Awie tunai janji kutip derma untuk Yazit


Sebahagian artis terkenal tanah air yang akan membuat persembahan pada Konsert Wings & Superfriends - Belenggu Irama di Istana Budaya pada 6 hingga 9 April depan.

Hampir setahun lalu, Datuk Awie pernah membuat kenyataan bahawa dia dan Wings berjanji akan membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh pemain dram kumpulan Search, Yazit yang menjalani rawatan buah pinggang.

Akhirnya, hajat itu bakal menjadi kenyataan apabila Konsert Wings & Superfriends - Belenggu Irama akan menggegarkan pentas Panggung Sari, Istana Budaya pada awal April depan.

Bukan sekadar persembahan berkonsepkan hiburan semata-mata, konsert tersebut juga bertujuan mengutip derma bagi pihak Yazit dan rakan-rakan artis yang kurang bernasib baik serta memerlukan bantuan.

Kegigihan Awie mengumpulkan nama-nama besar dalam industri seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk M. Nasir, Datuk Ramli Sarip, Datuk Hattan dan Datuk Nash untuk bergabung tenaga bagi Konsert Wings & Super Friends - Belenggu Irama patut dipuji kerana ia bukan suatu tugas yang mudah.

Namun begitu, pemilik nama sebenar, Ahmad Azhar Othman itu enggan dilabel sebagai hero atau dijulang sebagai penyelamat kepada golongan artis kurang bernasib baik.

Menurut Awie, beliau hanya sekadar menjalankan tanggungjawab sesama insan.

“Gelaran hero tidak memberi sebarang erti bagi saya kerana bukan pujian yang dicari sewaktu mendapat idea mengadakan konsert ini.

“Saya cuma harapkan sokongan daripada peminat serta rakan-rakan artis lain untuk datang dan berhibur sambil beramal kerana sekarang mungkin masa susah buat Yazit, esok lusa masa kita akan tiba juga,” kata Awie yang ditemui pada sidang media konsert tersebut di Istana Budaya baru-baru ini.

Menjadikan Yazit sebagai ikon konsert ini, Awie berharap usahanya itu akan menjadi titik permulaan buat persatuan-persatuan artis di Malaysia untuk lebih peka dengan kebajikan anak seni yang sudah tidak aktif dan hidup dalam serba kesusahan.

Tambahnya lagi, nasib para selebriti yang pernah mencipta nama dan pernah berpengaruh suatu ketika dahulu tidak seharusnya dibiarkan malang selepas tidak lagi popular.

Ikhlas

Ketika ditanya adakah pembabitan Yazit selaku ikon konsert tidak akan menimbulkan salah faham antara Wings dan Search, pelantun lagu Ratuku itu berkata, apa yang dilakukan ini adalah ikhlas dan bukan untuk menampakkan keburukan mana-mana pihak.

Bagi Awie, beliau hanya menunaikan janji yang pernah dibuat kepada Yazit dan tidak mahu ia dijadikan sebab untuk menimbulkan sebarang isu baharu.

“Selagi saya tidak menunaikan janji mengadakan konsert untuk membantu Yazit, hati saya tidak tenang dan akan dibebani rasa bersalah tetapi itu adalah perasaan peribadi saya.

“Saya tidak mahu kutipan amal ini dibangkitkan menjadi isu negatif kerana saya yakin, jika mana-mana pihak mahu menghulurkan bantuan, pasti mempunyai cara masing-masing,” jelasnya lagi.

Selain daripada itu, Awie turut meluahkan rasa bersyukur kerana artis-artis yang dijemput bagi menjayakan Konsert Wings & Super Friends - Belenggu Irama tidak mengambil masa lama untuk bersetuju, malah tidak berkira soal bayaran.

Meskipun perancangan yang dibuat dalam masa singkat iaitu kira-kira sebulan lebih sahaja, kesemua penyanyi profesional serta tersohor ini sanggup mengubah jadual seni mereka agar dapat menjadi sebahagian daripada persembahan selama dua jam ini.

“Sebenarnya, inilah yang saya cuba pupuk dalam kalangan artis kita iaitu saling tolong-menolong, jika bukan dengan wang ringgit mungkin dari segi waktu dan tenaga.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua artis yang telah mengesahkan kehadiran untuk konsert ini dan berharap ia akan menjadi sebuah malam amal yang berjaya serta diberkati Tuhan,” katanya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post