Fizo Omar Hati tidak muflis


Gara-gara namanya dikatakan disalah guna sebagai penjamin bagi pinjaman RM2 juta tanpa pengetahuannya, pelakon Fizo Omar diisytihar muflis sejak tiga tahun lalu.

Perkara itu menjadikan Fizo Omar atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 31, lebih bersyukur dan mampu bangkit semula sehingga berjaya memiliki beberapa syarikat.

“Sehingga sekarang kes itu belum selesai dan saya diisytihar muflis. Apabila perkara itu berlaku, ia satu pengajaran berharga buat saya.

“Ramai beranggapan apabila diisytihar muflis, hidup seseorang itu sudah berakhir walhal ia tidak benar sama sekali. Saya bangkit semula dengan menjual burger sehingga berjaya membuka 150 cawangan di seluruh negara.

“Saya bersyukur apabila Allah memberi kesedaran kepada saya untuk berubah. Sejak itu saya semat dalam diri muflis hanya atas kertas dan bukannya di hati. Malah mereka yang senasib dengan saya sebenarnya boleh berjaya,” katanya.

Pengacara program Nasi Lemak Kopi O itu mahu mendidik orang ramai supaya tidak takut sekiranya berdepan masalah sepertinya.

Ini kerana kerajaan menyediakan khidmat nasihat kepada mereka yang muflis mengenai hak dan peluang kedua.

“Disebabkan perkara ini saya buang jauh perasaan ego sebagai artis. Saya bersedia melakukan apa saja yang boleh mendatangkan sumber kewangan. Sedangkan pada awalnya saya tidak terfikir melakukannya kerana berasakan status sebagai artis perlu sentiasa kelihatan mewah dan glamor.

“Apabila difikir semula apa gunanya semua itu jika poket kosong? Jadi saya nekad berubah sedikit demi sedikit.

“Jika tidak, saya pasti masih berlakon. Bukan nak memperkecilkan bidang ini tetapi ia berdasarkan pengalaman sendiri. Lain orang lain caranya,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut masalah yang dihadapi, Fizo memaklumkan dia sudah memaafkan individu yang menyebabkan dia menanggung bebanan itu.

“Diakui sebelum ini saya berdendam. Perlahan-lahan saya buang perasaan itu dengan memaafkan perbuatannya. Saya tahu di mana dia berada malah pernah beberapa kali bercakap dan berjumpa empat mata dengannya,” katanya.

Mengenai karier lakonan pula, Fizo terpaksa menolak tawaran yang datang kerana terikat dengan jadual ceramah motivasi.

Jelas Fizo, setiap minggu dia mendapat dua atau tiga jemputan menjadi penceramah dan memerlukannya berada di luar Lembah Klang.

“Sehingga kini masih ada tawaran berlakon tetapi saya menolak secara baik. Bukan tak nak, tetapi memang tak ada masa. Apatah lagi berlakon menuntut komitmen yang tinggi. Kalau saya selitkan dengan kerja lain, bimbang nanti menyusahkan pihak produksi.

“Lagipun, jadual ceramah saya padat sehingga tahun depan. Saya hanya boleh mengacara kerana ia dijalankan secara langsung dan tidak memakan masa panjang,” katanya.

Perkembangan lain, Fizo kini rancak merancang menerbitkan program realiti berbentuk perniagaan iaitu Bisnes Make Over.

Menerusi program ini Fizo menjadi mentor kepada peserta terpilih selain bertindak sebagai pengacara.

“Dalam program ini kita mencari perniagaan yang sudah lama beroperasi dan melakukan pembaharuan. Jika tidak ada aral melintang ia bakal memulakan penggambaran tahun depan kerana penaja sudah memberi persetujuan,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post