Logan penampilan terakhir Hugh Jackman


LOGAN, sebuah filem aksi yang ditunggu tahun ini terutama peminat setia siri X-Men yang tidak pernah jemu menonton aksi Wolverine.

Hugh Jackman sejak kali pertama membintangi filem ini, X-Men (2000) sehingga sekuel terbaru ternyata tidak mengecewakan

Bagaimanapun, difahamkan Logan merupakan penampilan terakhir beliau dan satu-satunya pelakon yang menjayakan watak Wolverine untuk kesemua sembilan sekuel.

Mengambil latar masa tahun 2029 ketika banyak mutan musnah, filem ini mengetengahkan kesukaran watak utamanya, Logan (Hugh Jackman) menjalani hidup senormal mungkin tanpa dibayangi masa lalunya.

Logan digambarkan sebagai seorang yang sudah berusia dan tidak lagi aktif dan tangkas sebagaimana pembawaan dirinya dalam siri terdahulu, sementara Profesor X (Patrick Stewart) juga berdepan dengan situasi yang sama apabila kesihatannya semakin merosot.

Bersama Caliban, mereka menyembunyikan diri di sempadan Mexico, cuba membina hidup dengan tenang namun seorang mutan muda yang diburu kuasa gelap berjaya menjejakinya.

Ternyata Pengarah, James Mangold banyak menyajikan kejutan dan bijak membuat perhitungan dengan memanfaatkan sebaik mungkin rating R (Restricted).

Seawal filem bermula, penonton dihidangkan dengan aksi brutal yang menyesakkan dada menerusi pembunuhan kejam.

Watak Laura berjaya mencuri perhatian, malah setiap pertarungannya turut mengundang kekaguman meski hanya dengan fizikal kecilnya itu.

Tanpa kesan visual yang keterlaluan, babak pertarungan cukup memberi rasa ngeri kepada penonton.

Bagaimanapun, di sebalik aksi ‘brutal’ yang mengiringi watak utamanya, ada kesan emosi emosi yang cukup mendalam kepada penonton.

Elemen kekeluargaan yang diselitkan berjaya meresap masuk ke dalam jiwa meskipun berselang seli dengan babak berdarah.

Sekuel paling brutal tetapi dalam masa sama lebih sentimental. Secara keseluruhannya, filem Logan berbaloi untuk ditonton, malah ramai yang berpendapat ia merupakan sekuel terbaik siri filem ini.



Post a Comment

Previous Post Next Post