Wan Sharmila tidak serik dengan lelaki


WAN SHARMILA tidak menjadikan tawaran watak sampingan atau utama untuk memberikan lakonan terbaik, yang penting dia ikhlas dalam lakonan.

Kejayaan melakonkan watak sebagai Sophie dalam drama popular 7 Hari Mencintaiku melantunkan nama Wan Sharmila ke hati peminat. Biarpun tidak menyandang watak heroin, namun lebih 10 tahun bergelar pelakon, wanita kecil molek itu tidak pernah mengeluh apabila acap kali hanya melakonkan watak sampingan.

Atas kecekalan yang dilalui, dia selayaknya mendapat pujian. Bertemu dengan pelakon yang lebih mesra dengan panggilan Lala itu, jauh di sudut di hatinya, dia menyimpan perasaan sunyi biarpun hidup dalam keriuhan dunia seni.

Pernah mendirikan rumah tangga dengan Fazli Baharom pada 2007 sebelum bercerai dengan talak satu pada 23 Oktober 2009 di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru, pemilik nama sebenar Wan Sharmila Wan Muhamed itu mengakui sudah bersedia menerima kehadiran seorang lelaki untuk dijadikan teman hidup.

Bagaimanapun, kehilangan terbesar dalam hidup apabila ibu kandungnya, Raidah Abd. Aziz yang meninggal dunia pada 5 Julai 2015 turut memberi impak kepada Lala dalam menguruskan kehidupan.

Kosmo!: Bagaimana Wan Sharmila melihat impak kejayaan drama 7 Hari Mencintaiku dalam kerjaya anda sebagai seorang pelakon?

Wan Sharmila: Sejak mula lagi saya amat menyukai jalan cerita drama tersebut. Ia bukan sebuah drama klise yang biasa ditayangkan di televisyen. Ia adalah sebuah drama yang memaparkan realiti sebenar masyarakat di Malaysia.

Kebiasaannya, kita disuap dengan drama yang wajib ada kereta besar, rumah mewah dan sebagainya, namun drama berkenaan sebaliknya. Itu antara penyumbang yang menjadikan ia mencatat jumlah keseluruhan penonton mencecah sebanyak 12 juta.

Anda sering diberikan watak sampingan, adakah ia suatu kecenderungan yang mengekang anda berada di baris hadapan untuk meraih watak utama?

Saya tidak pernah mempunyai masalah tentang hal itu dan tidak kisah melakonkan watak sampingan. Selama ini, saya tetapkan dalam hati untuk sentiasa ikhlas dalam bekerja.

Tidak mengapa kalau khalayak lebih kenal watak yang saya lakonkan dalam drama berbanding diri saya sendiri. Biarlah watak kecil, asalkan saya mampu membuatkannya menjadi besar melalui bakat lakonan yang ada. Sudah menjadi tanggungjawab seorang pelakon menjayakan watak dengan sebaik mungkin, tidak kira berapa besar atau kecil sesebuah watak itu.

Baiklah, bagaimana dengan kehidupan peribadi? Adakah anda sudah punya perancangan untuk menamatkan zaman solo?

Sejujurnya, saya memang tidak selesa hidup solo tetapi perancangan untuk berkahwin lagi memang tiada kerana tiada calon (ketawa).

Bagaimanapun, saya sentiasa bersedia untuk menerima kehadiran seorang lelaki dalam hidup. Saya sentiasa terbuka hati untuk berkongsi hidup dengan orang lain, namun sehingga hari ini masih tiada jodoh.

Apa yang sudah berlaku sebelum ini biarlah berlaku. Saya tidak trauma dan bersedia untuk kahwin lagi.

Apakah ciri-ciri suami yang anda impikan?

Saya bukan mahu yang semuanya sempurna. Cukuplah andai dia mampu membahagiakan dan menerima diri saya seadanya. Sudah tentu apabila sudah berkongsi hidup, saya mahu kehidupan bertambah baik dari segala segi. Yang paling penting, ia berkekalan hingga ke nafas yang terakhir.

Anda kelihatan semakin kurus sejak akhir-akhir ini. Mengapa?

Saya masih terkesan dengan kehilangan ibu. Berat saya turun daripada 46 kilogram (kg) kepada 42kg kerana hilang selera makan. Orang kata saya sakit tapi sebenarnya tidak.

Apabila berjumpa dengan doktor pun, dia terkejut dengan perubahan fizikal saya. Apa pun, hidup harus diteruskan. Saya tidak boleh tunjuk kesedihan kepada orang ramai. Saya rindukan arwah.

Sebelum ini kalau mahu makan apa sahaja, pasti ibu yang sediakan. Sekarang tiada lagi. Keluarga banyak bantu memulihkan semangat saya kembali ceria dengan kehidupan.

Post a Comment

Previous Post Next Post