
Berbekalkan pengalaman selama enam tahun dalam dunia lakonan, aktor kacak Hafidz Roshdi memikirkan sudah tiba masanya untuk bertukar angin dan mencabar keupayaan diri.
Sudah puas beraksi di depan kamera, jejaka berusia 24 tahun itu memasang impian untuk menceburkan diri dalam kerja-kerja di belakang tabir.
Masih mahu kekal relevan di dalam industri seni, Hafidz merancang menambah portfolio kerjaya seninya dengan bergelar seorang pengarah.
Mengakui segalanya masih berlegar sebagai impian, bapa kepada seorang cahayamata itu optimis untuk mencuba cabang baharu tersebut.
“Andai dikurniakan rezeki, saya mahu mendalami ilmu pengarahan. Saya ingin dikenali sebagai seorang pengarah pada masa akan datang.
“Mungkin saya boleh bermula dengan menghasilkan sebuah telemovie," katanya dengan penuh keyakinan.
Produksi
Bagi merealisasikan impiannya, Hafidz merancang untuk menubuhkan sebuah syarikat produksi atas namanya sendiri pada tahun depan.
Enggan berkongsi lanjut mengenai penubuhan syarikat produksi tersebut, Hafidz hanya mampu berdoa agar impiannya menjadi kenyataan.
“Rasanya terlalu awal untuk saya kongsikan bersama umum kerana semuanya masih dalam peringkat perancangan. Namun, saya amat berharap penubuhan syarikat produksi berkenaan akan menjadi kenyataan,” katanya ringkas ketika ditemui di Festival Anggun Life di Setia Alam, Selangor baru-baru ini.
Pernah berada di puncak populariti menerusi drama rantaian Tundukkan Playboy Itu, tahun 2018 bagaimanapun menyaksikan kerjaya Hafidz seakan suram.
Graf kerjayanya mendatar selepas mendirikan rumah tangga bersama pasangan, Nurul Shuhada Mat Shukri, 23, dan dikurniakan cahaya mata bernama Humairah pada tahun lalu.
Hafidz yang mengakui karier seninya bergerak perlahan sepanjang dua tahun lalu bagaimanapun tidak pernah menyalahkan takdir.
Menurutnya, perubahan kehidupan menjadi seorang suami dan bapa telah menuntut banyak masanya untuk proses menyesuaikan diri.
"Sewaktu bujang, kehidupan saya berbeza dan mempunyai banyak masa terluang. Selepas mendirikan rumah tangga fokus utama saya adalah keluarga,” terangnya.
Kehadiran Humairah yang kini berusia setahun tiga bulan mengukuhkan lagi alasannya untuk sentiasa berada di samping isteri.
“Saya pernah meninggalkan rumah hampir dua bulan kerana menjalani penggambaran. Waktu itu Humairah masih kecil dan dia tidak kenal bapanya. Jika saya mendekatinya, dia pasti akan menangis.
“Hati bapa mana yang tidak sedih bila anak kandung tidak mengenali kita. Disebabkan kejadian tersebut, saya mengambil keputusan untuk berehat seketika sehingga kehidupan kami stabil,” tuturnya.
Raisha 2
Bercerita mengenai agenda seni sepanjang tahun depan, Hafidz kekal dengan prinsipnya meletakkan keluarga sebagai keutamaan.
Katanya, dia perlu berhati-hati memilih naskhah yang bersesuaian dengan status dan komitmen antara keluarga serta kerjaya.
Saat ditebak mengenai syarat ditetapkan yang dilihat akan membunuh kerjaya seninya, Hafidz menegaskan rezeki adalah anugerah Allah.
“Pegangan saya mudah, jika kita jaga hubungan dengan Allah, Allah pasti akan menjaga rezeki kita,” ujarnya.
Menyambung bicara tentang kerjaya, nama Hafidz kembali menjadi bualan peminat gara-gara watak Fuad yang dilakonkan dalam drama rantaian Raisha 2.
Drama 12 episod yang memulakan siaran pada 5 Disember lalu di TV3 menggandingkan Hafidz dan aktres popular, Diana Danielle sebagai Raisha.
Kali pertama bergandingan sebagai pasangan suami isteri di samping Diana, Hafidz berharap kepercayaan yang diberikan kepadanya berjaya dilunaskan dengan baik.
“Dalam Raisha kami bergandingan sebagai rakan. Penggunaan kata ganti diri adalah kau dan aku. Berbeza dengan penggambaran Raisha 2 kerana Diana telah jadi isteri saya.
“Terasa kekok apabila saya perlu memanggil Diana menggunakan kata ganti diri seperti awak sayang dan saya. Setiap kali melontarkan dialog kami pasti tergelak kerana rasa pelik,” dedahnya.
Raisha 2 yang telah tamat tayangan di web televisyen Tonton, memberi kelebihan eksklusif kepada penonton di TV3 untuk memilih penamat episod akhir drama ini.
Biarpun ia baru sahaja ditayangkan sebanyak empat episod Hafidz memberitahu, sudah terdapat permintaan dalam kalangan peminat untuk sekuel ketiga drama tersebut.
“Jika disoal tentang sambungan mestilah saya mahu Raisha 2 disambung. Bagaimanapun sebarang keputusan bergantung kepada maklum balas penonton dan juga pihak penerbitan,” katanya.