Guna bahasa Melayu ulas filem di New York, Nam Ron bangga


Pendekatan pengarah filem One Two Jaga: Crossroads bercakap bahasa Melayu semasa sesi apresiasi selepas tayangan filem berkenaan pada New York Asian Film Festival (NYAFF) di New York, Amerika Syarikat (AS) dipuji ramai.

Sesi apresiasi yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi NYAFF pada pukul 10,45 (waktu Malaysia) tersebut, Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, 49, menjawab pertanyaan moderator dan penonton menggunakan bahasa Melayu.

“Ikut perancangan awal, saya memang mahu mengulas dalam bahasa Melayu sepenuhnya dengan menggunakan khidmat penterjemah tetapi diselang-selikan dengan bahasa Inggeris kerana merasakan terjemahan yang dibuat oleh penterjemah ada yang tidak benar-benar memberi maksud kepada ulasan saya,” katanya kepada Kosmo!.

Dipuji bahkan dikatakan bukan hanya mengangkat filem Melayu bahkan bahasa Melayu di persada dunia, Nam Ron menyifatkan perkara itu suatu praktik tidak asing bahkan sesuatu yang membanggakan.





Menurut Nam Ron, ini bukan pertama kali dia menggunakan bahasa Melayu dalam sesi apresiasi filem dan teater dalam festival di luar negara.

“Kita patut berbangga dengan bahasa kebangsaan sebagai lambang indentiti kita. Orang luar akan lebih hormat kita jika kita guna bahasa kebangsaan.

“Lagipun saya bukan penutur bahasa Inggeris, jadi apabila nak bercakap kena terjemah dalam kepala. Supaya tidak menyukarkan keadaan lebih baik guna bahasa Melayu, lagi pun memang ada penterjemah,” katanya yang sebelum ini menyertai festival di Itali dan China atas tiket filem One Two Jaga.

Selain One Two Jaga, NYFF diadakan bermula 29 Jun hingga 15 Julai turut disertai sebuah lagi filem tempatan iaitu Dukun.


Post a Comment

Previous Post Next Post