Afieq Shazwan kini memberi fokus terhadap single keduanya yang diberi judul Darjat.
Biarpun banyak menyertai pertandingan realiti nyanyian sejak kecil, ternyata ia bukan tiket mudah buat pemenang tempat ketiga pentas Big Stage iaitu Afieq Syazwan untuk meraih gelaran juara.
Barangkali bagi setiap peserta yang memasuki mana-mana pertandingan, tentunya takhta juara menjadi impian mereka. Namun, hal sebaliknya berlaku kepada lelaki berusia 21 tahun ini.
Menganggap ia sekadar gelaran, kongsi Afieq pengalaman yang dikutip menerusi setiap pertandingan yang disertai sebenarnya jauh lebih penting.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Afieq yang ingin memberi fokus membangunkan kerjaya seninya dalam bidang nyanyian lakonan dan pengacaraan.
Terdahulu, menerusi pentas akhir yang melabuhkan tirai pada Ahad lalu, Afieq mempertaruhkan lagu Footloose nyanyian asal Kenny Loggins dan lagu baharu berjudul Darjat.
Selaku pemenang tempat ketiga, Afieq membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM25,000 dan sebuah trofi sumbangan Astro.
Tahniah kerana berjaya menghabiskan pentas akhir Big Stage dan mendapat tempat ketiga, boleh komen sedikit tentang pencapaian Afieq?
AFIEQ: Saya tidak jangka akan dapat menjejakkan kaki ke pentas akhir Big Stage. Setiap minggu saya cuma tetapkan dalam hati ingin berikan persembahan terbaik, namun apabila masuk minggu keenam, mula rasa perlu membuat pembaharuan dalam persembahan memandang tinggal beberapa langkah lagi ingin menamatkan pertandingan.
Saya berusaha mencari alternatif lain berjumpa dengan orang yang lebih berpengalaman iaitu belajar dengan seorang guru vokal iaitu cikgu Syafie. Alhamdulillah, biarpun tidak berada pada kedudukan juara tetapi saya tetap bersyukur dan berbaloi mendapat tempat ketiga.
Penyanyi Ernie Zakri sudah ditugaskan untuk mengajar vokal setiap peserta tetapi mengapa anda masih mencari guru vokal lain?
Peserta dalam Big Stage ramai dan cikgu Ernie perlu mengajar vokal untuk kami semua. Disebabkan masa begitu suntuk, jadi saya sendiri dengan rela hati keluarkan duit dan belajar dengan cikgu Syafie. Perkara ini bukan menjadi satu masalah kerana cikgu Ernie sendiri tahu saya belajar dengan guru lain. Dalam masa sama, saya tetap mendapatkan pandangan cikgu Ernie terutamanya sebelum persembahan berlangsung.
Apa reaksi anda apabila wujud kata-kata sumbang yang mempertikaikan sepatutnya kedudukan tangga ketiga menjadi milik Wani Kayrie memandangkan markah juri untuknya lebih tinggi dan anda diselamatkan menerusi undian peminat di aplikasi Tik Tok sahaja?
Saya tahu mengenai perkara itu tetapi perlu diingat setiap peserta Big Stage telah ditugaskan untuk mempromosikan diri sendiri. Saya hanya menjalankan tugas dan mengingatkan peminat agar terus mengundi.
Walaupun markah juri tinggi, namun undian menerusi Tik Tok juga harus diambil kira dan saya anggap ia adalah rezeki. Saya juga pernah menyuarakan hal ini kepada Wani dan dia menganggap ia sebagai rezeki.
Anda dilihat sebagai salah seorang peserta yang banyak memasuki pertandingan realiti sejak dahulu, namun masih belum berjaya menempatkan diri sebagai juara, pada pandangan anda dimanakah silapnya?
Benar, saya mendapat tempat keempat ketika menyertai pertandingan Idola Kecil pada tahun 2008, sempat berada pada peringkat separuh akhir di pentas Mystarz Oolala dan Idola Kecil Ultra. Sejujurnya, saya tidak mahu menjadi juara kerana takut tidak boleh menggalas gelaran itu dengan baik.
Apabila jadi juara secara tidak langsung bakal mengundang harapan tinggi orang terhadap saya. Tambahan pula, ia hanya gelaran sahaja, pengalaman yang saya kutip sepanjang menyertai siri pertandingan realiti ini sebenarnya lebih bermakna. Seperti dalam Big Stage, saya belajar untuk memberikan persembahan yang lebih matang dan kemas.
Adakah anda akan menyertai pertandingan realiti lain selepas ini?
Tidak dalam masa terdekat kerana saya ingin fokus dengan promosi single kedua berjudul Darjat dan mengukuhkan lagi nama dalam bidang seni ini.
Bagaimanakah anda hendak mengekalkan momentum agar nama kekal relevan?
Saya perlu bijak menguruskan masa memandangkan pengurusan jadual sudah berbeza sekarang. Buat masa ini, saya ingin memberi fokus untuk promosi single baharu dan akan mulakan penggambaran muzik video lagu berkenaan. Saya juga ada mendapat beberapa tawaran berlakon dan mengacara, namun semuanya masih dalam perbincangan.
Jika boleh saya ingin selaraskan ketiga-tiga bidang yang diceburi iaitu menyanyi, berlakon dan mengacara. Pun begitu, fokus utama saya tetap dalam bidang nyanyian. Bukan saya tamak sehingga tidak mahu fokus dalam satu bidang sahaja tetapi saya ingin puaskan hati peminat.
Sebagai contoh jika mereka ingin lihat saya berlakon, boleh tonton drama lakonan saya. Saya juga banyak mendapatkan nasihat daripada Alif Satar yang turut menceburi ketiga-tiga bidang itu.