Prestasi seni Nabil Ahmad, Hael Husaini, Wany Hasrita




Tinggal dua hari sahaja lagi sebelum tahun 2018 melabuhkan tirainya meninggalkan dunia dengan seribu kemanisan dan suka-duka kehidupan untuk dikenang dalam lipatan kenangan.

Buat tiga figura seni, Nabil Ahmad, Hael Husaini dan Wany Hasrita, tahun 2018 menyimpan memori seindah pelangi. Tahun ini meletakkan mereka pada aras tertinggi apabila menerima pengiktirafan istimewa dalam karier masing-masing.

Sedar pengiktirafan tersebut lahir bersama tanggungjawab besar, mereka enggan leka dan berasa selesa dengan kejayaan yang diraih, sebaliknya berusaha lebih keras untuk terus cemerlang membina kredibiliti.

Nabil pengacara terbaik

Sepanjang tempoh 10 tahun berkelana sebagai anak seni, tidak keterlaluan jika dikatakan 2018 merupakan tahun paling manis buat pengacara terkenal Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil.

Selain momentum karier dalam bidang pengacaraan meroket naik, kredibilitinya diangkat ke taraf antarabangsa apabila dinobatkan sebagai Pengacara Hiburan Terbaik (dinilai berdasarkan program Gegar Vaganza) pada Asian Academy Creative Awards di Cannes, Perancis pada Oktober lalu.

Nabil, 35, yang bakal menimang cahaya mata ketiga juga mengambil langkah berani apabila mula menceburkan dirinya dalam bidang penerbitan. Terbaharu, dia akan menerbitkan dan mengarahkan filem pertamanya pada tahun depan.

Apakah pencapaian terbaik Nabil pada 2018?

NABIL: Pencapaian terbaik saya tentunya anugerah Pengacara Hiburan Terbaik pada Asian Academy Awards baru-baru ini, selain terus diberi kepercayaan mengacara banyak program televisyen antaranya MeleTOP dan Gegar Vaganza. Pencapaian peribadi pula, saya bakal menimang anak ketiga pada April tahun depan (ketawa).

Boleh kongsikan perancangan dan harapan tahun 2019 anda?

Saya mengharapkan peluang yang lebih besar terutamanya untuk kerjaya belakang tabir selepas banyak perkara positif berlaku pada 2018.

Kejayaan supertele, The Hantus merupakan titik tolak untuk saya menerbit dan mengarah filem aksi komedi menerusi produksi sendiri iaitu Nabil Ahmad Production.

Mengikut perancangan filem tersebut akan menjalani penggambaran pada tahun 2020 dan ditayangkan pada 2021.

Bukan mudah untuk bergelar penerbit dan pengarah filem. Apakah cabaran yang anda hadapi?

Selain bajet, cabarannya adalah saya orang baharu dalam bidang penerbitan. Banyak perkara yang harus saya pelajari bermula dari bawah. Paling penting, saya tidak mahu bikin filem syok sendiri. Sebab itu, saya mengambil masa yang agak lama untuk belajar dan menilai, sama ada idea yang diberikan bertaraf filem atau tidak.

Adakah anda akan meninggalkan bidang pengacaraan suatu hari nanti?

Jika saya mempunyai modal dan boleh menolak kerja lain seperti pengacaraan, tidak mustahil pada masa depan saya hanya akan fokus dengan syarikat produksi serta pengarahan.

Selain kejayaan, anda juga dihimpit beberapa kontroversi sepanjang tahun 2018. Apakah pandangan anda mengenai perkara tersebut?

Saya memang sudah jangka kontroversi akan berlaku terutama ketika program Gegar Vaganza sedang bersiaran. Sebagai orang seni, saya bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Sebab itu, saya kurang selesa dengan media sosial dan tidak membaca serta ambil peduli komen netizen. Biarpun dibenci sesetengah pihak, akan ada orang yang menghargai bakat kita. Selagi masih bernafas, rezeki dan keluarga pun okey, tiada apa yang perlu saya rungutkan.

