Selepas lebih seminggu mendiamkan diri, pelakon Sara Ali, 27, akhirnya tampil menjelaskan tindakannya membuka tudung disebabkan enggan terus rasa bersalah melakukan perkara tanpa kerelaan hatinya.
Sara menerusi siaran video secara langsung dari akaun Facebook miliknya hari ini berkata, dia mula bertudung awal tahun lalu dan mengakui keputusan itu dilakukan atas sebab tertentu.
"Saya memakai tudung bukan atas kerelaan sendiri atau demi tuntutan agama tetapi untuk sesuatu.
"Tindakan itu membuatkan saya rasa bersalah selama setahun hingga hidup tidak tenang memikirkannya," katanya.
Menurut pelakon itu, keputusannya membuka tudung dilakukan selepas mengadakan perbincangan dengan keluarga, pihak pengurusan serta rakan-rakan industri seni.
"Perkara ini bukan membanggakan dan pada mulanya, saya terfikir untuk mendiamkan diri. Namun, saya tidak mahu terus menipu peminat dan semua orang.
"Walaupun ibu dan bapa tidak bersetuju, mereka akur dengan keputusan saya," katanya.
Sara turut memohon maaf dan mengakui kesilapannya kerana tidak berfikir panjang sebelum memutuskan untuk bertudung.
"Kepada peminat yang menonton rakaman langsung ini di Facebook, saya minta maaf kerana tidak menjadi diri sendiri dan sudah berusaha buat yang terbaik.
"Bagi saya perkara ini sudah berlaku dan tidak perlu dibincangkan lagi," katanya.
Baru-baru ini, Sara mencetuskan kontroversi apabila gambarnya tidak bertudung bersama seorang lelaki ketika berada di Shanghai, China tular di Internet.