Algoritma cemerlang Neelofa




Apa lagi ingin ditulis tentang seorang wanita bernama Neelofa? Sejak menjuarai pertandingan Dewi Remaja 2009/2010 dan menjadikan bidang seni sebagai platform kerjaya, Neelofa tidak pernah gagal menyita rasa kagum khalayak.

Bermula sebagai pengendali rancangan Nona pada tahun 2011 dan beralih rumah sebagai pengacara MeleTOP setahun kemudian, nama Neelofa semakin mekar apabila mula memasarkan jenama tudungnya, Naelofar Hijab.

Selari dengan empayar perniagaan tudung, kerjaya Neelofa dalam lapangan hiburan turut berkembang. Mencuri tumpuan umum menerusi watak Warda Erina dalam drama rantaian Suri Hati Mr. Pilot, Neelofa seterusnya diiktiraf sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Ke-29.

Bukan hanya di kaca televisyen, cetusan populariti pemilik nama lengkap Noor Neelofa Mohd. Noor itu turut dirasai di platform media sosial apabila kini menduduki tangga pertama sebagai individu tempatan dengan jumlah pengikut paling banyak di Instagram iaitu sebanyak 5.9 juta.

Tidak keterlaluan dikatakan, wanita berusia 29 tahun itu punya misi yang jitu untuk sentiasa berada di puncak. Berkat menekuni bisnes tudungnya selama empat tahun, Neelofa disenaraikan dalam Forbes Under 30 Asia 2017 bagi kategori E-Dagang Dan Peruncitan oleh majalah antarabangsa Forbes pada pertengahan tahun lalu.

Terus memberi kejutan kepada khalayak, Neelofa mengumumkan pelantikannya oleh syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia bagi mengisi kerusi Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia bermula 8 Disember 2017.

Jika dilihat pada portfolio seninya, kejayaan yang ditempa Neelofa bukan calang-calang. Segala pengiktirafan yang diterima cukup kuat untuk menolak namanya ke peringkat lebih tinggi.

Justeru, apabila ditanya penyebab dirinya sentiasa berfikiran ke hadapan, Neelofa berkata, segalanya bermula dengan perasaan tanggungjawab terhadap predikat yang digalas.



Antarabangsa

“Melihat impak positif jenama Naelofar Hijab dan pada masa sama bergelar individu tempatan dengan jumlah pengikut Instagram terbanyak, saya berasa lebih bertanggungjawab untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada sebelum ini.

“Rasa tanggungjawab ini secara tidak langsung turut memberi semangat untuk saya terus bergerak ke hadapan, sekali gus mencabar kemampuan diri,” katanya.

Kesungguhan Neelofa meneroka perkara di luar kotak tidak hanya tertumpu terhadap industri lokal. Terbaharu, pelakon filem Pilot Cafe itu telah menandatangani kontrak bersama agensi bakat Established Models yang berpangkalan di London, England.

Mengulas mengenai kontrak yang ditandatangani pada 4 Disember lalu itu, Neelofa berkata, dia telah lama memasang hasrat untuk menjengah pasaran luar negara, khususnya dalam bidang fesyen dan kecantikan.

“Ketika bertemu dengan pengarah kreatif beberapa agensi bakat di sana, mereka memberitahu bahawa industri fesyen antarabangsa sedang ligat mencari wajah-wajah Muslimah berhijab yang boleh mewakili jenama-jenama besar di sana.

“Lebih-lebih lagi sejak model berhijab, Halimah Aden mencetuskan fenomena apabila dipilih untuk memperagakan jenama-jenama fesyen popular seperti Yeezy, Maxmara dan Alberta Ferretti.

“Jadi, saya berharap agar dapat menembusi pasaran antarabangsa bermula di Eropah dengan kolaborasi bersama Established Models,” katanya yang mengharapkan kerjasama dengan jenama-jenama besar di sana pada tahun hadapan.

MeleTOP

Sungguhpun bakal berulang-alik ke London pada tahun depan, kariernya sebagai pengacara MeleTOP masih berjalan seperti biasa.

“Pihak produksi agak keberatan untuk membenarkan saya berulang-alik ke London.

“Tetapi, selepas berbincang, mereka faham dan akan cuba untuk mencari penyelesaian jika saya kerap tiada di Malaysia,” katanya.

Enam tahun mengacara, nama Neelofa semakin akrab dengan rancangan yang turut dikendalikan oleh pengacara Nabil Ahmad itu.

Kata Neelofa, dia tidak menolak jika ada yang melihat program MeleTOP sebagai tulang belakangnya dalam bidang seni.

“Saya berasa sangat bertuah kerana diberi platform setiap minggu untuk muncul di kaca televisyen.

“Sudah enam tahun saya mengemudi MeleTOP. Saya sendiri tidak pasti sampai bila akan mengendalikan rancangan ini,” ujarnya sambil tertawa.

Kehilangan

Di sebalik momen-momen indah yang diraih sepanjang tahun 2018, terselit peristiwa pahit yang akan tersimpan kemas dalam bilik kebal memorinya. Datuk kepada Neelofa, Noor Mohamed Mohammad Din, 83, meninggal dunia selepas dua bulan mendapatkan rawatan di hospital.

“Segalanya bermula apabila datuk saya terpijak sebentuk cincin di atas karpet sehingga menyebabkan kakinya luka.

“Selepas kedua-dua ibu jari kaki datuk saya dipotong akibat jangkitan kuman, kesihatannya semakin merosot dan pada 20 November lalu sebelum dia akhirnya menghembuskan nafas terakhir,” ujar Neelofa sambil mengimbau kembali kenangan bersama datuknya.

Neelofa mengakui sangat terkesan dengan pemergian datuknya memandangkan episod tersebut merupakan kali pertama dia kehilangan seseorang yang sangat dekat dengannya.

“Saya sangat sedih dengan pemergian datuk. Maklumlah, sebelum ini, arwah datuk sihat dan hanya mempunyai masalah kencing manis. Ketika hayatnya juga, dia masih boleh mengendalikan kedai tekstil miliknya dan memandu setiap hari.

“Jujur saya terasa kehilangan dan kehilangan ini juga membuatkan saya sedar untuk lebih rapat dan menghargai ahli keluarga yang lain,” ujar Neelofa jujur.

Post a Comment

Previous Post Next Post