Menyambung legasi perniagaan restoran bapanya, Allahyarham Sheikh Hamzah Sheikh Mohamed, penyanyi Ning Baizura membuka sebuah restoran makanan Melayu yang diberi nama Tudung Periuk. Restoran yang bertempat di Plaza Damas, Hartamas itu sudah mula beroperasi sejak bulan lalu dan mendapat reaksi positif orang ramai.
Kata Ning, Allahyarham bapanya pernah membuka restoran makanan Melayu di Seksyen 18, Shah Alam sebelum terpaksa menghentikan operasi kerana kekangan kesihatan.
“Perancangan untuk membuka Tudung Periuk sudah berjalan sejak enam bulan lalu. Saya kira ini rezeki daripada Allah dan Alhamdulillah, ia dipermudahkan.
“Restoran bapa dulu kecil sahaja dan menyajikan masakan Perak seperti Rendang Tok. Suatu hari, dia bermimpi untuk menyambung legasinya dan maka, wujudlah Restoran Tudung Periuk,” kata pelantun lagu Awan Yang Terpilu itu yang merancang untuk membuka beberapa cawangan di negeri lain.
Ditanya mengenai konsep restoran berkenaan yang menjadi seperti ‘mini galeri’ kehidupannya, Ning tidak menolak sengaja menyuntik unsur tersebut.
“Restoran ini adalah sepenuhnya milik saya dan suami, Omar Sharif Christopher Layton Dalton. Boleh dikatakan konsep restoran adalah daripada koleksi peribadi kehidupan saya seperti gambar waktu remaja, berkahwin, album studio serta fotografi istimewa yang dilekatkan di dinding.
“Satu sentuhan yang istimewa daripada saya untuk peminat. Bagaimanapun, tidak mahu terlalu berlebih sangat kerana apa yang penting adalah rasa masakan di restoran ini,” terangnya yang sentiasa berbincang dengan cef di restorannya, Farhana untuk memilih menu sesuai dengan selera pengunjung.
Menu hidangan istimewa Tudung Periuk adalah seperti laksa Sarawak, nasi lemak, nasi tomato dan banyak lagi. Tambah menarik, setiap hari mempunyai menu istimewa yang tersendiri yang ditetapkan.
Dalam pada itu, penyanyi yang kini berusia 43 tahun itu turut mendedahkan dia ada merakam lagu baharu yang berjudul Greatest Gift Off All yang ditujukan khas buat pemimpin-pemimpin negara yang banyak berkorban buat negara.
Lagu baharu
“Lagu ini dirakam tahun lalu dan kebetulan selepas kerajaan bertukar tangan, saya tergerak hati untuk melancarkannya di laman perkongsian video, YouTube.
“Saya tahu ramai dalam kalangan netizen yang mudah melabel selebriti sebagai ‘lalang’. Saya bukan begitu kerana bagi saya, semua pemimpin negara bagus dan sekarang kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri kita sekarang,” jelasnya yang juga merupakan penulis lirik lagu berkenaan.
Ning juga bakal muncul dengan single bahasa Melayu terbaharu berjudul Tenang ciptaan Aylwin Santiago dan lirik oleh Shah Shamsiri selepas Aidilfitri tahun ini.
“Insya-Allah, album itu akan dilancarkan selepas Aidilfitri dan akan disusuli dengan siri konsert jelajah di beberapa lokasi termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.
n Restoran Tudung Periuk beroperasi dari setiap hari kecuali Jumaat bermula pukul 8.30 pagi hingga 7 petang di Block F-0-12, Plaza Damas, Sri Hartamas 1, Kuala Lumpur.