As'ad Motawh maafkan netizen




Akibat salah faham terma penggunaan perkataan konsert sempena mempromosikan jelajah persembahan mininya yang akan berlangsung sepanjang Mac dan termasuk April depan, penyanyi As'ad Motawh sekali lagi berdepan dengan kecaman netizen.

Hal ini kerana, As’ad atau nama lengkapnya As’ad Ahmed Mohamed Motawh didakwa pernah menyebut perkataan konsert sedangkan sepanjang dua tahun bergelar artis, dia baru memiliki dua buah single.

Jadi, kerelevanan dua buah lagu dengan signifikan penganjuran sebuah konsert yang lazimnya berskala besar, sama sekali tidak logik dan dapat diterima akal.

Rata-rata pengguna media sosial mengecam penyanyi muda itu dengan menyifatkan dia seorang yang kuat berangan kerana sudah mahu melakukan konsert meskipun hanya mempunyai dua buah lagu.

Bahkan selepas poster persembahan berkenaan dikeluarkan, As’ad sekali lagi dikritik kerana rupa-rupanya acara berkenaan bukanlah sebuah persembahan solo, sebaliknya turut melibatkan dua lagi artis lain iaitu Isma Sane dan Outbreak.

Menjelaskan keadaan sebenar, As’ad percaya perkara tersebut berlaku kerana salah faham dan kesilapan dalam berkomunikasi apabila menggunakan perkataan konsert dalam beberapa temu bual bersama media sebelum ini.

“Saya yakin ini cuma salah faham sebab sebelum ini memang saya sebut perkataan showcase bukan konsert. Malah saya juga tidak pernah sebut bahawa persembahan ini adalah konsert solo.

“Jadi tidak timbul isu saya menipu sebaliknya lebih ke arah salah faham. Kalau diikutkan, showcase ini pun menggunakan nama The Percaya Tour, bukannya As’ad Motawh Tour,” jelasnya meleraikan salah faham yang berlaku.

Mengulas mengenai showcase tersebut, persembahan dijadualkan berlangsung di enam buah lokasi iaitu The Curve, Selangor pada 2 Mac, Mahkota Parade, Melaka (3 Mac), Plaza Angsana, Johor (9 Mac), Central Square, Kedah (23 Mac), Kuantan City Mall, Pahang (30 Mac) dan Center Point, Sabah (6 April).

Tambah As’ad, dia akan tampil dengan dua buah lagu baharu yang hanya akan dinyanyikan secara eksklusif sepanjang persembahan berkenaan.

“Ini salah satu cara untuk saya membuat kelainan dengan menampilkan dua buah lagu baharu secara eksklusif. Mulanya perancangan awal adalah untuk melancarkan album tetapi ditukar dengan single.

“Bagi saya, tidak salah untuk mencuba sebab dari situ saya dapat melihat sendiri penerimaan peminat. Orang mahu kecam atau kritik, terpulang. Kalau mereka tidak peduli, sepatutnya mereka tidak perlu ambil kisah pun mengenai saya. Jadi apabila isu ini dibangkitkan, saya ambil dari sudut positif kerana turut memberi impak terhadap penganjuran showcase nanti,” ujarnya ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Selain menghiburkan peminat, As’ad tampil dengan misi kebajikan sepanjang persembahan jelajah nanti. Dia bersama rakan artis terlibat akan menjual beberapa barangan terpakai (preloved) dalam usaha mengumpul dana kebajikan. Hasil jualan barangan terpakai tersebut akan didermakan kepada Persatuan Prihatin Sahabat Sabah di Kota Kinabalu, Sabah.

Memaafkan

Menyingkap sedikit kisah lalui, sebut sahaja nama As’ad Motawh, sudah bermacam kecaman pernah dilalui pemuzik muda itu.

Meskipun pada awalnya sekitar tahun 2017, As’ad mengaku sangat takut berhadapan dengan dunia hiburan, namun kini perlahan-lahan dia cuba membiasakan diri.

Kini, dia tidak lagi peduli dengan kecaman orang dan mampu meneruskan hidup seperti biasa kerana sedar masih ada yang kelompok peminat yang menyokong perjalanan kariernya.

Bersandarkan prinsip ‘jangan jadi artis kalau takut dikecam’, pelantun lagu Senyum itu sedar kecaman netizen di media sosial sebenarnya terkandung beribu alasan.

“Saya pernah bertemu empat mata dengan seorang individu yang mengaku pernah mengecam saya di laman sosial. Pertemuan itu berlaku spontan dan secara jujur, dia mengaku di hadapan saya tentang tindakannya.

“Hakikatnya sepanjang berbual dengannya, saya dapati dia seorang yang baik. Cuma dia mengaku tindakannya mengecam saya adalah untuk menaikkan rating laman sosialnya.

“Biarpun saya tahu tindakannya tidak betul dan salah tetapi tidak mengapa, saya maafkan dia sebab itu caranya mendapatkan sumber rezeki. Dari situ saya sedar bahawa keyboard warrior atau pahlawan kekunci sebenarnya hanya berani di alam maya. Kalau jumpa di luar, ada juga yang minta bergambar,” ujarnya.

Sejak dari awal kemunculannya menjadi penyanyi sekitar dua tahun lalu, kehadiran As’ad dalam industri bagaikan tidak ‘direstui’ ramai pihak kerana ada yang melabelkan dirinya sebagai pendatang baharu atau diberi terma ‘Budak-Budak Baru Nak Up’ (BBNU) yang tidak boleh menyanyi.

Dakwaan sebegitu diperkuatkan lagi dengan insiden memalukan berlaku sekitar hujung tahun 2017 ketika As’ad gagal menyanyikan lagu daripada kumpulan Armada Band berjudul Asal Kau Bahagia menerusi sebuah program di Indonesia.

Kejadian tersebut pantas mengundang kecaman pengguna laman sosial yang mempertikaikan tahap vokal penyanyi berusia 18 tahun itu sebagai sumbang.

Mengambil iktibar daripada perkara berkenaan, As’ad bagaimanapun enggan membiarkan dirinya larut dalam kecaman sehingga mendatangkan impak negatif.

Mengakui tidak lari daripada membuat kesilapan, As’ad sedar betapa perlunya dia memperbaiki kelemahan diri dengan mendapatkan bantuan daripada pihak profesional.

“Selepas kejadian itu, saya ada ambil kelas vokal. Biarpun hasilnya perlahan tetapi saya ambil masa untuk belajar kerana itu merupakan satu proses bagi meningkatkan mutu vokal.

“Saya ambil kelas vokal bukan kerana terkesan dengan insiden tempoh hari tetapi hakikatnya sebelum masuk ke dalam industri, saya tidak berkesempatan untuk belajar dengan betul.

“Saya cuma ada masa tiga bulan sahaja bernyanyi sebelum dilamar syarikat BeeGood Music menjadi artis. Jadi, saya ambil peluang yang ada sekarang untuk memperbaiki kelemahan diri,” ujarnya yang pernah belajar vokal bersama Juliza Adlizan sebelum menyambung kelas di British Academy of Performing Arts, Bandar Sunway sejak bulan lepas.

Biarpun kerap dikecam kerana 
disifatkan tidak memiliki bakat menyanyi dan hanya bersandarkan rupa, namun penyanyi remaja As’ad Motawh memilih untuk memaafkan pembencinya kerana sedar tindakan membenci tidak akan menguntungkan sesiapa.

Post a Comment

Previous Post Next Post