Niena Baharun pilih watak ikut keupayaan diri


SABAN hari dunia seni hiburan tempatan diwarnai wajah baru, sama ada penyanyi, pelakon atau personaliti televisyen muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Niena Baharun atau nama sebenarnya Amaniena Kamarul Baharun, 23, akur sebagai penyeri dunia seni yang masih hijau, dia tidak boleh selektif.

“Saya masih baru lagi dalam industri lakonan. Jadi, saya tak boleh terlalu memilih.


“Jika saya rasa boleh buat dan mampu bawa watak yang diberikan saya akan buat. Jika tidak, saya tak berani ambil,” tuturnya santun.

Niena Baharun atau lebih mesra disapa dengan panggilan Mek Na, memulakan langkah sebagai model sejurus tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum berada di pentas lakonan.

Niena kemudiannya menyinar menerusi drama rantaian Rindu Awak 200%, Hati Perempuan, Teruna Kimchi dan telemovie Din Sardin serta Cik Sayur Encik Seafood.

Selepas itu nama Niena melonjak menerusi drama Sayangku Kapten Mukhriz sebagai Dr. Ariana Dahlia, isteri kepada Kapten Ustaz Mukhriz, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia bergelar ustaz lakonan Raja Afiq.

Melalui drama itulah pengalaman pertamanya sebagai heroin.

Rezeki dan tuah terus menyebelahi figura ayu ini apabila drama adaptasi novel Dia Anak Jeneral terbitan A Aida Production, Niena sekali lagi memegang watak utama sebagai Syirin.

“Alhamdulillah, diberi kepercayaan dan peluang sebagai heroin lagi. Drama arahan abang Khalid Nadzri ini membuatkan saya berasa selesa dan senang berlakon sepanjang penggambaran," katanya.

Fattah Amin tambah debaran

Melalui drama tersebut, Niena akui berdebar apabila digandingkan dengan hero terhangat masa kini, Fattah Amin yang memegang watak sebagai Zhakif.

“Berdebar juga dibuatnya kerana digandingkan dengan Fattah yang sudah popular. Tapi kerjasamanya tetap baik walaupun kami tidak pernah berjumpa sebelum ini.

“Drama itu mengisahkan Syirin, seorang wanita yang banyak menghabiskan masa bersama ayahnya (Datuk Ahmad Tarmimi Siregar). Pada masa sama Syirin ni seorang yang manja.

“Pun begitu, sampai satu masa Syirin jadi keras kepala dan protes apabila dipaksa berkahwin.

“Saya harap drama Dia Anak Jeneral ini akan diterima baik dan mendapat sokongan penonton,” ujarnya.

Drama bersiri sebanyak 26 episod yang akan menemui penonton di saluran TV2 RTM ini, turut menggandingkan beberapa pelakon lain termasuk Azam Pitt, Fad Anuar, Mimi Ernida, Aida Khalida dan Mas Khan.

Post a Comment

Previous Post Next Post