Calon Pengerusi Finas, Hans Isaac ada 15 manifesto




Hans Isaac sedar pemilihan dirinya sebagai salah seorang calon Pengerusi Finas yang baharu tidak disenangi sesetengah pihak.

Tempoh 22 tahun berada dalam industri, baru-baru ini timbul khabar pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac antara calon disenarai pendek bagi jawatan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Mengesahkan perkara berkenaan, Hans turut mendedahkan satu temu duga telah dijalaninya lebih sebulan lalu. Kongsi lelaki berusia 47 tahun itu juga, selain dirinya terdapat tiga lagi calon lain yang dipanggil bagi menjalani temu duga bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Ikuti temubual bersama penerbit filem Lemak Kampung Santan itu yang ditemui pada majlis pengumuman Finalis Dewi Remaja 2018/2019 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penuh optimis, lelaki itu turut memberitahu sudah menyiapkan sebanyak 15 manifesto baharu sekiranya diberi peluang menggantikan tempat pengerusi terdahulu, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib yang meletakkan jawatan pada Mei lalu.

Difahamkan Hans antara calon yang disebut-sebut akan menduduki kerusi Pengerusi Finas tidak lama lagi, adakah berita tersebut benar?

HANS ISAAC: Saya sudah menghadiri beberapa sesi temu duga bersama menteri di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM). Bukan hanya saya tetapi terdapat beberapa orang lagi menghadiri temu duga yang dibuat secara teliti. Buat masa sekarang, ahli lembaga pengarah sudah diberi surat tetapi pengumuman hanya boleh dilakukan oleh KKMM. Jadi saya harus menunggu pengumuman tersebut sebab ia bukan satu keputusan yang mudah.

Jika dilantik menerajui Finas, apakah pembaharuan yang anda akan lakukan?

Kalau saya diberi peluang untuk menjadi pengerusi, saya akan menukar 100 peratus dasar sedia ada. Saya juga sudah menyiapkan kertas kerja dan mempunyai 15 manifesto serta cara untuk menukar semua akta-akta ini. Antaranya, menjaga kebajikan artis terutamanya veteran dan meneliti balik fungsi setiap persatuan. Saya juga akan cuba mewujudkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk penggiat industri.

Sebagai antara nama yang tercalon, adakah anda berhadapan dengan pihak yang tidak berpuas hati dengan pencalonan tersebut?

Benar, saya ternampak beberapa blog yang menyatakan saya tidak sesuai untuk duduk di kerusi pengerusi kerana akan mengambil duit daripada Finas dalam setiap penerbitan teater muzikal terbitan saya. Mereka mendakwa saya tidak tahu selok-belok industri sedangkan hakikatnya saya sudah mengeluarkan berjuta ringgit duit sendiri untuk dilaburkan dalam industri.

Saya tahu penulis berkenaan dibayar oleh orang tertentu untuk menulis hal ini dan peguam saya sudah pun berjumpa dengan mereka.

Apa yang membuatkan anda tertarik untuk duduk di kerusi panas tersebut?

Sebenarnya saya sudah penat mendengar ayat, nanti kami akan buat itu atau ini. Jika diberi peluang, saya akan pastikan ayat sebegitu tidak akan keluar daripada mulut saya. Sebelum ini mereka hanya banyak bercakap tetapi tiada perubahan.

Sekiranya terpilih, adakah anda bersedia untuk meninggalkan kerja-kerja penerbitan atau terlibat secara langsung dalam mana-mana produksi kreatif?

Sudah tentu saya akan menarik diri daripada terlibat dengan industri. Syarikat saya tidak akan menjalankan apa-apa perniagaan, mungkin teater atau teater muzikal akan dilakukan tetapi ia akan menggunakan wang saya sendiri.

Adakah anda juga sudah bersedia untuk ‘dibenci’ segelintir pihak yang tidak bersetuju dengan 15 manifesto baharu tersebut?

Industri ini mana pernah suka saya, malah ada yang mengatakan saya sombong apabila tidak mahu bercampur dengan mereka. Sebenarnya, bukan tidak mahu tetapi saya mahu berkawan dengan orang yang bekerja. Saya akan buktikan anak seni pun boleh menjadi pengerusi.

Bilakah temu duga itu dilakukan dan bilakah keputusan akan diumumkan?

Temuduga itu telah dijalankan sekitar sebulan setengah yang lalu. Saya belum tahu keputusannya, buat masa ini saya ingin berehat dan fokus dengan program pencarian Dewi Remaja sebagai juri tetap.

Apa yang membuatkan anda untuk menerima tawaran juri program berkenaan?

Terus terang cakap, saya sakit hati apabila melihat ramai artis muda tidak tahu berlakon, jadi saya menyertai program ini kerana ingin mendedahkan 12 peserta terpilih tentang realiti sebenar dunia lakonan.

Post a Comment

Previous Post Next Post