Takdir Wany Hasrita

TUAH lagu Menahan Rindu telah mengubah haluan gadis biasa bertubuh langsing itu daripada merintis impian bergelar pakar perubatan menjadi seorang penyanyi popular.

Penglibatan awal yang sekadar mencuba nasib demi menampung kehidupan keluarga, akhirnya berubah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kekal buat pemilik nama Wany Hasrita.

Tenang bersimbah populariti, Wany mencipta kejutan merangkul gelaran keramat sebaris artis ternama negara menerusi trofi Bintang Paling Popular pada tahun ini.

Tidak semuanya manis, bertemu pada sesi fotografi istimewa Kosmo! sempena hujung tahun, Wany berkongsi sisi gelap dunia glamor dan impian tahun baharunya.

KOSMO! Bagaimana Wany melihat perjalanan kerjaya anda setelah lebih setahun berada dalam industri?

WANY: Alhamdulillah segalanya berjalan dengan baik. Saya bersyukur dengan penerimaan peminat dan diberi peluang menjadi sebahagian daripada penggiat seni. Populariti dan penerimaan yang diterima terlalu mendadak. Saya berbesar hati dan pada masa yang sama masih tidak percaya boleh berada pada tahap sekarang dalam tempoh singkat. Saya tidak boleh berkata saya puas. Banyak lagi yang perlu saya pelajari.

Apakah pencapaian terbaik anda sepanjang tahun ini?

Kepuasan maksimum saya adalah dapat melihat ibu tidak perlu lagi bekerja, sebaliknya berehat di rumah sambil menonton televisyen. Saya cukup gembira kerana disambut seorang ibu setiap kali pulang ke rumah. Ibu telah banyak bersusah payah membesarkan saya. Sekarang biar dia rehat dan saya pula yang bekerja. Selebihnya sudah tentu kemenangan anugerah Bintang Paling Popular dan beraksi pada Anugerah Juara Lagu menerusi lagu Menahan Rindu.

Menahan Rindu lagu yang membuka jalan anda masuk ke industri. Secara peribadinya, apakah makna ‘menahan rindu’ buat anda?

Saya terjun ke dalam industri bukan atas dasar mahu popular atau bergelar selebriti, sebaliknya kerana desakan hidup pada ketika itu, jadi saya mencuba. Ketika merakam lagu ini pada tahun tahun 2017, pihak syarikat memberitahu saya supaya jangan meletakkan harapan.

Dalam diam, sebenarnya amat berharap lagu ini diterima dan saya amat bersyukur, lagu ini berjaya membawa nama Wany dalam industri.

Anda ada menyebut mengenai desakan hidup. Boleh kongsikan lebih lanjut?

Ketika saya hampir menamatkan pengajian, ibu telah diberhentikan kerja. Kami hilang sumber kewangan dan saya bekerja sebagai model sambilan dengan bayaran RM100 sejam bagi membantu ibu. Ibu bergelut menyediakan keperluan makan minum kami.

Bayangkan ada satu ketika, kami berdua hanya mengisi perut dengan roti bakar kerana sumber kewangan makin berkurang. Atas sebab itu, saya mencuba nasib dalam industri. Alhamdulillah, lagu ini keluar selepas saya tamat praktikal dan dapat menumpukan perhatian sebagai anak seni.

Berceloteh mengenai dunia seni, apakah perancangan anda untuk tahun depan?

Saya tidak sabar menantikan maklum balas peminat terhadap single baharu bertajuk Terlalu Memuja yang dihasilkan oleh Sharon Paul. Proses rakaman dan klip video telah selesai. Ketika ini, saya menunggu waktu untuk melancarkan lagu ini.

Untuk lagu yang berkonsep heavy ballad ini, saya terpaksa rekod berkali-kali sehingga menangis dalam studio dan Sharon meminta saya pulang dahulu. Lagu ini memang mencabar.

Selain lagu baharu, apakah agenda lain yang menanti?

