Magis sedekad Afgan




Sudah namanya Afgansyah Reza, setiap tahun mengadakan konsert di Malaysia pun tidak mengapa. Alasannya, pasti tiket konsert berkenaan akan laris macam pisang goreng panas.

Begitulah aura luar biasa jejaka kelahiran Jakarta itu yang berjaya memahat utuh nama sebagai Afgan bukan sahaja di negara asalnya, malah dalam arena seni tanah air.

Tahun ini, menyaksikan genap sedekad jejaka berusia 29 tahun itu bergelumang dalam industri muzik. Justeru, tidak mahu mensia-siakan pengalaman yang sudah dikutip selama tempoh berkenaan, Afgan hadir menerusi Konsert Dekade Live in Kuala Lumpur 2018.

Tidak boleh menolak hakikat, peluang menyaksikan konsert yang berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada malam Sabtu lalu menerbitkan memori cukup indah khususnya buat peminat Afgan.

Masakan tidak, seluruh dewan yang terisi penuh dengan sejumlah 2,000 penonton ikut sama bersorak saat Afgan memulakan persembahan menerusi lagu Jalan Terus tepat pukul 9 malam.

Dia yang meniti populariti bukan sahaja sebagai penyanyi, malah penulis lirik puitis bijak memancing adrenalin penonton dengan pemilihan lagu hit seperti Katakan Tidak, Rollercoaster, Jodoh Pasti Bertemu, Knock Me Out, Bukan Cinta Biasa dan Terima Kasih Cinta.

“Konsert ini terlalu peribadi bagi saya kerana ia sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang tidak henti menyokong sejak hari pertama saya melancarkan album di sini (Malaysia).

“Malam ini saya akan membawa penonton mengikuti perjalanan karier dalam industri dan berkongsi perasaan serta pengalaman selama 10 tahun bergelar anak seni,” kongsi Afgan.

Sesungguhnya, jarum jam berputar selama dua jam 30 minit sepanjang konsert berkenaan seperti langsung tidak terasa.

Selain bijak menyusun ayat ‘berborak’ pengalaman manis dan lucu sepanjang 10 tahun, Afgan juga memilih sebanyak 21 buah lagu rangkuman perjalanan karier bermula dari album pertama Confession No. 1 pada 2008 hingga terkini yang berjudul Dekade.

“Ramai bertanya mengapa Malaysia menjadi lokasi pertama saya meraikan ulang tahun ke-10 dalam industri. Saya merancang untuk bermula pada bulan Februari lalu di Jakarta, namun ia terpaksa ditangguhkan kerana di sana sibuk dengan persiapan Sukan Asia Jakarta Palembang.

“Malaysia bagaikan rumah kedua saya, jadi saya memilih untuk meraikannya bersama anda semua pada malam ini,” tutur Afgan seraya mengundang tepukan gemuruh oleh penonton.

Dedikasi

Tidak mahu membuat penonton terasa rugi walau sedetik, tayangan montaj antara jeda masa pertukaran segmen juga menambahkan lagi rasa teruja peminat.

Bahkan, kelunakan alunan suara disertai lenggok tubuhnya dengan tarian ringkas terus membuai rasa seisi dewan.

Afgan turut mengadakan segmen penghargaan yang begitu istimewa secara duet digital menerusi lagu Bawalah Cintaku dan Percayalah bersama idolanya, Datuk Sheila Majid.

Penonton turut diruntun dengan emosi sedih saat lagu Ku Mohon berkumandang seiring mengingati tragedi tsunami Palu di Pulau Sulawesi dan nahas pesawat JT610 Lion Air yang terhempas di perairan Karawang, Jawa Barat, Indonesia baru-baru ini.

Tidak ketinggalan segmen duet istimewa bersama kumpulan hip hop dan R&B popular, Ruffedge menerusi lagu I’ll Make Love to You mencipta tarikan tersendiri. Ruffedge turut diberi mandat untuk membawakan sebuah lagu berjudul Bila Rindu yang menggamit memori terhadap zaman kegemilangan kumpulan itu suatu ketika dahulu.

Secara keseluruhan, Konsert Dekade Live in Kuala Lumpur 2018 Afgan yang diiringi The Gandarianz berlangsung dengan cukup cemerlang tanpa sebarang cela termasuklah dari segi sistem audio hingga rentak persembahan.


Post a Comment

Previous Post Next Post