
MENUNJUKKAN persembahan cemerlang sepanjang berada dalam GV3, Siti Sarah memukau penonton dengan tiga buah lagu I Will Always Love You, Matahariku dan Seandainya pada malam final Ahad lalu.
Ternyata, sejak awal kemunculan semula penyanyi Siti Sarah menerusi Gegar Vaganza musim ketiga (GV3), persembahannya tidak pernah mengecewakan walaupun terpaksa melalui pelbagai ujian seperti jatuh pengsan pada konsert minggu keempat.
Tidak pulang berputih mata, biarpun kemenangan hakiki milik Azharina Azhar, ketekalan dan pengorbanan Siti Sarah tetap terbayar selepas diumumkan naib juara.
Cemerlang dengan persembahan lagu medley I Will Always Love You nyanyian asal Whitney Whitney Houston dan Matahariku (Agnes Mo) serta lagu Seandainya untuk pusingan Battle, melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000, sebuah trofi sumbangan Astro, sebidang tanah lot banglo bernilai RM60,000, dan pakej percutian ke Eropah bernilai RM12,000.
Lebih istimewa, Siti Sarah turut menerima hadiah sampingan wang tunai RM5,000 hasil undian khalayak untuk Anugerah Pilihan Penonton.
Sekali lagi ‘kecundang’ di tangan Azharina selepas Bintang RTM 2001, isteri kepada pelawak dan pelakon Shuib Sepahtu itu tidak mahu situasi tersebut menyekat kegembiraannya. Fokusnya ialah kelangsungan kariernya yang bersinar semula.
KOSMO!: Tahniah Sarah atas kemenangan tempat kedua dalam GV3. Adakah anda puas dengan segala usaha dan pencapaian yang diraih?
SITI SARAH: Alhamdulillah, syukur atas rezeki Tuhan dengan meletakkan saya di tempat kedua. Kemenangan ini bukan hanya untuk diri sendiri tetapi untuk keluarga dan penyokong yang sentiasa memberi dorongan tidak berbelah bahagi sejak kemunculan saya dalam GV3.
Banyak cabaran anda lalui dalam GV3 seperti jatuh pengsan dan tidak cukup masa dengan keluarga. Apa yang menjadi kekuatan untuk bangkit bersaing sehingga ke final?
Sudah tentu keluarga, sahabat dan penyokong. Saya masih ingat, sewaktu jatuh pengsan ketika persembahan minggu keempat tempoh hari, suami buat pengakuan bahawa dia tidak akan memaksa saya terus berada dalam GV3 jika saya benar-benar tidak boleh bertahan, namun saya kuatkan hati.
Dua kali kecundang di tangan orang yang sama selepas Bintang RTM 2001. Apa komen anda situasi tersebut?
Apa yang saya boleh cakap, ini semua soal rezeki. Apa-apa pun, saya sangat berpuas hati dengan kemenangan dalam GV3. Saya percaya, setiap manusia rezekinya berbeza-beza dan ini semua sudah ditetapkan Tuhan.
Sebagaimana Azharina, sudah tertulis rezekinya untuk menang pada malam ini. Jadi, ini adalah rezeki dia, anak serta keluarganya.
Sejak awal kemunculan dalam GV3, ramai meletakkan sasaran bahawa anda berpotensi bergelar juara, tidakkah anda berasa sedikit kecewa?
Ini bukanlah pengakhiran untuk saya, sebaliknya permulaan dan peluang kedua untuk kembali aktif dalam industri. Saya percaya, semua peserta memandang program ini sebagai platform untuk memulakan nafas baharu dalam perjalanan karier kami.
Bagaimana pula dengan reaksi sebahagian peminat yang mengatakan anda masih belum mampu menandingi kehebatan vokal Azharina, selain ada yang beranggapan itu adalah badi yang terpaksa anda lalui. Apa reaksi anda?
Orang boleh berkata apa sahaja yang mereka mahu dan menilai dari sudut pandang masing-masing. Hakikatnya, seperti yang saya katakan tadi, semuanya berbalik kepada percaturan rezeki Tuhan dan apa yang telah diatur, maka inilah yang terjadi pada malam GV3.
Bagaimana anda merumuskan penglibatan sepanjang lapan minggu dalam GV3?
Saya sangat bersyukur kerana telah memberikan yang terbaik walaupun mengakui ada turun naik dari segi persembahan. Apa yang penting, saya sangat gembira pada final GV3, saya dapat memaksimumkan kemampuan vokal dan tiada masalah seperti sesetengah minggu sebelum ini.
Sepanjang lapan minggu berhempas-pulas, rasanya episod yang paling susah untuk dihadapi adalah ketika ditugaskan membawa lagu Bunga Angkasa (minggu keempat) dan Purnama Merindu (minggu kelima).
Bagaimana pula dengan perancangan karier selepas ini?
Insya-Allah, saya akan mengeluarkan beberapa buah single baharu dalam masa terdekat, selain sebuah single duet bersama Tam Spider.
Selepas kali terakhir muncul dengan album pada 2005 iaitu Tiada Dikau Tiada Makna, saya kini merancang untuk menerbit sebuah album.