BATASAN LAKONAN
Kita tidak perlu tunggu suami bersuara, sebaliknya sedar batas-batas lakonan yang perlu dititikberatkan. Sebelum berkahwin pun saya tidak menerima watak yang berani dan terlalu terbuka, apatah lagi bila dah kahwin. Bukan nak cakap kita baik, fizikal pun belum lagi berubah. Jadi, biarlah kita kurangkan dan jaga bahagian yang lain.
Lebih dua tahun melayari bahtera perkahwinan, Fouziah Gous nyata bahagia dengan pilihan hidupnya. Pada 21 September 2013, dia berkahwin dengan kekasihnya, Md. Zhafran Md. Yusof yang tetap setia menjadi pemimpin dan pengurus hidupnya sehingga kini.
Ditakdirkan memiliki zuriat comel bernama Muhammad Zeeshan, Fouziah atau lebih mesra disapa Poja ini tidak mahu ketenangannya digugat dengan tawaran watak yang menuntutnya berada di lokasi berbulan-bulan lamanya.
Agak sepi daripada publisiti, Fouziah mengakui, misi hidupnya berubah dan tidak banyak terburu-buru dalam mengejar sesuatu, tambahan pula permata hatinya sedang menyusu badan sepenuhnya.
“Pengalaman selepas berkahwin dan mempunyai anak memang berubah 100 peratus. Lepas ada anak, semua benda fikirkan dia sahaja bukan lagi diri sendiri.
“Sehingga kini, saya masih tiada kekuatan untuk membiarkan anak dijaga oleh orang lain. Mungkin sebab naluri keibuan saya tebal. Kalau boleh, saya mahu bawa semua kerja dan bisnes ke rumah.
“Disebabkan itu juga, bila ada yang memanggil untuk sesi fotografi saya akan bertanya mengenai lokasi. Alhamdulillah kerana saya dikurniakan anak yang baik dan senang untuk dijaga,” ujarnya yang masih belum bersedia untuk kembali ke arena lakonan biarpun menerima beberapa tawaran drama.
Sesekali gear perlu diletakkan di paras ‘P’ untuk berehat seketika demi memberi perhatian kepada keluarga.
Bagaimanapun, kata Fouziah, sampai satu masa, dia akan kembali semula ke dunia lakonan yang sangat dicintainya.