Sisi berbeza Sharnaaz Ahmad


MENGAKUI bidang pengacaraan bukan jiwanya, pelakon berbadan sasa, Sharnaaz Ahmad berkata, dia sedia mencabar diri dalam bidang itu.

Ujarnya, dia tidak pernah meletakkan harapan supaya penonton menerima penampilannya sebagai hos.

"Kali pertama diberikan tanggungjawab sebagai hos memang sukar bagi saya.

"Sementelah ia adalah sebuah rancangan live bukannya dirakam terlebih dahulu. Tetapi, saya ambil daripada sudut positif dan berusaha memberikan yang terbaik," kata hos Gempak Superstar ini.

Terkenal sebagai hero drama tempatan, jelasnya, dia tidak kisah dengan pandangan atau respons penonton yang tidak menggemari penampilannya di pentas.

"Mulut orang tidak boleh ditutup, apa sahaja komen negatif daripada mereka, kita hanya boleh dengar sahaja.

"Saya sendiri tidak mahu perkara tersebut mengganggu prestasi kerja," kata pelakon drama bersiri Mencintaimu ini.

Bercerita lanjut, kata pelakon berusia 30 tahun ini, dia nekad menggalas tanggungjawab sebagai hos kerana mahu mencari sudut berbeza dalam aspek kerjaya.

"Ini satu kelainan dalam profil hidup saya. Sebelum ini, jika menjadi hos pun sekadar jemputan sahaja.

"Apabila ada pihak memberi kepercayaan kepada saya seperti ini, saya perlu bekerja keras merealisasikan kemahuan mereka," katanya.



Tidak bimbang jika kesilapan mengacara menjadi perbualan, kata Sharnaaz, dia akur dengan dunia media sosial yang menjadi medium 'menghentam' seseorang individu itu.

"Silap atau tidak, ada sahaja pendapat dilemparkan di media sosial. Sudah lumrah dalam dunia seni, apa dilakukan menjadi perhatian," katanya.

Pelakon filem Juvana ini juga memberitahu, dia menjadikan Awal Ashaari sebagai contoh terbaik dalam bidang ini.

"Awal seorang pengacara yang bijak. Daripada penyampaiannya sahaja, kita boleh lihat dia seorang yang sentiasa bersedia dan melakukan usaha bagi setiap tugasannya.

"Bagi saya, untuk menjadi sebaik Awal, sudah tentu jauh sekali," katanya.

Bergandingan bersama Scha Al-Yahya menerusi Gempak Superstar, kata Sharnaaz, dia mengagumi isteri Awal Ashaari itu ketika di beraksi di pentas.

"Terus terang saya katakan, bergandingan dengannya membuatkan saya lebih gementar.

"Lagi pun, dia terlebih dahulu menjadi hos berbanding saya. Tetapi, saya yakin dengan bantuannya, saya dapat memperbaiki mutu penyampaian saya sebagai pengacara yang masih hijau.

"Jangan samakan lakonan dengan hos, kerana ia sesuatu yang sangat berbeza," katanya.

Belajar erti sabar

Bertindak pertama kali sebagai pengarah menerusi telefilem sulungnya, Lukisan Cinta, bicara Sharnaaz, pengalaman tersebut banyak mengajarnya erti sabar.

"Menggalas tanggungjawab sebagai pengarah bukan muda. Tetapi saya seronok kerana ia satu lagi bidang baharu yang wujud selepas tujuh tahun berada dalam bidang seni," katanya.

Berkongsi cabaran dihadapi katanya, ia lebih besar apabila dia bukan sahaja menjadi pengarah sebaliknya, penerbit dan juga pelakon bagi telefilem berkenaan.

"Banyak perkara perlu dilakukan. Jika tidak teliti, boleh menimbulkan masalah kepada diri sendiri, karya tersebut dan juga pihak terlibat.

"Kerana itu saya katakan, pengalaman ini sangat berharga," katanya.

Penglibatannya dalam bidang pengarahan juga meletakan dia memandang tinggi kepada kerjaya di sebalik tabir.

"Berada di belakang tabir memerlukan kesabaran dan sentiasa positif. Jika masalah timbul kita perlu mencari jalan penyelesaian.

"Banyak perkara perlu diberikan perhatian untuk memastikan sesuatu projek itu berjalan lancar dan dapat diterbitkan," katanya Lukisan Cinta dibintangi pelakon popular Nabila Huda, Azhan Rani dan Normah Damanhuri.

Sedikit mengenai sisi peribadinya, kata Sharnaaz, dalam usianya kini, dia sudah bersedia mendirikan rumah tangga.

"Bila sampai masanya, saya pasti akan berkahwin. Cuma bila itu belum pasti. Saya tidak mahu berkahwin di bawah tekanan.

"Biarlah ia datang dengan sendiri. Lagi pun saya berharap hubungan dibina kali ini kekal ke jinjang pelamin," kata buah hati kepada Noor Nabila (kakak Neelofa) ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post