KEDUA-DUA penyanyi ini berkongsi skrip yang sama apabila tidak begitu teruja untuk mencabar bakat lakonan masing-masing.
GOSIP dan artis ibarat irama dan lagu. Tidak lengkap rasanya jika gosip tidak menyimbahi kehidupan glamor seseorang artis.
Ada gosip yang bersifat ‘membunuh’, tidak kurang juga ada gosip yang membantu meningkatkan populariti supaya lebih dikenali peminat.
Kesempatan bertemu dua artis popular iaitu Waris, 27, dan Asfan Shah, 32, baru-baru ini dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Sensasi Bintang untuk mengungkap bicara lanjut berhubung perkara itu.
SENSASI BINTANG: Apakah gosip terbesar yang pernah kalian hadapi sebagai anak seni?
WARIS: Terdapat pelbagai gosip, cuma saya tidak tahu bagaimana untuk mendefinisikan gosip itu.
ASFAN SHAH: Apabila sesekali terkena tempias, contohnya seperti kes baju sehingga diugut macam-macam, pada mulanya terkejut juga. Ada juga timbul kes perselisihan faham bersama adik ipar sebelum ini, cuma bagi saya ia sudah selesai dan tidak perlu dipanjangkan memandangkan ia hal keluarga.
Bagaimana anda mengendalikan cerita-cerita negatif seperti itu?
WARIS: Ia akan mematangkan saya kerana merupakan satu publisiti yang banyak membantu menaikkan atau menjatuhkan seseorang artis. Jika tidak berfikir panjang, itu pilihan sendiri. Justeru, ia bergantung kepada artis itu sendiri.
ASFAN SHAH: Semasa mula-mula menjejakkan kaki dalam industri sekitar tahun 2005, saya tidak pernah terfikir untuk menjadi popular. Saya lebih fokus untuk mencari makan dalam industri kerana mempelajari muzik, konsepnya sama seperti jurutera dan doktor. Cuma, saya tidak menolak kemungkinan betapa kontroversi turut membantu untuk dikenali.
Boleh kongsikan serba sedikit berhubung kehidupan peribadi kalian?
WARIS: Alhamdulillah, isteri (Izzati Amirah Kamaruddin) sudah hamil empat bulan. Jantina anak masih tidak diketahui, cuma saya dan isteri tidak kisah sebenarnya. Kini, saya perlu lebih bekerja kuat dan perlu lebih matang menguruskan rumah tangga, tambahan pula bakal menjadi bapa tidak lama lagi.
ASFAN SHAH: Semuanya okey, saya juga telah menghantar keluarga menunaikan umrah baru-baru ini. Isteri (Ain Sakinah Razali) dan dua anak (Ali Haytham Shah, 3, dan Ali Wakeel Shah, 1) juga sihat walafiat, alhamdulillah.
Sebagai penyanyi, tidak pernah terfikir untuk meneroka cabang berbeza dalam bidang seni?
WARIS: Saya pernah cuba melawak sambil menyanyi apabila menyertai program Juara Parodi sebelum ini. Cuma, saya tidak pandai berlakon, jadi minat itu tiada. Sebaliknya, saya lebih gemar menulis. Buat masa ini, saya sedang mengumpul material untuk dibukukan iaitu Kamus Berdialog Negeri Sembilan untuk semua lapisan masyarakat yang diharap dapat dilancarkan selewat-lewatnya awal tahun depan.
ASFAN SHAH: Saya pernah berlakon sekali, cuma saya tidak cenderung ke arah itu. Bukan kerana tidak minat, cuma saya lebih teruja menyanyi. Saya pernah tampil sebagai hos sebuah program muzik tahun lepas. Jika ada peluang, apa salahnya mencuba.
Bagaimana pula dengan pembikinan album?
WARIS: Saya sedang fokus untuk mengeluarkan album kedua sekitar penghujung tahun ini. Insya-Allah, ia bersifat lebih matang berbanding album pertama sebelum ini yang lebih fokus terhadap irama hip hop. Justeru, saya mahu menyampaikan kelainan dan positif meskipun kekal menggunakan dialek Negeri Sembilan.
ASFAN SHAH: Saya bakal tampil dengan album sulung yang turut mengandungi single-single popular saya seperti Alasan Untuk Bahagia, Semua Tentang Kita dan Maafkan Aku selewat-lewatnya penghujung tahun ini. Konsepnya masih di peringkat perbincangan. Mungkin, ramai yang tidak tahu saya pernah tampil dengan konsep hip hop sebelum ini, cuma peminat nampaknya lebih menerima saya menerusi lagu-lagu berentak balada.
Boleh kongsikan sesuatu mengenai projek terkini kalian?
WARIS: Saya memiliki single terbaharu iaitu Legenda yang dicipta oleh DJ Fuzz sementara melodi dan lirik oleh saya sendiri. Ia sebagai inspirasi kepada anak-anak muda supaya menjadi legenda suatu hari nanti. Ia didekasikan kepada arwah Pak Yus. Sebenarnya, kita perlu meraikan legenda semasa masih hidup, bukannya setelah meninggal dunia. Muzik video lagu ini juga telah ditonton hampir 70,000 sejak dimuat naik di YouTube sejak bulan lepas.
ASFAN SHAH: Single terbaharu saya, Semua Tentang Kita masih dimainkan di radio tempatan. Saya juga bakal tampil dengan single terbaharu tidak lama lagi, cuma masih berada di peringkat perbincangan sama ada kekal dengan genre balada ataupun sesuatu yang berbeza dan lebih segar selepas ini. Selain itu, saya juga sibuk menghasilkan material-material untuk artis lain.
Boleh kongsikan sesuatu berhubung keperibadian kalian yang mungkin tidak diketahui umum?
WARIS: Saya sememangnya kuat tidur, maksud nama saya juga sebenarnya orang yang suka berselimut (ketawa). Saya juga seorang yang pelupa dan gemar meletakkan barang merata-rata. Saya hanya tahu memasak juadah lompap lembu iaitu sejenis gulai masak lemak cili api bersama organ dalaman lembu seperti hati, limpa dan sebagainya. Saya cukup suka mengumpul koleksi jam tangan dan Star Wars. Saya juga boleh bermain dram, gitar dan piano.
ASFAN SHAH: Saya memang penakut naik lif kerana pernah terperangkap, memang trauma dibuatnya. Selain itu, saya tidak makan makanan berkolesterol kerana takut jatuh sakit, lagipun saya tidak suka makan ubat. Saya sukakan warna yang menyerlah, selain memiliki koleksi kasut eksklusif. Saya juga boleh bermain gitar dan piano, selain suka berjalan-jalan bersama keluarga ke mana-mana berbanding sekadar melepak di rumah.