Mazleela tumpu keluarga


Bagi mereka yang membesar sekitar era awal 2000-an, nama penyanyi Mazleela tentunya tidak asing lagi.

Lagunya Tabah daripada album solo kelimanya berjaya mencuri tumpuan dan kekal sebagai lagu yang menjadi identitinya.

Mula mengorak langkah sebagai anak seni pada 1995, Mazleela yang kini berusia 46 tahun sempat mengeluarkan lima album solo di samping menjadi antara penyanyi yang tampil dalam album bersama penyanyi lain.

Melihat kemunculan semula rakan seperjuangannya seperti Liza Hanim membuatkan dia terdetik untuk turut serta.

“Memang terdetik di hati untuk kembali menyanyi, tetapi banyak perkara yang perlu saya fikirkan buat masa sekarang memandangkan saya dan keluarga menetap di Johor Bahru,” katanya.





Menghabiskan banyak waktu sebagai suri rumah, Mazleela atau nama sebenarnya Mazlila Mazlan sebenarnya kerap membuat persembahan di sekitar Johor.

“Alhamdulillah, banyak undangan membuat persembahan yang saya terima di sekitar Johor dan Singapura.

“Ada juga yang mengundang saya sebagai juri pertandingan nyanyian dan diberi peluang membuat persembahan,” katanya.


Bersama suami dan dua anak.

Ibu kepada dua cahaya mata ini juga mengakui rindu akan kenangan ketika berada di bawah naungan syarikat rakaman, Suria Records (SRC).

“Saya bernaung di bawah SRC untuk jangka masa yang agak lama iaitu sejak 1995 sehinggalah tamat kontrak pada 2005. Secara tak langsung, keakraban saya dan mereka di SRC seperti keluarga.

“Jadi, memang banyak kenangan manis ketika saya masih aktif sebagai penyanyi. Bukan saja dengan penyanyi di bawah label sama, tapi juga dengan rakan eksekutif perhubungan awam (PR),” katanya.

Satu lagi kenangan yang tak dapat dilupakan adalah ketika bekerjasama dengan komposer terkenal, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.

“Saya memanggil arwah dengan gelaran Abang Dee. Dia adalah guru buat saya kerana saya masuk ke dalam industri muzik pun dengan lagu ciptaannya.

“Secara peribadi, dia orang yang sangat lucu dan suka menyakat saya. Ketika di studio untuk merakamkan lagu, dia akan minta saya dapatkan ‘mood’ lagu bermula dari bahagian korus.

“Selepas rakamkan bahagian korus, barulah dia akan rakamkan bahagian lain. Awalnya saya rasa pelik, tapi lama-lama dah tahu cara kerjanya,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post