaitu lagu yang berentak rancak dengan iringan melodi santai.

Menurut Hafiz, kandungan bait-bait liriknya pula cukup ringkas iaitu mengisahkan sebuah percintaan luar biasa.

Mengulas mengenai kemunculan semula menerusi lagu Kejar, pelantun lagu popular Bahagiamu Deritaku ini berkata, ketika memulakan kerjaya nyanyian, dia hanya membawakan lagu berentak balada

"Tidak dinafikan, lagu-lagu itulah yang berjaya melayakkan saya meraih pelbagai anugerah seterusnya membantu melonjakkan nama saya dalam industri ini.

"Apabila sebut sahaja nama ‘Hafiz Suip’, peminat akan membayangkan saya membawakan lagu-lagu berentak perlahan yang penuh dengan emosi. Itulah imej saya di mata peminat tapi sebagai seorang penyanyi, saya perlu tampil versatil. Lagi pun, cita rasa peminat muzik sentiasa berubah-ubah mengikut peredaran zaman. Saya sedar, untuk terus bertahan dan kekal relevan dalam industri seni yang cukup kompetitif ini, saya tidak boleh sentiasa berada di takuk yang lama.


Memandangkan lagu ini adalah buah tangan terbarunya, kata Hafiz, penting untuk lagu ini memenangi hati peminat dan menjadi titik permulaan buatnya menjadi seorang penghibur serba boleh.

Lagu ini boleh didengari di di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music manakala muzik videonya boleh ditonton secara eksklusif menerusi saluran Youtube Rocketfuel Network mulai minggu hadapan.

Menurut Ketua Muzik Label, Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd, Adam Lobo, Hafiz mempunyai kelebihan tersendiri dan Kejar pula adalah lagu unik yang memberi nafas baru dalam kerjaya Hafiz.

"Kehebatan vokalnya menyampaikan lagu balada seperti Awan Nano, Bahagiamu Deritaku, Matahari dan lagu duet seperti Ombak Rindu, Muara Hati dan Salahkah memang tidak boleh disangkal menjadikan dia seorang penyanyi lelaki yang dikagumi," katanya.

Lagu Kejar juga boleh dimuat turun di iTunes sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan.

Post a Comment

Previous Post Next Post