Syafiq Farhain tidak mahu dibayangi Saleem


Masih berkhidmat sebagai anggota bomba, Syafiq bagaimanapun tidak mahu meninggalkan kerjaya tersebut kerana sudah bergelar penyanyi.

Kehadiran jejaka tinggi lampai dengan nama Syafiq Farhain dalam gelanggang seni tempatan itu semestinya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Menjadi anak kepada penyanyi kumpulan Iklim, A. M. Salim Abd. Majeed atau lebih dikenali sebagai Saleem, membuatkan tontonan klip video lagu sulungnya berjudul Sayang Maafkan Aku mencanak naik sehingga 1.4 juta hanya dalam masa tiga minggu selepas dilancarkan menerusi YouTube.

“Saya terharu dan benar-benar tidak menyangka apabila melihat jumlah penonton terus meningkat naik hanya dalam masa tiga minggu selepas lagu Sayang Maafkan Aku dilancarkan.

“Barangkali ada yang sudah mengenali saya melalui aplikasi Smule sebelum ini. Selepas itu mereka mengetahui saya merupakan anak Saleem, jadi ia membuatkan orang berminat untuk menonton klip video tersebut,” katanya ketika ditemui semasa sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Biarpun terharu dengan sambutan yang diberikan peminat, sebagai pendatang baharu, Syafiq atau nama lengkapnya, Nursyafiq Farhain tetap tidak boleh lari apabila kehadirannya sering disamakan seperti cara nyanyian bapanya.


Syafiq Farhain - Sayang Maafkan Aku

Kerjaya

Lelaki berusia 23 tahun itu turut mengakui populariti bapanya sedikit sebanyak membantu namanya untuk naik dalam industri muzik tempatan.

“Memang tidak dinafikan ramai peminat yang menyatakan suara dan lenggok nyanyian saya seperti ayah. Saya tidak boleh lari daripada disamakan dengan ayah kerana memang itu realitinya.

“Namun, sebagai penyanyi baharu, saya tidak mahu terus selesa dengan situasi ini. Sebolehnya saya cuba mempertingkatkan mutu nyanyian agar berlainan dengan ayah dan ingin merasai bagaimana susahnya mencipta nama dari bawah,” katanya penuh optimis.

Terus rancak bercerita, Syafiq sebenarnya sudah mempunyai pekerjaan tetap. Dia merupakan anggota dalam pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Putrajaya.

Mula bertugas sebagai anggota bomba pada tahun 2013 di Johor, bagaimanapun pada awal bulan Mei lalu Syafiq dipindahkan ke Putrajaya bagi memudahkan urusan seninya.

“Saya mula menandatangani kontrak bersama syarikat rakaman MVM Production Sdn. Bhd. pada bulan Mac lalu. Selepas itu saya kerap berulang-alik dari Johor ke Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan nyanyian.

“Mujur pihak atasan memahami, jadi pada Mei lalu saya dipindahkan ke Putrajaya,” ujarnya tersenyum.

Ditanya tentang sebarang had masa untuk memberi fokus sepenuhnya kepada kerjaya seni, dengan tenang Syafiq memberitahu, dia selesa mengemudi dua kerjaya yang sedang dipikul pada bahunya itu.

“Saya akui bidang nyanyian dan badan beruniform merupakan minat saya sejak dari kecil. Buat masa ini, saya selesa dengan kerjaya sebagai anggota bomba dan tidak terfikir untuk berhenti.

“Kebiasaannya saya menerima undangan nyanyian pada hujung minggu, jadi saya akan cuba membahagikan masa antara kerjaya asal dan perjalanan sebagai anak seni dengan sebaiknya,” katanya seraya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post