Dikurniakan raut wajah yang boleh dikategorikan sebagai tampan dan persis penyanyi K-Pop tidak menjadikan pendatang baharu, Khareez Khasbullah berasa selesa untuk memulakan kerjaya nyanyiannya.
Sudah mula aktif menyanyi dalam laman YouTube sejak tahun 2011, Khareez yang berasal dari Sabah ini memberitahu peluang menjadi artis rakaman yang ditawarkan oleh syarikat Monkey Bone pada tahun lalu tidak akan disia-siakan begitu sahaja.
Dia yang kini muncul dengan single pertama bertajuk Ikut Hati (What I Want) ciptaan Audi Mok dan Shazee Ishak ini sudah bersedia untuk melangkah lebih jauh dalam industri sebagai penyanyi baharu.
“Muzik adalah sesuatu yang sentiasa mempunyai tempat di hati saya dan sejujurnya apabila ada pihak yang menghargai bakat ini, saya berasa ia suatu petanda bahawa ini jalan terbaik untuk saya pilih.
“Mungkin ramai yang beranggapan kelebihan rupa paras menjadi punca saya terpilih jadi artis rakaman, namun saya minta agar dengar dahulu lagu saya kerana telah bekerja keras untuk memastikan ia menjadi sebuah tanda pengenalan terbaik buat peminat seni tanah air,”jelasnya ketika hadir di sesi fotografi di Studio Utusan, baru-baru ini.
Tambah pemilik nama Abdul Khareez Khasbullah itu lagi, dia menikmati proses rakaman studio yang dirasakan sebagai satu pengalaman yang berharga terutama dengan tunjuk ajar yang diperoleh oleh Audi Mok sendiri.
“Saya seorang yang mementingkan kesempurnaan dan apabila merakamkan Ikut Hati (What I Want) di studio, ia berjalan lancar. Saya gembira kerana lagu saya dapat dirakam dengan baik,” ujarnya lagi.
Biarpun sudah nekad bergelar seorang penyanyi, graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam ini tidak mahu terus meninggalkan bidang profesional yang dipelajarinya.
Pilihan
Masih menyimpan hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana, Khareez berkata dia tetap mahu memiliki pekerjaan dalam dunia kejuruteraan sebagai pelan sokongan andai suatu hari nanti karier seninya berdepan masalah.
“Saya akan mencari pekerjaan dalam dunia kejuruteraan tapi mungkin bukan dalam masa terdekat kerana sekarang masanya untuk memberi fokus kepada karier sebagai penyanyi yang baru hendak bermula.
“Sebelum ini pun, saya menolak banyak tawaran dalam dunia seni bagi memastikan saya berjaya menggenggam segulung ijazah dahulu. Saya seorang yang suka melakukan satu perkara dalam satu masa jadi Insya-Allah, setiap rezeki itu sudah disusun elok,”jelasnya lagi.
Muzik video Ikut Hati (What I Want) sudah boleh ditonton di laman YouTube dan sudah mencecah jumlah tontonan sebanyak tujuh ribu kali sejak dilancarkan lima bulan lalu.