Dejavu terindah Azharina Azhar


DUA kali terlibat dalam pertandingan berskala besar dan dua kali juga namanya diangkat sebagai juara. Mula melakar nama sebagai penyanyi selepas memenangi pertandingan Bintang RTM 2001, Azharina Azhar kembali mengulangi momen manis yang pernah diraih dahulu apabila dimahkotakan sebagai juara menerusi program terbitan Astro, Gegar Vaganza musim yang ketiga (GV3) malam kelmarin.

Keputusan tersebut sekali gus meremukkan harapan dan impian lima finalis lain iaitu Siti Sarah, Zarul Umbrella, Ameng Spring, Intan Sarafina serta Gmie Screen untuk merangkul gelaran yang sama.

Kemenangan Azharina, 31, pada konsert akhir program tersebut yang turut mengetepikan pencabar terdekatnya, Siti Sarah telah membawa penonton mengimbau kembali sejarah perjalanan mereka berdua sewaktu sama-sama berentap menerusi pertandingan Bintang RTM sekitar 15 tahun lalu.

Tidak pernah terfikir menjadikan GV3 sebagai pentas untuk menunjukkan kehebatan, penyanyi kelahiran Sabah itu hanya berpegang prinsip mahu mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup bersama anak angkatnya, Rahmat Azaharin Aziz Mohamad Faizal, 2.

“Sejak mula bertanding, saya tidak tahu senarai hadiah yang bakal diterima kerana saya masuk GV3 bukan sebab mahu meraih gelaran juara.

“Sejujurnya, saya buat semua ini disebabkan anak saya, Rahmat dan kecintaan yang mendalam terhadap bidang muzik,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang akhbar usai konsert akhir GV3 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam, Selangor, Ahad lalu.

Menerusi kemenangan tersebut, Azharina menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM100,000 berserta sebuah trofi dan rakaman sebuah single terbitan Astro.

Selain itu, dia turut menerima sebidang tanah lot banglo tajaan Budi Group bernilai RM60,000, pakej percutian ke Itali, pakej penginapan di The Puteri Pacific Hotel, Johor Bahru dan rantai mutiara sumbangan Rafflesia bernilai RM30,000.

Merupakan kawan baik kepada Siti Sarah, penyanyi yang popular dengan lagu Elegi Sepi itu menyifatkan keberadaannya dalam GV3 sebagai platform terbaik untuk bertemu dengan rakan-rakan seperjuangan yang lain.

“Sebelum bermulanya GV3, saya dan Siti Sarah pernah berbincang mengenai pertandingan ini. Katanya, dia (Siti Sarah) tidak akan masuk jika saya juga ikut bertanding.

“Tetapi, saya berjaya meyakinkan Siti Sarah bahawa GV3 bukanlah sekadar pentas untuk beradu bakat. Saya memandang GV3 ini sebagai acara reunion bersama penyanyi yang seangkatan,” katanya yang menganggap Siti Sarah sebagai rakan paling rapat semasa mereka menyertai Bintang RTM lebih sedekad lalu.

Memutar kembali persembahannya sewaktu di pentas akhir, Azharina berjaya memukau penonton menerusi medley lagu Izinkanlah dan Mama Aku Ingin Pulang.

Penjiwaan


RAMALAN - Seperti judul lagu, Ramalanku Benar Belaka, kemenangan Azharina sebagai juara diikuti Siti Sarah (naib juara) dan Zarul Umbrella menduduki tempat ketiga menepati jangkaan ramai.

Dipopularkan oleh penyanyi dari seberang Nike Ardilla, rendisi Azharina yang bersulam rintihan pada malam tersebut turut menyebabkan juri jemputan, penyanyi Hetty Koes Endang melinangkan air mata.

Menerusi sesi ulasan, Hetty menyifatkan nyanyian Azharina untuk kedua-dua buah lagu tersebut sebagai sebuah persembahan yang ikhlas sehingga berjaya menoreh luluh hatinya.

Mengakui lagu tersebut begitu dekat dengannya, Azharina berkata, Izinkanlah dan Mama Aku Ingin Pulang menceritakan kegagalan perkahwinannya bersama bekas suami, Datuk Syukri Mohamed dan fasa sukar membesarkan putera kesayangannya seorang diri.

“Lagu tersebut berjaya dijiwai dengan baik kerana ia sangat dekat dengan kisah perkahwinan saya. Walaupun pernah tercetus rasa ingin kembali bersama, saya sedar yang kami sekarang sudah memiliki kehidupan masing-masing.

“Emosi saya turut bergelora sewaktu mendendangkan Mama Aku Ingin Pulang kerana sering terbayangkan wajah Rahmat. Mungkin perasaan rindu menebal dalam jiwa sehingga saya benar-benar tenggelam dalam perasaan,” katanya yang mendirikan rumah tangga bersama Syukri pada 2007 dan berpisah tiga tahun kemudian.

Pengorbanan

Melanjutkan perbualan, Azharina turut melahirkan rasa sebak kerana penglibatannya dalam GV3 telah menghakis masa yang sepatutnya diluangkan bersama Rahmat.

Namun, segalanya dipandang positif oleh Azharina. Biarlah masa yang terkambus dek hambatan waktu tersebut diabadikan sebagai bukti pengorbanan paling besarnya sebagai seorang ibu.

Bercakap tentang hadiah pula, Azharina masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk membelanjakan wang kemenangannya.

Dalam perkembangan terbaharu, Azharina dijadualkan membuat persembahan di Filipina dan Indonesia sekitar awal tahun hadapan.

Kemenangan Azharina dalam GV3, sekali gus menandakan tamatnya sebuah program hiburan yang telah mencetuskan pelbagai drama, emosi hiba dan seronok kepada penonton serta setiap individu yang terlibat.

Puas

Bercerita tentang mutu persembahan keseluruhan, Datuk Ramli MS sebagai ketua juri berkata, beliau cukup berpuas hati dengan pencapaian peserta GV untuk tahun ini.

Mengenai persembahan Siti Sarah yang harus pulang dengan trofi naib juara, Ramli menyifatkan penyanyi yang popular dengan lagu Kesetiaan tersebut terlalu mementingkan aspek teknikal sehingga mengabaikan faktor penjiwaan.

“Nyanyian Siti Sarah terlalu teknikal sehingga butir suaranya kedengaran ‘sombong.’

“Namun, saya tidak boleh menafikan bakat yang ada padanya. Dia merupakan seorang penyanyi yang bagus,” kata Ramli yang turut berdepan banyak kecaman ‘pemuja’ artis sepanjang dua bulan pertandingan.

Pada pandangan Ramli juga, Zarul berada pada tangga pertama jika dilihat menerusi graf peningkatan saban minggu.

“Zarul menunjukkan peningkatan prestasi vokal yang baik. Semoga dia terus cemerlang di luar nanti,” ujar Ramli menutup perbualan.

Diterbitkan buat pertama kali pada tahun 2014, Gegar Vaganza musim pertama menyaksikan penyanyi Ayai Ilusi sebagai juara manakala Siti Nordiana mengisi kerusi johan bagi musim kedua.

Post a Comment

Previous Post Next Post