Nabila Razali Tahun 2019 tanpa gimik




Penyanyi dan pelakon Nabila Razali enggan bersandarkan gimik semata-mata sebagai faktor mengekalkan momentum karier dalam industri.

Katanya, cukuplah tahun 2018 membekalkan fenomena luar biasa menerusi gimik percintaan klip video Pematah Hati yang dihasilkan.

Dia juga percaya pada kekuatan setiap lagu dan hasil kerja yang dipersembahkan, dalam bidang lakonan contohnya, biar hasilnya melekat di hati peminat.

Nabila, 26, kini menyusun strategi tersendiri dalam merencana perjalanan kariernya menjelang tahun baharu 2019 dengan bakal melancarkan single baharu.

Dia berkongsi takungan rencana seninya ketika ditemui pada majlis tayangan episod khas drama mini, Sis Cuba baru-baru ini.

KOSMO!: Menuju ke lembaran penutup tahun ini, apa yang dapat Nabila rangkumkan tentang 2018?

NABILA RAZALI: Alhamdulillah, saya sifatkan 2018 sebagai tahun terbaik sebab lagu Pematah Hati berjaya menempatkan nama saya dalam industri dengan jayanya. Bagaimanapun saya tidak mahu jadikan ia sebagai satu kepuasan. Saya akan sentiasa hadir dengan perkara baharu.

Sasaran saya adalah untuk mencipta perkara yang orang lain tidak pernah buat sebab saya sememangnya seorang yang suka jadi orang pertama.

Segelintir pihak meletakkan kesalahan pada diri anda kerana memulakan gimik sebagai pelaris yang kemudiannya taktik ‘menipu’ peminat sebegitu ditiru oleh beberapa artis lain?

Sepatut setiap artis ada cara kerja tersendiri. Sejujurnya saya tidak menyangka pelan yang diatur untuk lagu Pematah Hati bertukar menjadi gimik sebab pada awalnya saya hanya berkongsi gambar di Instagram sebelum ia tular.

Ada yang bersetuju dengan strategi tersebut kerana dianggap sebagai satu idea yang bijak, namun tetap ada yang mengeji. Pada saya, itu pendapat masing-masing. Tiada apa yang boleh menghalang. Cuma saya rasa perkara seperti ini patut diterima dengan terbuka kerana bukan hal baharu dalam industri.

Bagaimana dengan perancangan single terbaharu selepas ini dan apakah anda tertekan untuk mengulang kejayaan Pematah Hati?

Perancangan asal untuk mengeluarkan lagu baharu adalah pada November lepas tetapi disebabkan sibuk dengan kerja lain, rencana itu tertunda. Terus terang saya katakan, orang masih akan kaitkan dengan gimik jika bertanya tentang lagu baharu saya.

Setakat ini memang tidak terfikir untuk buat gimik tetapi kalau nanti tiba-tiba ada, saya harap jangan ada yang marah (ketawa). Saya akui, sekarang makin ramai bakat baharu yang berpotensi.

Namun, saya tidak perlu berasa tertekan. Apa yang perlu dilakukan adalah terus meningkatkan diri dan enggan terlalu selesa dengan apa yang ada pada hari ini.

Jika tanpa gimik, adakah anda bimbang single seterusnya nanti kurang mendapat sambutan?

Jujurnya, saya tidak kisah sebab usaha adalah perkara yang paling penting. Tidak semestinya tiada gimik, sesebuah lagu tidak boleh dijual. Semuanya bergantung kepada usaha keras sendiri.

Saya akan sentiasa melakukan yang terbaik supaya kerja yang dihasilkan tidak akan sia-sia. Kalau single baharu nanti kurang mendapat sambutan, saya okey sahaja sebab itulah yang akan memberi cabaran.

Cabaran sebegitu sedikit pun tidak akan mematahkan diri saya sebab ia tidak menghentikan langkah ini untuk menyusun strategi baharu.

Boleh kongsikan tentang lagu baharu anda nanti?

Sebenarnya lagu tersebut telah siap dan sekarang saya sedang mencari masa untuk membuat proses merakam klip video.

Untuk lagu ini, saya masih mengekalkan magis sentuhan Hael Husaini dan Ezra Kong kerana mereka faham apa yang saya mahu dan kesesuaian genre. Saya mengharapkan lagu ini akan menghasilkan magis sekali lagi.

Boleh berikan sedikit perkongsian tentang Sis Cuba?

Drama berkenaan merupakan penglibatan pertama saya dalam drama mini berdurasi 10 minit untuk setiap episod. Biarpun sangat ringkas tetapi drama berkenaan tetap mendapat sambutan hangat apabila ditonton lebih dua juta penonton.

Meskipun saya, Syifa Melvin dan Sarah Suhairi masih hijau dalam bidang lakonan tetapi tidak susah untuk kami mencipta keserasian.

Post a Comment

Previous Post Next Post