Menyandang status sebagai pasangan selebriti, bukan mudah buat Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari memuaskan hati semua pihak.
Keterbukaan media sosial menjadikan ibu bapa kepada si kecil popular, Lara Alana itu sering menjadi perhatian netizen yang gemar mengecam setiap tindak tanduk mereka.
Menyingkap kisah satu masa dahulu, Lara yang kini berusia empat tahun pernah menjadi sasaran netizen sehingga digelar penghidap autisme.
Baru-baru ini, giliran Awal pula menjadi mangsa kecaman gara-gara mewarnakan rambut sehingga digelar manusia tiada agama.
Peluang bertemu Scha dalam sebuah program pertandingan artis lawak di Shah Alam baru-baru, pelakon Awan Dania itu meluahkan kecamuk hatinya yang terbungkam.
KOSMO!: Selamat tahun baharu Scha. Apakah projek Scha baharu sepanjang tahun ini?
SCHA: Selamat tahun baru. Buat masa ini, saya masih menumpukan perhatian terhadap bidang pengacaraan. Dalam masa terdekat ini, saya diberi tanggungjawab sebagai pengacara bagi program siaran langsung final Dewi Remaja di saluran Astro Ria.
Rancangan tersebut akan disiarkan pada 13 Januari ini. Selepas itu, saya ada projek seterusnya juga bersama Astro iaitu mengacarakan sebuah program berbentuk perniagaan.
Maksudnya, adakah sepanjang tahun ini Scha akan berehat daripada dunia lakonan dan menumpukan perhatian terhadap pengacaraan?
Bukan bermaksud berhenti daripada berlakon. Sekiranya ada tawaran berlakon yang seronok untuk saya lakukan, sudah tentu saya akan terima.
Biasanya, pada setiap tahun saya akan menerima antara satu atau dua projek mengacara, begitu juga dengan lakonan.
Ketika sedang gembira menyambut tahun baru bersama keluarga di Seoul, Korea baru-baru ini, ada juga komen nakal mengecam gaya rambut Scha. Bagaimana anda menangani perkara tersebut?
Bagi pendapat saya, kena kecam adalah perkara biasa. Semua orang kena kecam. Apa yang membezakan ialah bagaimana kaedah kita untuk mengawal setiap kecaman tersebut.
Kalau terlalu ambil serius setiap kecaman netizen mengenai kita, saya akan penat.
Satu ketika dahulu, Lara juga sering menjadi masa kecaman. Kini, gara-gara tindakan Awal mewarnakan rambut, dia pula menjadi mangsa. Adakah anda tidak bosan dengan situasi sebegitu?
Sejujurnya, saya langsung tidak tahu Awal mewarnakan rambut sehingga dia ada depan mata Scha. Bila balik, Scha pun terkejut.
Tetapi mengenali Awal, dia sememangnya seorang yang gemar mencuba benda baharu terutama perkara berkaitan fesyen. Jika kecaman itu keterlaluan, saya akan tegur.
Berdasarkan komen netizen, ada yang melabelkan Awal sebagai suami yang tidak bertanggungjawab dan menuduh dia tidak bersembahyang. Bagaimana reaksi anda terhadap tuduhan sekejam itu?
Kadang-kadang ada dalam kalangan masyarakat lupa bahawa kami juga manusia biasa. Ya, saya dan Awal selebriti, tetapi ini pekerjaan kami. Luar daripada waktu bekerja, kami macam orang lain juga.
Saya selalu pesan pada diri dan Awal, buat salah kita dapat dosa, buat baik dapat pahala. Hidup perlu seimbang. Kita semua ada kekurangan.