Dunia Sinema, saluran 24 jam filem tempatan


Jika dilihat pada corak tontonan televisyen masyarakat tempatan, kebanyakan daripada kita gemar menyaksikan filem-filem kegemaran menerusi saluran berbayar seperti HBO, Cinemax dan Fox Movies.

Selain mudah dan murah, saluran-saluran tersebut juga menawarkan kandungan filem pecah panggung berkualiti tinggi serta selari dengan selera pelanggan.

Terinspirasi daripada kejayaan saluran-saluran antarabangsa tersebut, penerbit popular, David Teo dengan kerjasama Unifi TV melancarkan sebuah saluran filem 24 jam baharu iaitu Dunia Sinema.

Seperti penyedia saluran filem antarabangsa lain, Dunia Sinema menjanjikan sebuah pengalaman hiburan yang menyajikan ratusan filem terbitan produksi tempatan serta rantau Asia Tenggara.

David Teo, selaku Pengendali Saluran Dunia Sinema berkata, dia melihat pelancaran saluran ini sebagai salah satu cara bagi pihaknya untuk memberikan nilai hiburan baharu terhadap masyarakat Malaysia.

“Sama seperti HBO dan beberapa saluran filem antarabangsa lain, Dunia Sinema menawarkan kandungan filem-filem tempatan yang hampir 90 peratus berbahasa Melayu.

“Selain filem-filem pecah panggung terkini, Dunia Sinema juga akan menayangkan semula naskhah-naskhah yang pernah popular suatu ketika dahulu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Dunia Sinema yang berlangsung di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya baru-baru ini.





Lesen tayangan
Tambah David, selain karya terbitan MIG, penonton juga boleh menjangkakan filem-filem terbitan syarikat produksi lain.

“Buat masa ini, syarikat produksi yang telah memberi lesen untuk tayangan filem mereka termasuklah KRU Studios dan Pencil Pictures.

“Pihak saya akan cuba memberikan yang terbaik dengan mencari lagi filem-filem berkualiti untuk tayangan penonton,” katanya yang memperuntukkan sekitar RM5 juta sebagai modal permulaan membeli lesen bagi filem-filem tempatan.

David menambah, kewujudan saluran ini dapat membuka peluang kepada pihak produksi tempatan untuk terus membikin filem pada masa akan datang.

“Apabila sudah ada saluran khas bagi menayangkan filem terbitan mereka, pasti ia memberikan motivasi untuk syarikat produksi menerbitkan lebih banyak karya.

“Apabila industri perfileman semakin meriah, pelakon dan kru belakang tabir juga boleh menjana lebih pendapatan,” katanya lagi.

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan & Operasi Media TM, Emily Wee berkata, pihaknya sentiasa komited dalam membawakan pengalaman menonton televisyen terbaik menerusi Unifi TV.

“Unifi akan terus menerajui penawaran baharu yang membawakan pengalaman berbeza buat para pelanggan kami.

“Ia termasuklah menonton kandungan hiburan di rumah atau menerusi aplikasi telefon pintar Unifi TV,” kongsinya.

Selari dengan slogan Imaginasi Tanpa Henti, Dunia Sinema membawakan filem-filem terbaik tempatan seperti Pekak, Ophilia, Adnan Sempit dan Adnan Sempit.

Mengenai naskhah dari Indonesia dan Thailand pula, penonton boleh menyaksikan filem pecah panggung seperti Ketika Cinta Bertasbih, Dalam Mihrab Cinta, Suddenly 20, May Who?, Ghost Ship dan The Couple.

Dunia Sinema boleh ditonton menerusi saluran 128 di Unifi TV.

Post a Comment

Previous Post Next Post