
Gara-gara menyuarakan hasrat murni untuk memperkenalkan pakej pengurusan jenazah atas dasar fardu kifayah umat Islam, penyanyi yang kini penyampai radio Zayan, Mawi pernah digelar sebagai gila.
Berkongsi mengenai situasi tersebut, pemilik nama sebenar Asmawi Ani, 37, berkata, dia menerima cemuhan dan gelak sinis daripada kenalan rapat ketika berkongsi idea berkenaan tidak lama dahulu.
Setahun berlalu, kini umpama pucuk dicita ulam mendatang, tawaran Bumijez Sdn. Bhd. (Bumijez) untuk melantik dirinya sebagai Duta Pengurusan Program Khairat Kematian selama lima tahun bermula Januari depan, diterima dengan hati terbuka.
Seiring penjenamaan semula program khairat kematian Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) di sebuah hotel di ibu kota baru-baru ini, Mawi berkongsi mengenai misi menyuntik kesedaran khalayak tentang persediaan menuju kematian.
KOSMO!: Apakah peranan Mawi sebagai Duta Pengurusan Jenazah anjuran syarikat Bumijez?
MAWI: Saya akan menjadi jurucakap buat Bumijez secara rasmi bermula Januari tahun depan bagi tempoh lima tahun akan datang. Peranan saya adalah mempromosikan produk perkhidmatan jenazah di bawah syarikat berkenaan.
Saya juga akan turun padang menghadiri program yang telah disusun oleh pihak syarikat. Program berkenaan termasuk kelas pengurusan jenazah. Saya akan berkongsi mengenai pelbagai aspek program berkenaan secara berperingkat kelak.
Saat ramai dalam kalangan selebriti berlumba-lumba menjadi duta produk berkaitan kecantikan, rejim penjagaan diri dan gajet, mengapa Mawi bersetuju menerima tawaran jadi duta pakej kematian?
Jika saya kongsi, orang pasti tidak percaya. Sebelum terima tawaran Bumijez, saya sendiri telah pun terfikir untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah. Niat saya atas dasar fardu kifayah sebagai orang Islam dan membantu memudahkan urusan jenazah.
Idea itu timbul kira-kira setahun lalu dan saya kongsikan dengan kenalan. Mereka kata saya gila. Menurut mereka, tiada orang yang mahu mempromosikan kematian.
Namun bagi saya, idea jauh daripada bermotif keuntungan. Mati itu pasti dan kita perlu membuat persediaan. Apabila Bumijez tawarkan peluang ini, saya terus terima.
Adakah benar anda menerima tanggungjawab sebagai Duta Bumijez atas dasar tanggungjawab atau sebenarnya disebabkan oleh imbuhan yang lumayan?
(Ketawa) Saya tidak boleh kongsi berapa jumlah bayaran yang diterima. Saya terima atas dasar tanggungjawab.
Signifikannya, mati itu pasti dan urusan pengebumian akan melibatkan kos. Di sinilah peranan produk pengurusan jenazah Bumijez berfungsi.
Boleh anda kongsikan, bagaimana pakej Bumijez membantu meringankan beban pelanggan dalam konteks pengurusan jenazah?
Secara amnya, produk Bumijez menawarkan perkhidmatan pengurusan jenazah. Pelanggan hanya perlu mencarum pakej serendah RM100 untuk setahun bagi membantu memudahkan urusan waris. Bumijez yang mempunyai pasukan di seluruh negara akan menguruskan jenazah pencarum.
Pasukan itu akan menyediakan urusan pengebumian pencarum bermula daripada memandikan sehinggalah jenazah dikebumikan.
Urusan talkin, sembahyang jenazah, pencarian keperluan kapan, semua akan diselesaikan. Kesemua kos ini ditanggung sepenuhnya.
Apa yang anda ingin sampaikan kepada beberapa pihak yang menyifatkan kesudian Mawi menerima tawaran jadi duta pakej kematian sebagai tidak masuk akal?
Janji saya tahu niat program berkenaan, jujurnya hati saya rasa puas. Produk ini telah sembilan tahun beroperasi dan sekarang ia mahu diuar-uarkan. Ia bukan satu kesalahan lagi pun sebagai orang Islam, kita disaran selalu mengingati mati. Mati itu pasti dan kita kena sentiasa bersedia.