Hafidz Roshdi larang isteri, Nurul Shuhada lakukan kerja berat.
Walaupun usia kandungan isterinya baru empat bulan, pelakon Hafidz Roshdi sudah mempunyai nama untuk bakal bayi yang dilahirkan.
Hafidz, 23, berkata, dia memilih nama Luth sekiranya dikurniakan anak lelaki.
“Walaupun belum melakukan imbasan jantina anak, tak tahu kenapa naluri saya kuat mengatakan kami bakal dikurniakan anak lelaki. Begitu juga isteri yang inginkan anak lelaki. Disebabkan itu saya memilih nama Luth.
“Pada masa sama saya juga ada senaraikan tiga nama sekiranya anak perempuan. Namun dalam soal ini segalanya atas ketentuan Allah SWT. Kami sebenarnya tak kisah lelaki atau perempuan asalkan anak yang dilahirkan itu sihat dan cukup sifat,” katanya.
Menurut Hafidz, selain nama anak dia juga sudah membuat pilihan hospital untuk isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri bersalin pada September ini.
Hafidz yang juga pelakon drama Mr Donat Karamel turut berkongsi dia dan isteri sudah mula membeli pakaian dan kelengkapan bayi.
Ditanya mengenai keadaan Nurul Shuhada kini, Hafidz berkata, isterinya masih mengalami alahan seperti muntah-muntah dan tidak tahan dengan sebarang bau.
“Berbeza ketika awal kehamilan, keadaan isteri sekarang jauh lebih baik. Kalau masa awal-awal dulu boleh dikatakan setiap hari dia muntah sampai lemah badan. Memang kasihan melihat keadaannya.
“Dia juga tak boleh hidu bau sama ada wangi atau busuk dan dia sangat sensitif. Malah, bau badan saya pun dia tak suka,” katanya.
Menurut Hafiz, dalam tempoh tiga bulan pertama isterinya juga gemar makan asam.
Bagaimanapun, Hafidz bersyukur apabila dia tidak mengalami alahan seperti kebanyakan lelaki lain.
Larang isteri kerja
Memandangkan isteri Hafidz pernah mengalami keguguran tahun lalu, dia kini menjadi lebih berhati-hati dengan memastikan isterinya tidak melakukan kerja berat.
“Pengalaman lalu buatkan saya serik. Jadi apabila tahu isteri hamil kali kedua, saya terus larang dia buat kerja rumah atau apa saja aktiviti berat. Saya tak mahu insiden sama berulang.
“Kalau kebetulan ada penggambaran, saya bawa isteri tinggal dengan kedua-dua ibu bapa. Sekurang-kurangnya ada orang yang boleh jaga dan perhatikan dia,” katanya.
Terbaru, Hafidz yang bakal memulakan penggambaran drama berjudul Papa Nak Menantu di Perlis dan Kedah terpaksa berfikir banyak kali untuk menerima tawaran itu.
“Kalau boleh saya tak mahu tinggalkan isteri sendirian apatah lagi perlu berjauhan dalam tempoh lama. Tapi apabila dimaklumkan lokasi penggambaran di utara dan kebetulan isteri bakal cuti semester, saya terima.
“Ketika itu saya boleh bawa isteri pulang ke kampungnnya di Perlis. Di sana ada mentua yang boleh menjaganya. Pada masa sama saya boleh berulang-alik untuk menjenguknya,” katanya.
Hafidz turut berkongsi apabila sepanjang kehamilan isterinya, ibunya sentiasa menasihati dirinya agar banyak bersabar.
“Banyak yang saya belajar sepanjang isteri hamil terutama melayan kerenah dia. Sebagai suami saya perlu sabar kerana percaya itu adalah proses biasa wanita yang berbadan dua.
“Ibu bapa juga banyak beri nasihat. Sedikit sebanyak ia memang membantu kami sebagai bakal ibu bapa baru. Pada masa sama, mereka nasihatkan agar banyakkan baca doa Nabi Yusuf. Dari segi pemakanan, kalau boleh amalkan minum susu kambing,” katanya.