Nura Semarak kembara seni


Tiada istilah kecewa, malah bersyukur dengan pengalaman yang diraih.

Inilah perasaan dilalui penyanyi Nor Atikah Mohd Yousof atau Nura, 19.

Pada usia semuda ini, penyanyi berasal dari Johor ini bertuah kerana berjaya mencatat kejayaan terbesar melangkah ke peringkat akhir program nyanyian 3 Juara dan muncul sebagai naib juara dalam kategori irama Malaysia.

“Saya memang aktif menyertai pertandingan karaoke sekitar Johor dan pernah beberapa kali bergelar juara.

“Ayah bermain muzik ghazal di Yayasan Warisan Johor (YWJ), manakala arwah emak pula penyanyi ghazal di tempat sama. Mereka melatih saya menyanyi lagu irama Malaysia. Dari situlah timbulnya perasaan cinta terhadap genre ini,” katanya.

Nura berkata, walaupun agak gementar, minat yang terlalu mendalam terhadap genre irama Malaysia mendorongnya menyertai pertandingan 3 Juara.

“Ini adalah penyertaan pertama saya dalam pertandingan begini. Sayang pula jika bakat dalam bidang seni tak dikembangkan.

“Alhamdulillah tak sangka saya berjaya pula ke peringkat akhir dan jadi naib juara. Ini satu pencapaian terbesar dalam kerjaya saya,” katanya.

Kembara seni Nura terus bersemarak apabila dilamar menjadi artis Pak Ngah Production dan menghasilkan single berjudul Sang Puteri ciptaan Pak Ngah dan lirik oleh Siso.

“Rezeki milik saya apabila dilamar Pak Ngah. Saya sebenarnya amat meminati lagu ciptaan beliau untuk Datuk Siti Nurhaliza.

“Tak sangka kini saya pula bekerja dengannya. Memanglah ketika bekerja beliau sangat tegas, tapi apa yang dilakukan untuk kebaikan saya juga,” katanya.

Menurut Nura, sejak dulu lagi dia teringin mempunyai lagu sendiri dan kini ia menjadi kenyataan.

“Perasaan bangga memang tak dapat digambarkan. Lagu berkonsep zapin Melayu ini amat menarik dan mampu menyerlahkan kemampuan vokal saya.

“Saya juga didedahkan dengan persembahan di pelbagai lokasi dan ini sedikit sebanyak membentuk keyakinan saya untuk berdepan penonton,” katanya.

Walaupun genre irama Malaysia dianggap semakin suram, Nura tetap percaya ia mampu diterima semula peminat.

“Pak Ngah ada strategi sendiri untuk menaikkan semula genre ini dalam industri muzik kita. Beliau sentiasa tampil dengan idea segar untuk meraih perhatian peminat.

“Saya juga sentiasa mencari peluang berkongsi lagu ini menerusi laman sosial dan setakat ini respons yang diterima daripada pendengar amat positif,” katanya yang kini berulang alik antara Johor dan Kuala Lumpur untuk mempromosikan singlenya.

Post a Comment

Previous Post Next Post