Sukar untuk mentafsir gejolak emosi yang kini ligat berkocak dalam jiwa penyanyi Amelina, Noryn Aziz dan Safura Yaacob.
Tentulah, selepas disenaraikan sebagai antara peserta program nyanyian popular Gegar Vaganza musim kelima (GV5), banyak yang perlu difikirkan oleh ketiga-tiga penghibur berbeza lapangan muzik itu.
Selain persediaan vokal yang sudah pasti menjadi fokus utama, mereka juga perlu menitik beratkan soal hala tuju dan matlamat seni selepas GV5 melabuhkan tirai kelak.
Bercakap mengenai perkara tersebut, Amelina yang ditemui pada majlis sidang akhbar pengumuman peserta GV5 di ibu kota baru-baru ini berkata, penyertaannya itu bukan bermakna dia mahu lari daripada kepompong dangdut yang selama ini mendakap kariernya.
Ujar Amelina atau nama lengkapnya, Norazlina Amir Sharipuddin, dia memberanikan diri untuk mencuba sesuatu yang berbeza tetapi masih berpegang pada dahan muzik yang sebelum ini telah memekarkan namanya dalam industri muzik tanah air.
Perjuang dangdut
“Mungkin ramai beranggapan saya ingin menyertai GV5 kerana sudah bosan dengan irama dangdut. Telahan tersebut tidak benar sama sekali.
“Saya hanya mahu mencuba perkara baharu dan dalam masa sama, tetap memperjuangkan irama dangdut. Jika penyanyi dangdut Indonesia boleh menyanyi lagu irama lain, mengapa tidak kita?” katanya membuka bicara.
Ditanya mengapa dia bersetuju untuk menyertai GV5, penyanyi lagu Asyik itu berkata, tempoh lima tahun selepas membuat kemunculan semula telah banyak memberinya kekuatan, khususnya dari segi mental dan kestabilan hidup.
“Pihak Astro ada menawarkan saya untuk menyertai Gegar Vaganza sejak awal penerbitan lagi tetapi terpaksa menolak dengan baik.
“Hal ini kerana, ketika tawaran tersebut dibuat, saya belum bersedia untuk bertanding. Maklumlah, sewaktu membuat kemunculan semula selepas hampir 15 tahun menghilang, saya perlu bermula dari bawah dan fikirkan soal kewangan keluarga.
“Namun, setelah kehidupan kembali stabil dan sumber kewangan saya mulai kukuh, baru berani sahut cabaran untuk menyertai Gegar Vaganza pada tahun ini,” jelasnya.
Mengenai kesediaan Amelina untuk dikritik oleh juri, penyanyi berusia 44 tahun itu berkata, dia tidak kisah dikritik, asalkan kritikan tersebut memberi kebaikan kepada persembahannya nanti.
“Sebenarnya, saya lebih gementar untuk membuat persembahan berbanding dikritik. Hal ini kerana, jika menyanyi untuk acara tertutup juga boleh bikin gementar, apatah lagi untuk pertandingan besar,” katanya sambil tertawa.
Bersedia
Terlanjur berbicara mengenai kritikan juri, Safura, 46, yang popular dengan lagu Sedalam Mana Cintamu mengakui bahawa sebelum ini dia tidak terlalu terbuka untuk menerima pandangan individu lain.
Namun, melihat pada prospek karier untuk jangka masa panjang, Safura mulai sedar yang kritikan itu perlu jika dia mahu memperbaiki kualiti nyanyian dan mutu persembahannya.
“Jika ditakdirkan saya menyertai Gegar Vaganza musim-musim terdahulu, mungkin tidak terlalu terbuka untuk menerima teguran. Manusiakan punya ego? Mungkin sebab itu pada waktu itu kurang setuju jika cara nyanyian dikritik.
“Namun, sejak usia semakin meningkat, saya mulai sedar saya tidak boleh menyanyi seperti 20 tahun lalu. Jadi, apa yang saya perlukan ialah teguran secara teknikal supaya boleh menyanyi dengan baik,” ujarnya.
