Sufi Rashid Saya anggap ia adalah publisiti percuma




Biarpun kontroversi sering mengekori perjalanan kerjaya seninya, Sufi Rashid mengakui suka melihatnya dari sudut yang positif.

“Semua artis pun pernah terkena tempias kontroversi, begitu juga dengan saya. Malah semenjak awal bergelar artis sehingga sekarang pun, ada sahaja kontroversi yang mengekor biarpun saya cuba elakkan.

“Jadi pada tahap sekarang, saya sudah kalis dengan kontroversi dan dah tak kisah dengan semua itu. Saya anggap ia adalah publisiti percuma untuk diri saya dan layankan sahajalah.

“Apa pun kontroversi yang datang, saya hadap dengan sebaiknya dan tidak pernah melarikan diri. Malah kalau ada peminat-peminat yang tanya di media sosial pun, saya cuba memberikan respon dengan sebaiknya jika memang ada kesempatan berbuat demikian,” akuinya.

Begitu juga ketika berlakunya kontroversi yang melibatkan dirinya dengan penyanyi Haqiem Rusli berhubung lagu Selamat Tinggal Sayang yang didakwa menggunakan muzik pengenalan hasil ciptaannya tanpa kredit.

“Perkara tersebut dah lama selesai dan saya dan Haqiem tidak pernah ada apa-apa masalah baik sebelum mahupun selepas kejadian itu.

“Cuma saya membangkitkan perkara tersebut kerana ia berkaitan hak cipta dan melibatkan banyak pihak lain.

“Ia bukan kesalahan Haqiem sepenuhnya, sebaliknya kecuaian saya juga yang tidak mengambil berat tentang soal itu sebelum ini. Jadi ia memberi pengajaran bukan sahaja kepada kami, tetapi juga kepada artis lain agar lebih peka kepada isu hak cipta,” tegas Sufi.

Post a Comment

Previous Post Next Post