Saya akan dilantik menjadi jurucakap produk, tetapi ia masih dalam peringkat perbincangan. Saya juga mahu kembali beraksi dalam AJL.
Saya berasa ralat tidak dapat beraksi dengan rakan seangkatan dalam edisi akan datang. Saya juga mahu menyanyikan lagu berentak pop dance. Saya teringin menyanyikan karya ciptaan Hael Husaini, Faizal Tahir dan lagu berunsur ketuhanan.

Titik kemilau Hael Husaini

SEJAK Jampi menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) pada Februari lalu, nama penyanyinya, Hael Husaini yang turut memegang akreditasi sebagai penulis lagu bersama Ezra Kong menjadi bualan ramai.

Bukan sekadar peminat dan penggemar lagu-lagu lokal, karya-karya garapan lelaki berusia 31 tahun itu turut menjadi buruan penyanyi popular tempatan.

Antaranya lagu ciptaan Hael dan Ezra yang dinyanyikan oleh penyanyi lain termasuklah Pematah Hati nyanyian Nabila Razali, Jutaan Purnama (Alyah), Raja (Stacy), Anta Permana (Datuk Seri Siti Nurhaliza) dan terbaharu, Temberang (Ayda Jebat).

Menurut Hael, dia berasa sangat bersyukur dengan kejayaan yang ditempa, baik sebagai penyanyi mahupun pencipta lagu. Mahukan karya-karyanya terus diingati dan diterima, Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi berharap momentum 2018 kekal sehingga ke tahun depan.

KOSMO!: Menurut pandangan peribadi, apakah kejayaan yang paling bermakna bagi anda untuk tahun 2018?

HAEL: Jika ditanya mengenai kejayaan dalam bidang muzik, kemenangan lagu Jampi dalam AJL32 merupakan kenangan manis yang tidak mungkin saya lupakan.
Bertitik tolak daripada kejayaan tersebut, kerjaya saya sebagai penyanyi dan komposer berjalan dengan baik. Sejujurnya, saya berasa sangat bersyukur dengan rezeki yang diberikan.

Adakah progres anda dalam bidang seni boleh disifatkan terlalu laju?

Tidak sama sekali. Rasanya perjalanan saya sama sahaja seperti dahulu. Cuma, kadangkala saya berasa sedikit takut jika lagu-lagu yang dikeluarkan tidak dapat diterima oleh khalayak.
Saya juga bimbang jika dikenali sebagai penyanyi yang hanya popular dengan satu lagu.

Pernahkah anda melalui detik sukar dalam hidup?

Usia saya dalam industri kini masuk 12 tahun. Namun, saya baru merasa menjadi Hael Husaini sekitar dua tahun kebelakangan ini.

Benar, saya pernah melalui zaman susah. Saya masih ingat, ketika belum bersama Azhael lagi, saya pernah ditawarkan untuk menyanyi di majlis-majlis tertutup dengan bayaran RM200 hingga RM300.

Bayangkan, acara tersebut di Melaka dan saya sanggup ke sana walaupun dibayar sekecil itu. Saya tetap menyanyi kerana saya sukakan bidang ini.

Alhamdulillah, berkat usaha dan niat yang betul, Allah mudahkan jalan. Namun, saya sentiasa berhati-hati agar tidak leka dengan apa yang ada sekarang.

Apakah perkara yang paling sukar untuk dikelolakan apabila anda sudah dikenali seperti hari ini?

Semakin kita ke hadapan, semakin banyak hati yang perlu kita jaga.
Selain menjaga hubungan baik dengan orang industri, saya juga perlu menjaga hati peminat, lebih-lebih lagi apabila ingin meluncurkan lagu yang sedikit berbeza.

Apakah azam tahun baharu anda?

Saya cuba untuk kekalkan momentum sebagai penyanyi agar tidak hanyut dan leka. Benar seperti apa orang kata, untuk dapatkan peluang itu mudah.

Namun, untuk kekalkan kejayaan selepas merebut peluang tersebut yang sukar.

Post a Comment

Previous Post Next Post