Sifatnya yang manja, lembut dalam tutur kata dan gemar berjenaka membuatkan pelakon berkulit hitam manis, Ummi Nazeera kadangkala tampak persis si gadis yang hidupnya berwarna pelangi.
Biarpun pada tangga usia 28 tahun, sifat semula jadi tersebut tetap ada namun kelihatan sedikit berbeza setelah pemilik nama lengkap Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Ayra Aneesah.
Dilahirkan pada 22 Ogos lalu, kehadiran puteri sulungnya bukan sahaja mengubah rutin harian Ummi, malah menjadikan pelakon filem epik, Hikayat Merong Mahawangsa semakin matang.
Bukan sahaja menjadi pengikat hubungan bersama suami, Mohd. Izzar Anwari Abd. Khani, bahkan tumpuan Ummi juga terarah demi membesarkan Ayra mengikut alur asuhannya.
“Jika dahulu tumpuan lebih banyak pada diri sendiri tetapi sekarang, fokus saya telah diberikan 110 peratus kepada anak. Saya fikir tanggungjawab sebagai ibu secara tidak langsung menjadikan saya lebih matang, namun sifat saya yang manja masih ada cuma tidak berlebihan seperti dahulu,” ujarnya berseloroh.
Pada masa sama, Ummi turut berkongsi pengalaman bergelar ibu yang adakalanya mencetuskan sedikit emosi tidak keruan tatkala Ayra kerap bangun pada waktu malam sehingga menjejaskan kualiti tidurnya.
Akui Ummi, sepanjang tempoh dua bulan pertama bergelar ibu bapa, dia dan suami mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam berikutan Ayra yang menangis hampir setiap 30 minit sekali.
“Pernah suatu ketika, saya mempersoalkan kenapa Ayra kerap bangun pagi dan merasakan seolah-olah apa yang dilakukan seperti semua tidak kena. Disebabkan itu suami telah menegur kerana beranggapan saya merungut atas apa yang berlaku.
“Sejujurnya, saya tiada niat sebegitu tetapi, sebagai seorang yang tiada berpengalaman, saya tertanya-tanya apa perlu dilakukan sekiranya berdepan dengan situasi sebegitu,” jelasnya.
Lebih berdikari
Melanjutkan cerita, Ummi memberitahu tentang hasratnya dalam membesarkan Ayra pada masa hadapan selain tidak mahu keterlaluan memanjakan anak dengan kemewahan.
Sebagai anak seni yang mula menceburi dunia hiburan sejak usia belasan tahun, Ummi akui kehidupannya yang dibesarkan oleh ibu mempengaruhi dirinya untuk berusaha sendiri bagi memenuhi setiap hajat hati.
Ummi berharap anaknya juga dapat berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada kedua-dua orang tua apatah lagi mengambil kesempatan untuk mendapatkan segala yang diinginkan dengan cara mudah.
“Bukan mahu memberi tekanan tetapi saya ingin dia belajar berdikari sendiri selain hidup menggunakan kaki sendiri. Saya tidak mahu sikap kebergantungan itu membuatkan dia tidak tahu membuat keputusan sendiri sekiranya saya dan suami tiada.
“Secara peribadi saya sendiri mula berdikari dan bekerja sekitar usia 15 tahun. Jika diikutkan, saya tidak mahu terlalu memanjakan Ayra. Jika dia mahukan sesuatu dia perlu berusaha untuk mendapatkannya.
“Namun, semua itu hanya perancangan dan harapan. Sekiranya mengikut perancangan, itu yang saya mahupun buat Ayra. Tetapi ia bergantung pada keadaan,” kata Ummi seraya melepaskan ketawa kecil.
Gol & Gincu Vol. 2
Selain perihal peribadi, Ummi turut berkongsi pengalaman membintangi filem baharu yang bakal ditayangkan pada 25 Oktober hadapan iaitu Gol & Gincu Vol. 2.
Ditemui usai tayangan perdana filem Gol & Gincu Vol. 2 pada Rabu lalu, Ummi memberitahu, pada awalnya dia berasa tidak senang bergandingan dengan pelakon jelita Datin Diana Danielle.
Meskipun saling mengenali tetapi, Ummi tetap merasakan tiada keserasian antara mereka sejak kedua-duanya berkenalan sekitar 15 tahun lalu.
Pelbagai persoalan melayang dalam fikirannya saat bersua muka dengan Diana tatkala hadir pada sesi pemilihan pelakon filem Gol & Gincu Vol. 2.
“Sebaik sahaja melihat dia, saya terus bertanyakan sama ada dia juga hadir untuk sesi pemilihan pelakon atau tidak. Biarpun masih tidak mengetahui akan keputusan pemilihan, tetapi kebimbangan itu sudah ada dan saya sendiri tertanya-tanya sama ada mampu bekerjasama dengannya atau tidak.
“Kemudian, sewaktu sesi latihan lakonan, saya akui berasa kekok untuk berlakon dengannya apatah lagi dalam filem tersebut banyak melibatkan babak antara kami berdua.
“Begitupun, sejak Diana mengetahui saya hamil, kami banyak meluangkan waktu bersama. Dia juga kerap memberi nasihat dan berkongsi pengalaman melibatkan proses kehamilan,” ujarnya tersenyum.
Mengulas mengenai filem arahan Umi Salwana Omar tersebut, Ummi juga menyifatkan penglibatannya sebagai satu penghormatan apatah lagi naskhah debut filem tersebut Gol & Gincu pada 2005 kini kembali selepas 13 tahun.
Bukan sahaja mempunyai pengikut tersendiri, bahkan Gol & Gincu turut terkenal dalam mengetengahkan permasalahan melibatkan golongan wanita dan persahabatan.
“Dalam filem ini saya tertarik dengan elemen persahabatan yang ditonjolkan. Setiap daripada kita melalui pelbagai pengalaman dalam persahabatan dan begitu juga saya. Dalam fasa sebelum dan selepas bertudung, saya melihat perbezaan dalam memilih kawan.
“Pemilihan sahabat itu penting kerana secara tidak langsung mereka turut memberi pengaruh terhadap gaya hidup kita.
“Selain itu, filem Gol & Gincu Vol. 2 turut membuktikan bahawa wanita juga mampu mencapai kejayaan tanpa perlu terlalu bergantung kepada lelaki,” terang Ummi mengenai pandangannya.
Filem terbitan Red Films tersebut mengisahkan dua orang penuntut universiti yang memiliki persamaan nama iaitu Zakiah lakonan Ummi dan Diana.
Disebabkan memiliki personaliti yang berbeza dan ditempatkan di bilik asrama yang sama, kedua-duanya saling berbalah antara satu sama lain.
Selain Ummi dan Diana, filem tersebut turut dibintangi oleh Syafiq Kyle, Aedy Ashraf, Sharifah Amani, Jad Hidhir, Iezahdiyana Alaudin, Tiara Anchant, Grace Ng, Aida Noris, Intan Serah, Nik Nasuhah, Annabel Michael dan Sazzy Falak.
Pengalaman melahirkan dan menjaga anak sulung, Ayra Aneesah yang kini berusia dua bulan cukup sebagai introduksi untuk Ummi Nazeera menjadi seorang wanita matang.