Alami kemurungan, Tasha Shilla kini okey




Tasha menyarankan kepada sesiapa sahaja yang mengalami masalah kemurungan agar berjumpa dengan individu seperti pakar kaunseling untuk mendapatkan rawatan.

Megakui mengalami masalah kemurungan sejak dua tahun lalu, pelakon Tasha Shilla mendedahkan keadaan mentalnya semakin pulih selepas mengambil inisiatif mendapatkan rawatan lanjut daripada individu yang berkelayakan.

Kata Tasha atau nama sebenarnya, Natasha Sheila Abd. Razak, 31, yang ditemui Kosmo! pada Anugerah Skrin 2018 Jumaat lalu, dia sememangnya mengalami masalah kemurungan dan bukan sengaja ingin mencari publisiti murahan hanya kerana namanya tidak lagi sepopular dahulu.

Jelasnya lagi, dia menggalakkan mana-mana individu yang mempunyai masalah sepertinya segera bertemu dengan pakar kaunseling untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku pada kemudian hari.

Mengulas tentang kerjaya seni, pelakon drama Ramadan Terakhir itu mengatakan dia tetap bekerja seperti biasa biarpun adakalanya, fikirannya masih terganggu dengan perkara bukan-bukan yang akhirnya membawa kepada masalah kemurungan. Situasi sedemikian lazimnya berlaku pada waktu malam.

KOSMO!: Tasha pernah membuat pendedahan tentang masalah kemurungan yang dihadapi sejak dua tahun lalu. Jadi, bagaimana keadaan anda sekarang?

TASHA SHILLA: Alhamdulillah, keadaan sekarang semakin okey. Sebenarnya, kebanyakan daripada kita sebagai manusia tidak sedar bahawa kemurungan itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Kadang-kadang kita menjalani kehidupan seperti biasa, namun tidak tahu tahap kesihatan mental. Justeru, saya ambil inisiatif bertemu dengan kaunselor peribadi saya, Coach Fahmi untuk mendapatkan rawatan. Sekarang, saya rasa semakin stabil dan sarankan kepada individu yang mempunyai masalah sama seperti saya, berjumpalah dengan orang yang betul dan ceritakan masalah.

Apa atau siapa sebenarnya yang membuatkan anda terbuka hati untuk mendapatkan rawatan kemurungan?

Sebenarnya sudah lama saya ingin pergi mendapatkan rawatan. Berkat sokongan daripada ibu dan diperkenalkan kepada kaunselor oleh rakan, saya kemudiannya bersetuju. Sebelum ini, saya memang suka pendam sendiri dan tidak suka bercerita tentang masalah yang dihadapi. Jadi, komunikasi amat penting bersama orang yang betul. Saya tidak sedar kemungkinan masalah kemurungan memang sudah wujud dalam diri sejak kecil. Bersama Coach Fahmi, saya melakukan rawatan termasuk hipnosis dan selepas beberapa kali, fikiran saya menjadi tenang dan aman. Ia seperti saya sudah menjumpai jawapan terhadap pelbagai perkara yang telah menjadi persoalan dalam hidup saya sebelum ini.

Jika tidak keberatan berkongsi, apakah tanda-tanda yang dialami menyebabkan anda mula sedar mempunyai masalah kemurungan?

Saya menjalani kehidupan seperti biasa. Maksud saya, bekerja dan pergi ke set penggambaran setiap hari seperti biasa. Bagaimanapun, orang tidak tahu apa yang terbuku dalam hati dan fikiran kita.

Sebelum mendapatkan rawatan, setiap malam saya tidak boleh tidur, saya fikirkan tentang banyak perkara dan wujud kebimbangan yang saya sendiri tidak tahu datang dari mana.

Setiap orang ada masalah dan kehidupan masing-masing dan seperti yang saya katakan tadi, berjumpalah dengan orang yang boleh menyelesaikan masalah anda. Paling tidak, jangan pendam sendiri dan luahkan apa yang terbuku untuk mengelakkan keadaan menjadi semakin tidak terkawal.

Sebelum ini, ada segelintir artis yang mempermainkan isu kemurungan sehingga dikecam, apa komen anda sebagai seorang yang benar-benar mengalami masalah berkenaan?

Mungkin ada yang akan label saya sebagai ‘propa’ tetapi kita sendiri yang berdepan dengan masalah diri kita dan kita sendiri yang perlu mengatasinya. Apa yang orang ingin komen, itu hak mereka kerana saya tiada kuasa untuk menghalangnya.

Kemurungan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan andai tidak dirawat, ia akan mendatangkan bahaya yang tidak terjangka. Untuk saya, alhamdulillah keadaan semakin positif dan saya ingin terus menjalani kehidupan dengan gembira.

Baiklah, apa perkembangan terbaharu anda?

Alhamdulillah, kerjaya lakonan masih berjalan dengan lancar. Drama terbaharu saya, Mimpi Sabrina untuk slot Samarinda di TV3 akan ditayangkan. Selain itu, ada telefilem Jangan Takut di Astro. Akan datang, sebuah telefilem berjudul Syaitan lakonan saya akan ditayangkan di Astro Citra.

Post a Comment

Previous Post Next Post