Sufian menerima Ijazah Sarjana Komunikasi Massa di UiTM hari ini.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Di Matamu, Sufian Suhaimi menerima Ijazah Sarjana dalam bidang Komunikasi Massa di Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini.
Sufian, 26, menerima penghormatan terbabit pada Majlis Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-89 yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam.
Katanya, kejayaan tersebut secara tidak langsung menjadi hadiah istimewa buatnya dan keluarga selepas melalui pelbagai halangan termasuk kisah putus tunang dengan pelakon Elfira Loy.
“Alhamdulillah saya bersyukur dan lega apabila berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana secara rasmi hari ini (semalam) selepas mengharungi pelbagai ‘drama’ dalam hidup terutama sekitar akhir tahun lalu dan awal tahun ini.
“Saya mengharapkan segala ilmu yang diperoleh sepanjang tempoh pembelajaran dapat dikongsikan dengan khalayak sekali gus menghasilkan karya berkualiti kepada industri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online petang tadi.
Dalam pada itu Sufian turut mengucapkan terima kasih kepada peminat yang terus memberi sokongan termasuk ucapan tahniah atas kejayaannya itu.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada ucapan tahniah yang diterima dari pagi sampai sekarang. Walaupun tidak membalas komen kalian tetapi saya tetap membaca semua ucapan tersebut. Terima kasih dan selamat bercuti hujung minggu,” ujarnya.
Pada masa sama, Sufian turut memberitahu bakal melancarkan single baharu bertajuk Di Matamu 2.0 yang dinyanyikan duet bersama sebuah kumpulan Indonesia, Shima dalam tempoh masa terdekat sekali gus memasarkan lagu tersebut di negara seberang.