Neelofa lebar sayap ke Eropah




Neelofa menganggap sesetengah netizen hanya tahu mengecam tetapi tidak faham strategi atau apa yang sedang dikerjakan olehnya selama ini.

Barangkali, ramai yang sedar dengan perubahan ketara pada penampilan pengacara Neelofa. Dilihat kerap mengenakan turban, pengacara program hiburan MeleTOP itu juga sering tampil berani menggayakan padanan fesyen adibusana yang bersifat eksentrik.

Namun, ramai yang kurang gemar dengan imej terkini usahawan tudung itu. Buktinya, setiap kali Neelofa melaram ketika hadir ke majlis-majlis besar atau sekadar memuat naik gambar di Instagram, ada sahaja yang memberi komen berbaur sindiran terhadap apa yang digayakan.

Terbaharu, pemilik nama lengkap Noor Neelofa Mohd. Noor itu sekali lagi menjadi subjek bualan apabila topi bersaiz besar yang digayakan sewaktu ke Maldives beberapa minggu lalu tular dalam kalangan pengguna media sosial.

Biarpun kerap menerima sindiran, Neelofa bagaimanapun tidak pernah mengambil peduli hal tersebut.

Bagi wanita berusia 29 tahun itu, dia mempunyai sebab tersendiri untuk berubah angin dan mencuba sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Saya tahu, fesyen saya sentiasa diperhatikan dan khalayak akan cuba untuk menyindir, seperti saya ini bahan jenaka mereka.

“Sejujurnya, saya tidak ambil serius. Jika saya samakan diri saya dengan mereka, saya tidak akan ke mana-mana,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Lofarbag Mini di Butik Naelofar LUXE, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menurut Neelofa, dia tidak kisah digelar mangsa fesyen kerana sedar tujuan asalnya untuk bergaya sedemikian.

“Saya tahu apa yang saya buat. Ya, sepanjang proses ini, mungkin saya ada silap. Namun, saya cuba untuk memperbaikinya.

“Jika khalayak memerli dengan menggelarkan saya sebagai mangsa fesyen, saya tidak kisah. Ini kerana, mereka tidak tahu apa yang sedang saya buat,” katanya lagi.

Kongsi Neelofa, perubahan pada penampilannya terjadi kerana dia memasang hasrat untuk mengembangkan sayapnya dalam bidang fesyen dan kecantikan di peringkat antarabangsa.

“Sebab itu sekarang saya sedikit berani dan sering bereksperimen dalam berfesyen.

“Saya mahu masuk ke pasaran luar negara dan mencuba nasib dalam industri fesyen dan kecantikan di sana,” tutur Neelofa.

Terlanjur berbicara mengenai hasrat hatinya itu, Neelofa berkongsi tentang penerbangan ke Eropah bulan ini untuk menandatangani dua kontrak bersama dua agensi di sana.

“Pada 13 November nanti, saya akan ke London, England dan kemudiannya ke Paris, Perancis untuk menandatangani kontrak bersama agensi bakat di dua buah negara itu.

“Buat masa ini, saya tidak boleh bercerita lanjut mengenainya tetapi pihak agensi berkenaan akan mewakili saya di Eropah untuk membantu menembusi pasaran fesyen dan kecantikan di sana,” katanya panjang lebar.

Ditanya dengan lebih lanjut mengenai keinginannya untuk mengembangkan karier ke luar negara, Neelofa berhasrat mewakili kelompok wanita berhijab dari Asia Tenggara ke peringkat global.

“Ketika berbual dengan agensi-agensi di sana, mereka menjelaskan banyak penduduk di Asia sebagai kelompok individu yang masih belum menonjol. Bagi mereka, Asia hanyalah negara China dan mereka sendiri kurang jelas dengan negara-negara lain seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

“Jadi, apabila saya berjumpa dengan mereka dan bersembang mengenai cerita saya sebagai seorang usahawan dan anak seni, mereka tertarik untuk bekerjasama.

“Insya-Allah, jika diberikan rezeki, saya boleh lebarkan karier dalam bidang fesyen Muslimah ke peringkat yang tinggi lagi,” katanya sambil menyebut nama model Muslimah berhijab, Halima Aden sebagai individu beragama Islam yang berjaya memecahkan tabu fesyen masyarakat dunia.

Dalam pada itu, Neelofa turut sempat berkongsi mengenai pengalaman menginap di The Maruka, sebuah resort dalam laut yang dibina daripada kaca sepenuhnya.

“Saya ke sana atas undangan jenama hotel tersohor dunia, Conrad Hotels bagi menjayakan projek video kelolaan mereka.

“Sepanjang berada di sana, ada beberapa aktiviti dirakamkan sekitar pantai dan hotel The Muraka untuk tujuan promosi oleh pihak Conrad Hotels.

“Tidak hanya saya, ada beberapa individu lain dari Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah turut terlibat dalam projek ini,” katanya

Tidur dalam bilik yang bernilai AS$50,000 (RM200,000) semalam, Neelofa berkata, ia merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

“Pada mulanya, saya berasa agak takut sehinggakan saya terpaksa naikkan langsir sebelum tidur kerana bimbang ternampak hantu laut!

“Namun, ia merupakan pengalaman yang berharga. Jika diberi peluang, saya mahu tidur di sana sekali lagi,” katanya menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post