Mengakui pernah beberapa kali pergi ke sesi uji bakat Gegar Vaganza, Safura menjelaskan, dia bersetuju untuk menyertai musim kali ini kerana mendapat persetujuan daripada suami.
“Suami saya, pelakon Shahrolnizam Nor telah memberikan kebenaran untuk saya bertanding dan aktif semula dalam bidang seni.
“Dia juga ada berpesan supaya tidak mengambil mudah terhadap peluang yang diberikan. Insya-Allah, saya akan cuba melakukan yang terbaik,” janjinya.
Beralih perihal strategi sepanjang GV5, Safura berkata, dia telah mula mempelajari tentang aliran muzik terkini yang rata-rata dimonopoli oleh penyanyi muda.
“Sekitar bulan lepas, pihak Astro ada memberikan senarai lagu kepada saya. Pada senarai tersebut tertera perkataan BBNU. Saya tanya kepada mereka, apakah makna BBNU? Selepas dimaklumkan, baru saya tahu ia bermaksud Budak Budak Baru Nak Up.
“Sejujurnya, saya suka mendengar karya pendatang baharu. Lagu-lagu mereka bagus. Sebagai orang lama, saya berasa sangat teruja untuk mempelajari sisi baharu dunia muzik masa kini,” katanya yang turut merancang untuk mendapatkan khidmat guru vokal demi GV5.
Mendatar
Sementara itu, bagi penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu-lagu genre Jazz, Noryn Aziz, penglibatannya dalam GV5 adalah disebabkan impiannya untuk meletakkan diri dalam kalangan peminat lagu-lagu komersial.
“Saya sudah lama berada dalam industri muzik sebagai penyanyi. Namun, sering bertanya kepada diri sendiri, adakah khalayak umum mengenali saya?
“Benar, kelompok pendengar irama Jazz barangkali tahu lagu-lagu nyanyian saya tetapi pendengar muzik arus perdana mungkin tidak sedar akan kewujudan saya,” katanya berterus terang.
Dalam pada itu, Noryn turut menjadikan GV5 sebagai platform untuk mencabar kebolehan dirinya.
“Selama begelar penyanyi, saya melakukan rutin yang sama hampir setiap hari. Saya juga sering melakukan persembahan di lokasi yang serupa sehingga menjadikan graf karier saya sangat mendatar.
“Justeru, saya berharap agar penyertaan saya pada musim ini dapat membuka ruang bukan sahaja kepada saya untuk menjual karya, malah dikenali dalam kalangan pendengar muzik arus perdana,” katanya lagi.
Selari dengan hasratnya itu, Noryn atau nama penuhnya, Norazmahwati Abdul Aziz, 42, kini lebih terbuka untuk mengasosiasikan dirinya dengan muzik yang lebih komersial.
“Banyak yang saya dapat belajar daripada program ini. Selain bergaul dengan peserta lain, saya juga dapat mengambil input daripada juri profesional yang dilantik oleh pihak Astro.
“Bagi saya, mereka merupakan individu yang arif untuk menentukan cara yang sesuai untuk menembusi pasaran arus perdana,” katanya yang sebelum ini pernah melakar nama menerusi lagu Fantasi O Realiti.
Selain Amelina, Safura dan Noryn, GV5 turut membariskan beberapa bintang lain termasuklah Hetty Sarlene, Farahwahida, Dia Fadila, Maya Matahari, Shafie Rio dan Zamani.
Mencipta sedikit kelainan, musim ini turut menampilkan kumpulan vokal iaitu Elite, Forteen dan Billy Zulkarnain.
Bakal dijurikan 100 peratus oleh maestro muzik tersohor, Datuk Ramli MS dan penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim, GV5 turut mengekalkan Nabil Ahmad dan Jihan Muse sebagai pengacara konsert.
Juara GV5 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro manakala pemenang kedua dan ketiga pula masing-masing akan menerima RM50,000 dan RM30,000 berserta trofi. Pemenang tempat keempat, kelima dan keenam akan menerima wang tunai RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 berserta trofi.
Konsert GV5 akan diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula 30 September depan pada pukul 9 malam. Konsert tersebut juga dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).