Keterujaan Aizat Amdan, Kaka Azraff




Sekitar tahun 2005, filem Gol & Gincu arahan Bernard Chauly pernah mencipta fenomena tersendiri di negara ini.

Kini, setelah 13 tahun berlalu, filem reboot yang diberikan judul Gol & Gincu Vol. 2 pula bakal menemui penonton dan pastinya ia menggembirakan hati bagi semua peminat naskhah ini.

Selain daripada jalan ceritanya yang menarik, lagu-lagu temanya juga mendapat tempat di hati pendengar sehingga kini biarpun ia memakan masa lebih satu dasawarsa.

Menyumbang suara untuk runut bunyi (OST) dalam filem reboot itu yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada Khamis ini, pastinya ia menzahirkan rasa teruja dalam diri dua penyanyi berbakat besar, Aizat Amdan dan Kaka Azraff.

Ikuti temu bual Sensasi Bintang bersama kedua-dua penyanyi ini dalam satu wawancara baru-baru ini.

SENSASI BINTANG: Difahamkan, kalian berdua mempunyai single terbaharu untuk dijadikan OST filem Gol & Gincu Vol 2. Boleh kongsikan mengenainya?

AIZAT AMDAN: Ya, saya mempunyai satu single berjudul Hari-Hariku untuk OST Gol & Gincu Vol 2.

Hari-Hariku adalah nyanyian saya bersama Intan Serah dan Annabel Michael. Single berkenaan ditulis oleh saya sendiri bersama Mel Ramlan.

KAKA AZRAFF: Single saya untuk naskhah ini pula berjudul Shout It Out. Ia ditulis sepenuhnya oleh Audi Mok.

Untuk pengetahuan semua, lagu ini memang dicipta khas untuk OST Gol & Gincu Vol 2.

Lirik lagu ini mempunyai campuran bahasa Inggeris dan juga Melayu.

Mungkin ada kelainan yang tersendiri bagi single berkenaan?

AIZAT AMDAN: Memang ada kelainan bagi single Hari- Hariku ini. Single ini ada genre pop rock, ada akustik dan elemen yang saya tak pernah buat sebelum ini.

KAKA AZRAFF: Lagu Shout It Out mempunyai keistimewaan dan kelainan tersendiri. Lagu ini memberikan mesej mengenai cabaran dalam kehidupan remaja pada masa kini.


Apa yang saya boleh cakap, single ini menampakkan satu sisi saya yang lain.

Filem Gol & Gincu sememangnya mempunyai pengikutnya yang tersendiri, malah OST naskhah berkenaan sebelum ini iaitu Teruja nyanyian Ella dan Generasiku oleh Radhi (OAG) masih menjadi siulan penggemarnya sehingga kini. Sekarang giliran kalian berdua pula menyumbang suara untuk OST filem reboot tersebut. Apa perasaan kalian setelah diberi kepercayaan membawakan lagu tema untuk filem ini?

AIZAT AMDAN: Saya rasa sungguh bertuah dan bangga kerana diberi peluang ini.

Sejujurnya, saya mengakui memang meminati filem Gol & Gincu. Apabila dimaklumkan untuk menyumbang dan menyanyikan satu lagu untuk dijadikan OST filem ini, saya terus memberikan persetujuan.

Justeru, saya buat satu lagu yang mengisahkan mengenai persahabatan, kerjasama dalam kalangan remaja di negara ini.

Saya amat mengharapkan ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat orang ramai dan bakal menjadi siulan dalam kalangan anak muda yang menonton filem ini.

KAKA AZRAFF: Ketika saya ditawarkan untuk menyanyikan sebuah lagu untuk OST naskhah ini, saya sangat teruja kerana saya juga peminat tegar filem Gol & Gincu yang diterbitkan 13 tahun lalu.

Apabila mengingatkan ibu saudara saya, Ella menyanyikan lagu Teruja untuk naskhah berkenaan suatu ketika dahulu, rasa ada sedikit tekanan tetapi saya cuba bersikap positif dalam hal ini.

Saya cuba tenangkan diri dan percaya boleh melakukan sebaik mungkin untuk menjayakan filem ini.

Saya juga berfikir inilah masa untuk saya ‘bersinar’ dalam industri hiburan tanah air.

Sebenarnya, saya suka menyanyikan lagu Shout It Out kerana liriknya yang mengajak wanita untuk menjadi seorang yang yakin dan percayakan diri sendiri.

Saya suka lagu yang ada mesej positif begini. Saya harap Shout It Out terus berjaya mendapat tempat di hati pendengar dan dikenang peminat sampai bila-bila.

Baiklah, soalan kepada Aizat, anda telah dipilih untuk menggalas tanggungjawab sebagai mentor dalam program realiti, Mentor musim ketujuh yang bakal membuka tirai pada hujung bulan ini. Sebagai seorang mentor, apa harapan yang diletakkan terhadap protege anda?

AIZAT AMDAN: Dalam hal ini, saya sudah mengadakan perjumpaan tertutup bersama protege dan berpesan kepada mereka supaya kita harus komited dan belajar memperbaiki diri dari semasa ke semasa demi untuk menggenggam sebuah kejayaan gemilang.

Apa yang saya nak mereka lakukan adalah berdikari dan percaya diri, jangan terlalu mengharapkan segala-galanya daripada saya. Saya hanya boleh memberi tunjuk ajar dan kata-kata perangsang, selebihnya terpulang kepada mereka. Kalau nak berjaya, kita kena berusaha dan bekerja keras.

Perkembangan lain yang mungkin kalian mahu kongsikan bersama peminat di luar sana?

AIZAT AMDAN: Saya akan muncul dalam sebuah program realiti Mentor tidak lama lagi.

KAKA AZRAFF: Untuk perkembangan lain, saya akan muncul dalam sebuah filem terbitan Indonesia berjudul Zharfa The Movie. Dalam filem itu, saya diberi kepercayaan menggalas watak utama.

Post a Comment

Previous Post Next Post