Nabil Mahir menangis putus cinta



Episod putus cinta dengan pelakon Sarah Hildebrand merupakan tamparan yang besar buat pengacara Nabil Mahir. Mungkin sebab itu, Nabil tanpa segan silu menumpahkan air matanya di hadapan pihak media apabila diminta berkongsi mengenai hubungan cintanya dengan Sarah yang telah berakhir baru-baru ini.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, hubungan yang dibina selama lima tahun itu akhirnya terputus gara-gara perselisihan faham yang gagal diselesaikan antara mereka.

Mengambil pendekatan untuk tidak memburukkan bekas kekasihnya, Nabil menganggap perpisahan merupakan jalan terbaik untuk kedua-dua pihak.

Biarpun perit, Nabil yang pernah mempunyai impian untuk mendirikan rumah tangga dengan pelakon yang popular dengan drama Pujaan Hati Kanda itu tetap mendoakan kebahagiaan Sarah.

Adakah benar hubungan cinta Nabil bersama Sarah telah berakhir kerana kalian dilihat memadam gambar masing-masing dalam Instagram?

Nabil: Ya, memang hubungan kami telah putus. Saya mengaku telah memadam semua gambarnya kerana itu sebahagian daripada proses untuk meneruskan kehidupan.

Dia juga sama, menerima keputusan perpisahan ini dan telah melupakan kisah lalu.

Sejak bilakah anda mula menyedari hubungan dengan Sarah berdepan dengan masalah?

Sejak beberapa bulan yang lalu saya terasa seperti orang luar dan disisihkan setiap kali kami keluar bersama. Disebabkan ingin menjaga hubungan kami, saya tidak pernah membincangkan perkara berkenaan.

Bagaimanapun, semakin hari saya melihat dia semakin berubah. Keluarga juga telah merasakan perubahan dingin dalam perhubungan kami. Mereka sering bertanyakan hal yang sama.

Dia tidak lagi meluangkan masa bersama keluarga dan saya juga merasakan dia semakin jauh.

Adakah ini kali pertama anda membuat keputusan untuk berpisah selepas lima tahun bercinta?

Semua hubungan pasti ada kisah di sebalik tabir. Begitu juga dengan hubungan kami. Bergaduh adalah perkara biasa dan kami menyelesaikannya dengan baik.

Cuma pada kali ini, berlaku perselisihan faham yang gagal kami selesaikan dan mencapai kata sepakat. Mungkin perpisahan adalah yang terbaik untuk kami.

Jika anda sudi berkongsi, apakah punca perselisihan faham tersebut sehingga menyebabkan perpisahan?

Selepas menyedari hubungan semakin dingin, kami mengadakan perbincangan. Saya hanya meluahkan isi hati.

Kemudian perbalahan tercetus. Saya enggan berkongsi secara terperinci. Tetapi perpisahan berlaku kerana salah faham antara kami.

Adakah anda masih berharap untuk kembali bersama?

Jauh di sudut hati, memang saya ingin kembali bersamanya. Kami telah bersama selama lima tahun dan merancang untuk mendirikan rumah tangga pada tahun ini.

Hubungan kami juga direstui keluarga, malah saya telah membeli cincin untuk melamarnya. Saya hanya menanti tarikh dan saat yang sesuai untuk menzahirkan hasrat menjadikan dia isteri.

Setelah apa yang berlaku, sudah tentu saya sedih.

Adakah perpisahan berpunca daripada kehadiran orang ketiga?

Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa atau mengeluarkan kenyataan perpisahan berpunca daripada kehadiran orang ketiga.

Saya menganggap apa yang berlaku sebagai ketentuan Allah yang menjawab doa saya saban hari. Saya berdoa kepada Allah sekiranya dia milik saya dekatkan, jika tidak tolong berikan petanda.

Oleh itu, saya yakin dengan ketentuan Allah yang menjawab doa saya.

Sebenarnya bilakah perpisahan tersebut berlaku?

Kami putus kira-kira dua minggu lalu. Secara peribadi saya mengaku tidak okey, tetapi demi kerja saya perlu sentiasa senyum.

Saya tidak boleh menangis di hadapan khalayak kerana masalah peribadi. Doakan saya kuat.

Post a Comment

Previous Post Next Post