
Mengimbas kembali portfolio muzik milik In-Team, kumpulan nasyid yang mula mencipta nama sekitar tahun 1998 itu cukup dikenali dengan karya-karya bersifat malar segar.
Bermula dengan single perdana berjudul Kasih Kekasih, Impian Kasih dan Nur Kasih, kehadiran In-Team pada waktu tersebut disambut baik oleh peminat dan stesen radio tempatan.
Lagu-lagu milik In-Team kerap dimainkan stesen radio dan permintaan terhadap karya sedemikian dalam kalangan pendengar juga cukup luar biasa.
Bagaimanapun, itu semua cerita dua dekad lalu. Kini, lagu-lagu nasyid dilihat sukar didengari mengisi senarai siaran stesen radio tempatan, apatah lagi dalam majlis-majlis anugerah.
Radio
“Benar, lagu-lagu kami dan juga lagu nasyid lain agar sukar untuk dimainkan di radio komersial. Jika ada pun, lagu-lagu ketuhanan hanya dimainkan setiap kali selepas azan.
“Agak payah sebenarnya untuk mengembalikan zaman kegemilangan irama nasyid. Tetapi, kami pernah menikmati zaman kegemilangan dan kami rasa, tidak mustahil untuk meraihnya kembali pada masa kini,” ujar Syah mewakili In-Team memulakan bicara.
Tambah pemilik nama sebenar Mohd. Syahril Abdul Khalid itu, sungguhpun beberapa stesen radio nasyid mula dibangunkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun ia kurang mencukupi untuk melonjakkan irama nasyid kembali bergema dalam muzik arus perdana.
“Tidak dinafikan, radio-radio yang hanya memainkan lagu-lagu nasyid ini bagus kerana ia menjadi platform utama untuk promosi lagu kami.
“Tetapi, kita tetap memerlukan radio arus perdana untuk memberi pendedahan meluas masyarakat mengenai lagu-lagu baharu yang diterbitkan,” ujarnya.
Jelas Syah lagi, penyanyi atau kumpulan nasyid juga perlu bijak memilih karya yang sesuai dengan peredaran masa dan senang diterima oleh peminat.
“Penyanyi nasyid perlu memilih karya. Apabila sesuatu karya itu bagus, ia pasti memberi impak kepada pendengar.
“Seterusnya, pendengar akan memintanya untuk dimainkan di radio,” tuturnya.
Lawan arus
Bercakap mengenai kreativiti dalam berkarya, single terbaharu daripada In-Team yang berjudul Dia kedengaran sedikit berbeza jika dibandingkan dengan lagu-lagu terdahulu.
Dari segi produksi, lagu ciptaan Harry Khalifah dan lirik oleh Syah tersebut sedikit condong ke arah genre rock.
“Sengaja kami memilih untuk menyanyikan lagu yang sedikit berlainan. Kami rasa, peminat juga sudah boleh menerima dengan jiwa yang terbuka.
“Lebih-lebih lagi apabila kami pernah menyertai Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2) dan diberi cabaran untuk menyanyikan pelbagai jenis lagu.
“Kami sifatkan single Dia sebagai kesinambungan terhadap kebolehan In-Team sebagaimana yang telah disaksikan peminat,” katanya sambil tersenyum.
Tegas Syah juga, biarpun lagu tersebut berentak rock balada, tetapi liriknya tetap membawa mesej yang positif kepada pendengar.
“Liriknya bercerita tentang kasih sayang dan penghargaan pasangan yang sudah berkahwin.
“Untuk ruang lingkup yang lebih luas, lagu ini berkisarkan tema kasih sayang sesama manusia secara universal,” katanya.
Berhubung kolaborasi pertama bersama Harry Khalifah, Syah menyifatkan kerjasama tersebut sebagai satu perkara yang sangat menyenangkan.
“Harry tahu apa yang kami mahu dan dia cuba untuk menggubah lagu Dia mengikut kesesuaian In-Team.
“Kami beruntung kerana Harry tidak hanya mencipta lagu, tetapi turut mempromosikannya di laman sosial supaya peminatnya juga menyokong lagu kami,” ujar Syah yang turut memuji bakat Harry sebagai komposer.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama kumpulan In-Team berkolaborasi dengan pemuzik arus perdana.
Pada tahun 2016, In-Team pernah menjalinkan kerjasama dengan DJ Fuzz dan Adik daripada kumpulan Viral bagi menjayakan lagu berjudul Ya Rabbi Ya.
Melanjutkan bicara, klip video bagi lagu Dia juga telah dilancarkan menerusi platform perkongsian video popular Youtube sejak 5 Oktober lalu.
Menariknya, klip video berkenaan menampilkan pelakon popular Norman Hakim dan juga isterinya, Memey Suhaiza.
“Kami berharap tema kasih sayang yang ingin disampaikan diterima dengan baik oleh peminat,” ujar Syah lagi.
Dalam pada itu, kumpulan In-Team yang turut terdiri daripada Muhammad Hazamin Harun (Hazamin), Hisyam Ahmad @ Ahmadiah (Hisyam) dan Abd. Rahim Osman (Rahim) itu berhasrat untuk mengukuhkan empayar mereka dalam platform digital.
“Kami mahu mendidik peminat supaya lebih terbuka untuk menggunakan platform digital. Disebabkan itu, kami melancarkan single Dia dan single-single seterusnya dalam format ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, kumpulan In-Team akan mengadakan persembahan sempena Revival Islamic Spirit (RIS) Convention 2018, di Metro Toronto Convention Centre, Kanada pada 21 dan 23 Disember nanti.
“Sebelum ini, kami pernah mengadakan persembahan pada konvensyen yang sama ketika ia diadakan di Putrajaya beberapa tahun lalu.
“Cuma kali ini agak istimewa kerana kami dijemput membuat persembahan di negara orang,” katanya menutup perbualan.