Zamani perjelas status pengurusan




Selepas hampir sebulan tamatnya program realiti Gegar Vaganza musim kelima (GV5) barulah penyanyi Zamani bersuara tentang beberapa kemelut yang melanda pengurusan kariernya sebelum ini.

Menerusi satu kenyataan yang dihantar kepada pihak media sebentar tadi, Zamani menjelaskan beberapa perkara berbangkit yang berlaku sewaktu beliau masih bersaing dalam GV5.

Terdahulu, isu mengenai pengurusan Zamani menjadi tanda-tanya selepas bekas pengurusnya yang menguruskan kumpulan Slam iaitu Johan Aziz pernah menyuarakan pandangannya supaya penyanyi itu menarik diri selepas gagal menyanyi ketika persembahan minggu kelima program tersebut.

"Di sini saya ingin membuat kenyataan rasmi berhubung beberapa perkara agar tidak timbul isu salah faham pada masa hadapan.

"Kerjaya, jadual dan pengurusan saya buat masa ini diuruskan sepenuhnya oleh ZIME Production yang diuruskan bersama-sama ahli keluarga. Saya juga masih mengekalkan Aalan Ahmad selaku pengurus.

"Oleh yang demikian sebarang urusan termasuk persembahan hendaklah dibuat secara terus kepada ZIME Production ataupun Aalan," tulisnya.

Malah Zamani menjelaskan segala hak pengeluaran barangan eksklusif berkaitan dirinya akan diuruskan sepenuhnya oleh ZIME Production.

Pihaknya juga tidak melantik mana-mana pihak ketiga untuk membuat, mencetak atau menjual segala barangan berkaitan dirinya.

Pada masa sama, pengurusan Zamani juga dalam perancangan untuk menubuhkan kelab peminat rasmi Zamani Fan Club.

"Segala maklumat akan diberitahu kelak di laman sosial rasmi milik saya.

"Semoga dengan penjelasan ini, segala tanda tanya dan desas-desus selama ini telah terjawab. Terima kasih," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post