Amy Mastura Jangan berlagak diva


Sedar tak sedar sudah 24 tahun Amy Mastura membina nama sebagai penyanyi dan pelakon. Banyak pengalaman diraih sepanjang tempoh itu, malah dia masih mampu bertahan hingga ke hari ini.

Menurut penghibur berusia 45 tahun ini, dia masih aktif menyanyi dan sesekali berlakon bagi memenuhi permintaan peminat yang mahu melihatnya terus ‘bernyawa’ dalam industri.

“Saya masih mahu berkarya dan sebagai penyanyi perlu tampil dengan lagu baru.

“Tawaran berlakon juga masih ada meskipun tidak sebanyak dulu. Semua ini penting bagi kelangsungan karier saya,” katanya.

Meskipun kehadiran artis baru bak cendawan tumbuh selepas hujan, Amy sama sekali tidak gentar kerana percaya rezeki setiap insan sudah ditetapkan.

“Ini semua bergantung kepada rezeki setiap orang. Saya tak ada masalah dengan kemunculan artis baru. Tak semestinya mereka saja yang perlu belajar dengan senior, tetapi kita yang sudah lama dalam industri pun boleh belajar beberapa perkara dengan mereka.

“Apa yang penting, jangan berlagak ‘diva’ kerana kita tak akan dapat ilmu baru. Artis baru kadang-kadang ada ilmu yang kita sendiri tak tahu,” katanya.

Ditanya mengenai kehidupannya sebagai isteri kepada Alvin Tham Suffian dan ibu kepada dua cahaya mata, Adriana Tham, 15, dan Adalia Tham, 11, Amy mengakui dirinya diulit bahagia.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Suami dan anak juga dalam keadaan baik dan semuanya teratur. Adriana dan Adalia juga mula menunjukkan minat dalam bidang seni.

“Sebagai ibu, saya tak menghalang sekiranya mereka ingin menceburi bidang ini bahkan kalau mereka mahu jadi artis sekalipun saya sokong,” katanya.

Terbaru, Amy baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Jejak Karmila untuk slot Zehra TV3.

“Dalam drama 13 episod ini, saya melakonkan watak Sharifah Aniza. Selain saya ada Fauziah Ahmad Daud, Fauziah Nawi, Azri Iskandar dan ramai lagi,” katanya.

Tidak hanya itu, Amy juga tampil dengan single terbaru berjudul Kalimah.

“Lagu ciptaan Ardiv Jauhari ini saya rakam dua tahun lalu.

“Tahun lalu saya memperkenalkan single Menari Ler. Kalimah berbeza dengan Menari Ler kerana ia lagu balada.

“Agak kerap saya keluarkan lagu berentak ‘catchy’, jadi kali ini saya sajikan karya yang lebih membuai sebagai hadiah buat peminat,” katanya.



Post a Comment

Previous Post Next Post