Ekspresi muzik Yuna




Muzik merupakan sebuah platform universal yang mampu menjadi jambatan untuk menyampaikan cerita. Selain dianggap oleh banyak orang sebagai sekadar hiburan santai, muzik selalunya dijadikan sebagai penyendal emosi dan perasaan.

Bagi penyanyi Yuna, keakraban sejak dahulu dengan dunia muzik menjadikan dirinya tertarik menggunakan platform sama untuk meluahkan perasaan.

Bakal meluncurkan single baharu berjudul Forevermore pada bulan depan, penyanyi yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) dengan nama lengkap Yunalis Mat Zara’ai itu meletakkan Malaysia sebagai subjek utama penceritaan pada kali ini.

“Untuk lagu Forevermore, apa yang boleh saya katakan ia kedengaran agak berbeza daripada lagu-lagu sebelum ini. Secara teknikal, peminat mungkin akan menyedari banyak elemen baharu diterap.

“Tidak hanya elemen muzik yang berbeza, saya juga mengambil kisah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang berlangsung pada Mei lalu sebagai inspirasi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Yuna X Christy Ng yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Begitu pun, penyanyi kelahiran Alor Setar, Kedah itu menyifatkan Forevermore tidak terlalu patriotik.

“Kisahnya sahaja yang diinspirasikan daripada PRU-14. Namun, secara keseluruhan, Forevermore merupakan sebuah lagu yang memberikan gambaran tentang kecintaan seseorang terhadap tanah air,” katanya lagi.



Klip video

Melanjutkan bicara mengenai perancangan seterusnya untuk Forevermore, Yuna menjelaskan, klip video untuk lagu tersebut turut memaparkan jalan cerita yang menarik.

Tidak menjadikan destinasi antarabangsa sebagai lokasi penggambaran, Yuna sebaliknya memilih untuk mengabadikan Perlis dan Kuala Lumpur dalam klip video berkenaan.

Diarahkan oleh suaminya, Adam Sinclair, Yuna memberitahu pemilihan Perlis dan Kuala Lumpur adalah disebabkan landskap menarik yang ada di beberapa tempat di dua negeri tersebut.

“Saya sudah membayangkan suasana yang ada di Perlis sewaktu menulis lagu ini. Tambahan pula, saya pernah membesar di sana.

“Jadi, lokasi juga bakal memberi nilai sentimental terhadap klip video tersebut apabila dilancarkan kelak,” katanya.

Sungguhpun merakamkan klip video di negara sendiri, Yuna positif visual Forevermore dapat diterima dengan baik oleh peminatnya secara global.

“Kalau dilihat dari segi selera pendengar, mereka yang berada di luar negara dahagakan sesuatu yang baharu.

“Justeru, saya berasa sangat yakin klip video ini dan lagunya dapat diterima dengan baik oleh khalayak,” katanya sambil tersenyum.

Ditanya bilakah peminat dapat mendengarkan album terbaharu daripadanya, ini jawapan Yuna:

“Setakat ini, saya dan syarikat rakaman merancang untuk menerbitkan album terbaharu selepas raya,” katanya lagi.



Makhluk asing

Siapa sangka, di sebalik jadual kerjaya nyanyiannya yang padat, Yuna juga menyimpan hasrat untuk bergelar bintang filem.

Dalam diam, penyanyi lagu Terukir Di Bintang itu pernah menyertai dua uji bakat iaitu bagi filem Fantastic Beasts: The Crimes Of Grindewald dan Solo: A Stars Wars Story.

“Saya memang teringin untuk membintangi filem dan secara kebetulan, agensi yang mewakili saya di Los Angeles, ICM menawarkan peluang untuk ke uji bakat dua buah filem berkenaan.

“Ketika itu, saya diminta untuk membaca skrip bagi watak Nagini bagi filem Fantastic Beast dan Qi’ra untuk Solo.

“Biarpun tidak diterima untuk membintangi filem tersebut, saya tetap berasa sangat teruja kerana dapat mencuba sesuatu baharu,” katanya yang teringin untuk melakonkan watak-watak aneh seperti makhluk asing.

Sungguhpun memasang angan-angan mahu mencuba bidang lakonan, Yuna tidak pernah melupakan akarnya dalam muzik. Selepas melancarkan album baharunya kelak, Yuna merancang untuk mengadakan konsert jelajah khususnya di Asia.

“Untuk kali ini, saya memilih untuk menjelajah negara-negara Asia. Antara negara yang saya perhatikan mempunyai potensi besar dalam muzik ialah Indonesia.

“Kalau boleh, saya mahu berkolaborasi dengan penyanyi di sana. Mungkin sebagai permulaan, saya akan bekerjasama dengan biras, Bunga Citra Lestary.

“Dalam masa yang sama, saya juga teringin untuk berduet bersama nama-nama besar di Indonesia seperti Afgan, GAC dan Sheila On 7,” katanya.

Menyentuh sedikit mengenai perancangannya sebagai seorang isteri, Yuna tidak menolak jika ditakdirkan hamil. Bakal menyambut ulang tahun pertama perkahwinan pada 26 Januari ini, Yuna bagaimanapun berharap agar proses tersebut dapat berjalan dengan sempurna.

“Saya tidak merancang. Cuma, kalau boleh biarlah kehamilan berlaku selepas segala yang saya usahakan buat masa ini selesai.

“Sejujurnya, saya mahu menikmati proses kehamilan sebaiknya tanpa terganggu dengan komitmen lain. Doakanlah kami,” katanya positif.

Yuna turut memberitahu, dia juga kerap berulang-alik dari Los Angeles ke Kuala Lumpur memandangkan suaminya menetap dan bekerja di sini.

“Buat masa ini, saya belum bercadang untuk kembali dan meneruskan kerjaya di Malaysia.

“Alhamdulillah, rezeki saya masih di AS. Tetapi, saya tetap pulang ke Kuala Lumpur dua bulan sekali untuk bertemu dengan suami,” katanya lagi.



Kolaborasi fesyen

Bercakap mengenai kolaborasi fesyen perdananya dengan pereka tempatan, Christy Ng, Yuna menyifatkan paduan bersama jenama Yuna X Christy Ng sebagai satu mimpi yang menjadi realiti.

“Saya memang menggemari produk-produk keluaran Christy Jadi, apabila Christy sendiri menghubungi saya untuk kerjasama mengeluarkan koleksi tas tangan dan kasut, saya terus bersetuju.

“Kolaborasi ini saya anggap penting memandangkan inilah peluang untuk saya mempromosikan barangan keluaran tempatan.

“Melihat pada rekaannya yang bersifat minima dengan padanan warna menarik, saya yakin jenama itu dapat menepati cita rasa penggemar fesyen dalam dan luar negara,” katanya menutup bicara.

Terinspirasi daripada kisah Malaysia baharu, Yuna mencipta sebuah lagu berjudul Forevermore yang berkisar tentang kasih sayang dan jati diri terhadap kampung halaman.



Post a Comment

Previous Post Next Post