Farah Nabilah jadi produser


Tahun ini sahaja, pelakon yang sedang meningkat naik namanya, Farah Nabilah sudah dua kali mencuri tumpuan umum. Mana tidaknya, selepas diangkat sebagai Artis Baharu MeleTOP 2018 pada April lalu, sekali lagi pelakon kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu dijulang sebagai Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular baru-baru ini.

Dua pengiktirafan itu secara tidak langsung membawa satu penanda aras baharu dalam pencapaiannya sejak berjinak-jinak dalam dunia lakonan kira-kira tujuh tahun lalu. Dengan erti kata lain, umum sudah mula melihat bakat yang ada pada pelakon jelita berusia 26 tahun itu.

Semestinya, perjalanan yang dilalui selama ini bukan mudah. Laluannya juga tidak jauh beza dengan nama-nama besar penggiat seni yang lain. Bermula sebagai pelakon tempelan pada 2001, sehinggalah Farah diberi kepercayaan memegang peranan watak penting, semua itu sudah dilaluinya.

Ternyata tuahnya menerusi drama Titian Cinta yang bergandingan dengan aktor Zul Ariffin pada tahun lalu boleh dikatakan sebagai satu titik perubahan dalam karier seninya sebagai pelakon.

“Alhamdulillah, mungkin tahun ini rezeki berpihak kepada saya.

“Penantian bertahun-tahun selama ini, saya kira berbaloi dengan apa yang diperoleh kini. Saya berterima kasih kepada peminat memberi sokongan tidak berbelah bahagi,” katanya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.



Penerbit

Tatkala namanya sedang memuncak sebagai pelakon, mungkin ramai yang masih tidak tahu, sebenarnya aktres yang sedang trending menerusi drama Cik Reen Encik Ngok Ngek di saluran Astro Ria itu juga sebenarnya sedang berjinak-jinak untuk menjadi seorang penerbit program televisyen.

Katanya, apa yang dilakukan itu adalah atas dasar minat dan kecintaannya untuk menjadi individu yang menyumbang sesuatu kepada industri hiburan tempatan.

“Saya memang minat dalam menerbitkan sesuatu karya. Apa yang saya lakukan ini masih lagi baharu. Cuma, saya memang ada melihat diri saya sebagai seorang penerbit satu hari nanti jika sudah tidak berlakon.

“Apa yang saya boleh katakan, ini juga sebagai satu perancangan dan persediaan untuk masa depan juga,” kongsi pelakon berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi daripada Universiti Upper Iowa, kampus Malaysia itu.

Biarpun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang penerbitan, katanya, dia banyak menimba ilmu dengan orang-orang kuat industri yang mempunyai pengalaman yang cukup banyak dalam dunia penerbitan.

“Apabila kita berada di set, banyak bertanya dengan orang-orang yang bekerja di bahagian produksi. Jadi, daripada situlah kita belajar sedikit demi sedikit.

“Buat masa sekarang, saya mempunyai sebuah telefilem yang sudah menjalani penggambaran berjudul Inikah Soal Cinta yang menampilkan saya bersama Datuk Fizz Fairuz. Ia masih lagi produk yang belum lagi dijual di mana-mana stesen televisyen,” kongsinya yang memberitahu, mempunyai syarikat produksi didaftarkan atas nama Fawaadean Films.

Menurutnya lagi, dia mempunyai perancangan untuk menerbitkan program masakan televisyen kendaliannya sendiri.

“Saya dari dahulu lagi memang impikan untuk mempunyai rancangan masak sendiri. Insya-Allah, saya akan mula dengan projek pilot program tersebut dalam rangka kerja saya di Eropah nanti.

“Selain itu, saya mahu menghasilkan program-program televisyen yang lebih memberi penekanan kepada hak dan kuasa wanita, hubungan kekeluargaan dan karya-karya yang mendidik masyarakat,” kongsinya yang akan berkelana di Jerman, Itali, Switzerland dan Austria bagi mengikuti penggambaran sulungnya sebagai pengacara bagi sebuah program berbentuk travelog.


Komedi

Dalam pada itu, Farah mengakui, sebagai seorang pelakon, dia mahu dilihat sebagai seorang yang versatil. Katanya, sebolehnya dia mahu membawakan pelbagai watak yang berbeza-beza. Secara tidak langsung dengan cara itu, dia boleh menilai kemampuan dirinya sebagai seorang pelakon.

“Sebelum ini, saya sentiasa bawakan watak-watak yang berat tetapi dalam drama Cik Reen Encik Ngok Ngek saya memegang karakter komedi. Sesuatu yang baharu buat saya, tetapi seronok apabila banyak dibantu oleh hero gandingan, Fikry Ibrahim yang sudah cukup sinonim sebagai pelawak,” kongsinya yang memegang watak sebagai Azreen dalam karya arahan Hadith Omar itu.

Biarpun pertama kali bergandingan dengan Fikry, menurut Farah, dia cukup selesa apabila berpeluang bekerjasama dengan jejaka berusia 24 tahun itu.

“Kalau di set penggambaran memang riuh. Dia pula memang asyik melawak sahaja. Jadi, saya banyak belajar daripadanya bagaimana nak timbulkan unsur humor dalam lakonan,” ceritanya.

Kongsi Farah lagi, memandangkan karya 20 episod itu sarat dengan adegan komedi, adakalanya dia berdepan cabaran untuk membawakan babak sedih yang memerlukan air mata.

“Biasa kalau berlakon watak berat nak menangis itu senang sahaja. Sebaliknya, dalam drama itu, saya rasa susah pula nak menangis apabila ada babak serius di hujung jalan cerita nanti. Maklumlah, kita dah terbiasa komedi, tiba-tiba kena tukar mood menangis. Sampaikan saya beritahu yang lain, tolong berhenti melawak, sebab saya perlu menangis,” selorohnya.

Jelasnya lagi, selepas ini mungkin dia mahu mencuba watak aksi pula pada masa akan datang.

“Saya selalunya akan menerima tawaran yang memberikan saya watak yang belum pernah saya bawakan.

“Jadi, mungkin pada tahun depan saya nak cuba berlakon dalam karya yang begenre aksi pula. Watak sebagai orang kelainan upaya (cacat) pun belum lagi.

“Cumanya, apabila kita bawa watak yang lain daripada lain ini, ada penonton tak boleh terima sebab di luar kebiasaan daripada apa yang biasa mereka lihat,” kongsinya yang merancang mahu mengadakan kenduri kesyukuran sejurus pulang ke tanah air nanti bersama peminatnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post