REZEKI BERGANDA - Selain hadiah wang tunai RM100,000 yang dimenangi apabila menyandang gelaran Juara Antara Juara pada malam Pentas Epik 3 Juara, Salma turut menerima wang tunai RM50,000 apabila memenangi juara kategori Balada pertandingan sama, dua minggu lalu menjadi hadiah wang tunai keseluruhan yang dimenanginya RM150,000.
PEMILIK gelaran Juara Antara Juara menerusi program realiti nyanyian 3 Juara, Salma sebenarnya pernah merangkul trofi kejuaraan pertandingan nyanyian hampir serupa iaitu Mentor musim kelima (Mentor5).
Meskipun berjaya memperoleh tempat pertama dalam program tersebut pada 2011, kelibat Salma dalam industri muzik ibarat hidup segan mati tak mahu, bahkan sekadar bertahan sekitar dua tahun kemudian terus tenggelam tanpa dibawa arus sehinggalah muncul menerusi 3 Juara.
Menolak skeptikal dan tidak pernah kenal erti mengalah, Salma cekal membukti kehadirannya menerusi 3 Juara bawah didikan penyanyi, komposer, penerbit serta pemilik syarikat rakaman Wake The Baby Record, Ajai tidak berakhir sia-sia.
Kesungguhan Salma membuahkan hasil. Setelah berjaya mengungguli kategori Balada dua minggu lalu, dia menewaskan pula dua pesaing, Azizul jura Irama Malaysia dan Kudien (Rock) pada Pentas Epik 3 Juara, Ahad lalu.
Kemuncak 3 Juara tersebut menyaksikan Salma mendendangkan lagu berjudul I Surrender nyanyian Celine Dion untuk persembahan individu, manakala bergandingan dengan Azlan Typewritter dalam pusingan kedua mendendangkan lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Hukum Karma secara medley.
Persembahan tersebut berjaya meraih pujian daripada Ikon Juri Tetap bagi setiap kategori iaitu Datuk Awie (Rock), Datuk Rossa (Balada) dan Noraniza Idriz (Irama Malaysia).
Tidak cukup di situ, Kudien, Azizul dan Salma turut mempamerkan kehebatan masing-masing semasa mendendangkan lagu Sekadar Di Pinggiran, Mimpi Laila dan Lagu Untukmu secara medley.
Bagai renaissance atau kelahiran semula buat kerjaya seninya, Salma tidak henti meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada peminat yang menyokongnya sehingga berjaya menyandang gelaran juara.
“Alhamdulillah saya bersyukur dengan kemenangan ini. Ia seperti diberi peluang kedua untuk meneruskan niat sebagai penyanyi, sekali gus kembali fokus kepada karier,” tutur Salma girang.
Sikap tidak mudah mengalah menjadi kekuatan buat Salma atau nama sebenarnya Salmah A. Aris menyertai program realiti 3 Juara dengan harapan berjaya menembusi ‘tembok’ lapangan seni hiburan tanah air.
“Selagi tidak berjaya mencapai impian untuk bergelar penyanyi, saya akan tetap terus berusaha kerana yakin setiap kesabaran dan usaha pasti akan ada ganjarannya,” luah Salma bersungguh-sungguh.
Melanjutkan cerita mengenai perancangan setelah bergelar juara, Salma menyusun langkah dan merencana mengeluarkan single solo yang pastinya dihasilkan oleh mentornya, Ajai.
Dia turut mengharapkan kemunculannya dalam industri akan diterima peminat termasuk singlenya kelak turut berjaya menambat hati pendengar.
Sambil mengamati trofi kemenangannya, dia turut meluahkan rasa tercabar dengan kemampuan dan dua pesaing yang juga rakan seperjuangan dalam 3 Juara iaitu Kudien dan Azizul.
Meskipun berasa yakin dengan kemampuan diri, Salma tidak menafikan kehebatan yang dimiliki mereka terutama kekuatan vokal Kudien.
“Setiap peserta mempunyai kehebatan dan keunikan mereka tersendiri. Saya turut tidak menafikan kekuatan Azizul dan Kudien untuk bergelar juara.
“Setelah segala ilmu yang dipelajari digunakan sepenuhnya pada persembahan akhir di Pentas Epik 3 Juara, syukur rezeki berpihak kepada saya dan pastinya kemenangan ini tidak akan disia-siakan,” ujar Salma bahagia.
Kurang dikenali
Ternyata, senyuman tidak mahu beralih dari bibir Salma usai dijulang sebagai Juara Antara Juara pada Pentas Epik 3 Juara yang berlangsung di Sri Pentas 2, Shah Alam, Selangor pada Ahad lalu.
Ditebak tentang kehilangannya dalam radar industri hiburan tempatan selepas memenangi Mentor 5, Salma pantas menepis dakwaan mengatakan kerjaya seninya hanya bertahan separuh jalan.
Selepas menjuarai Mentor 5, Salma menegaskan, kariernya tetap bergerak dan menerima undangan nyanyian daripada pihak korporat,
“Ramai mengatakan kerjaya nyanyian saya terhenti selepas program Mentor 5 tetapi sejujurnya perkara tersebut jauh tidak benar kerana saya masih mendapat memenuhi undangan persembahan.
“Disebabkan kurang publisiti dan jarang menjadi perhatian media, menjadikan kerjaya nyanyian saya didakwa sudah terhenti,” ujar Salma mengulas tentang kehilangannya selama ini.
Titik permulaan
Melanjutkan cerita, Salma menanam hasrat menggunakan sebahagian daripada hadiah wang tunai kemenangan sebanyak RM50,000 sebagai juara bagi kategori Balada dan RM100,000 (Juara Antara Juara) untuk membawa ahli keluarganya menunaikan umrah.
Impian tersebut menjadi perkara pertama terlintas di fikirannya sebaik sahaja menjulang kejuaraan berganda menerusi 3 Juara.
“Saya masih belum memikirkan perancangan lanjut untuk wang kemenangan melainkan berhasrat membawa ahli keluarga menunaikan umrah,” ujar wanita berusia 27 tahun itu.
Memulakan 2017 dengan catatan cemerlang, isteri kepada bekas peserta Akademi Fantasia musim kesembilan, Azrie itu tidak mahu sekadar menunggu peluang. Dia yakin, inilah saat tepat untuk kembali meraih peluang yang selama ini mungkin tidak dipedulikan olehnya.
Tekad Salma, dia mahu berlari setanding dengan penyanyi papan atas lain untuk lebih maju dalam karier.
“Saya berasa bersyukur kerana banyak impian telah direalisasikan pada tahun ini. Kemenangan dalam 3 Juara secara tidak langsung menjadi permulaan semula terbaik buat saya,” tutur wanita kelahiran Negeri Di Bawah Bayu itu optimis.