Persis pasangan suami isteri, demikian gelagat Mira Filzah dan Remy Ishak ketika menidurkan 'cahaya mata' mereka, Ayden Mikael yang berusia lapan bulan di set penggambaran Pujaan Hati Kanda (PHK).
Ayden Mikael merupakan pelakon paling junior yang membawa watak sebagai Rizqy iaitu anak jagaan kepada Megat Danish (Remy) dan Tiara (Mira) dalam drama PHK.
Tangisan kecil Ayden telah membuatkan Mira dan Remy tidak senang duduk tatkala kru produksi mempersiapkan set penggambaran untuk episod terakhir drama berkenaan.
Sesekali kedengaran suara Remy mengalunkan selawat sambil mendakap erat Ayden pada dada bidangnya, manakala Mira kelihatan mengibas Ayden supaya lena seketika.
Bergandingan buat kali kedua selepas drama Lelaki Kiriman Tuhan, Mira dan Remy kembali disatukan dalam drama 28 episod berjudul PHK di slot Akasia, TV3.
Kemesraan dan keserasian antara mereka jelas kelihatan, tidak dibuat-buat hanya untuk menjayakan watak dalam drama PHK. Mungkin kerana itu drama yang diadaptasi daripada novel judul sama nukilan Aulia Iman telah mencetuskan fenomena dalam kalangan penonton.
Mesra memanggil Remy sebagai abang, Mira terlebih dahulu membuka sisi berbeza Remy sepanjang tiga bulan mereka berkampung di set penggambaran drama berkenaan di sekitar Lembah Klang dan Perak.
“Abang (panggilan untuk Remy) mesra dengan kanak-kanak. Ayden pun suka kalau bersama dia, malah pada awal penggambaran, Ayden lebih rapat dengan abang.
“Saya pula sedikit canggung dengan kanak-kanak,” dedahnya sambil diselangi gelak manja.
Cabaran
Menjayakan watak sebagai Tiara iaitu seorang pelajar universiti yang akhirnya bekerja sebagai pengasuh akibat kekangan kewangan dalam drama berkenaan memberi pengalaman baharu buat Mira.
Tanpa berselindung, Mira memberitahu, cabaran utama baginya adalah menjalinkan hubungan mesra dengan Ayden supaya dapat menzahirkan watak ibu dan pengasuh yang sempurna di layar skrin.
“Ayden dalam drama ini membawa watak sebagai Rizqy. Dia merupakan penggerak plot PHK, selain konflik antara Tiara dan Megat Danish.
“Saya perlu mengendalikan bayi di depan kamera dengan baik supaya penonton percaya bahawa saya seorang pengasuh. Saya tidak mahu hasil lakonan kelihatan pelik,” terangnya.
Kembali bekerjasama sebagai heroin di sisi Remy, Mira semakin selesa untuk bekerjasama dengan lelaki berkulit sawo matang itu.
Mira juga menyifatkan Remy sebagai pelakon senior yang bertoleransi dan mempunyai pendirian diri yang utuh.
“Saya selesa bekerja dengan Remy. Dia tahu apa yang diinginkan dan sampaikan dengan cara tersendiri. Kadangkala terdapat beberapa babak yang dia sendiri minta untuk dilakonkan semula selagi tidak mencapai kualiti yang diinginkan,” kongsinya.
Drama terbitan produksi Mache All Star United Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Eoon Shuhaini itu mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.
Kajian
Mengulas mengenai jangkaan peminat dan kehendak novel tersebut secara umum, Remy yang merupakan penerima anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Drama Anugerah Skrin 2017, menyifatkan karakter Megat Danish perlu digarap dengan cara tersendiri.
Menurut Remy, sebelum bersetuju untuk membawa watak Megat Danish, dia terlebih dahulu membaca keseluruhan novel berkenaan dengan teliti.
“Sebelum menerima tanggungjawab, saya telah membaca novel tersebut. Selepas habis membaca, saya tidak sabar mahu menghidupkan watak Megat Danish.
“Saya berbincang dengan penerbit dan pengarah tentang pembawaan watak yang diinginkan. Alhamdulillah, mereka memberi kebebasan kepada saya untuk mencorakkan watak Megat Danish dengan cara sendiri,” jelasnya.
Mengharapkan lakonannya memuaskan hati penggemar novel PHK, Remy berkata, sebahagian daripada identiti watak berkenaan dizahirkan atas kapasiti berkarya.
Kebebasan yang diberikan pengarah digunakan sebaiknya untuk berimaginasi memainkan watak utama dalam drama tersebut.
“Saya gemar berimaginasi. Oleh kerana itu, saya tertarik untuk melakonkan watak Megat Danish. Saya ingin memastikan Megat Danish mempunyai identiti yang tersendiri,” ujarnya.
Beraksi di samping Mira yang merupakan seorang wanita berhijab, Remy sedar terdapat batasan yang perlu dijaga meskipun atas tiket lakonan.
Biarpun begitu, pelakon filem Rise: Ini Kalilah itu tidak menganggap pelakon wanita berhijab sebagai satu beban dan halangan untuk berkarya.
“Saya faham pendirian Mira dan kita sentiasa berbincang. Bagaimanapun, terdapat beberapa babak yang memerlukan kita bersentuhan, tetapi ada kaedahnya.
“Sebagai contoh, untuk menjayakan babak seorang suami yang sedang memujuk isteri, saya tidak boleh memujuk dengan tangan berada di dalam poket. Mungkin kita boleh pegang pada bahagian berlapik dengan keizinan pelakon berkenaan,” jelasnya.
Selesai berbicara tentang drama PHK, kedua-dua pelakon tersebut disoal pula tentang perancangan karier pada 2019.
Selepas muncul dengan karya Pulang pada tahun lalu, Remy kembali ke layar perak pada 2019 menerusi filem The Legend Of Pontianak bersama dengan aktres Fazura. Selain itu, Remy juga telah selesai menjalani penggambaran sebuah filem bersama Zul Ariffin.
“Tahun ini saya bakal muncul dengan filem The Legend Of Pontianak, kemudian disusuli filem kedua bersama Zul Ariffin,” katanya.
Selepas tayangan kedua-dua filem berkenaan Remy mendedahkan dia mahu berehat seketika daripada karier lakonan.
Sementara itu, kalendar seni Mira pada tahun ini akan dipenuhi dengan penggambaran drama termasuklah slot mega drama yang akan ditayangkan di Astro.
Ketika suasana tanah air dipanaskan oleh warkah ‘kekanda adinda’ dari Cordova nukilan Datuk Seri Dr. Mujahid khas untuk Nurul Izzah Anwar yang melarat bagaikan epidemik, drama Pujaan Hati Kanda gandingan ‘kekanda’ Remy Ishak dan ‘adinda’ Mira Filzah pantas meraih sambutan.