Revolusi Syawal Haiza Hanafi, Zarul Husin, Liza Hanim


Kembali - Liza, Zarul dan Haiza pernah melalui fasa di puncak populariti kemudian menyepikan diri atas perubahan kehidupan dan revolusi seni, kini mereka kembali mengecap penerimaan peminat apabila masing-masing membuat kemunculan semula dan seiring dalam arus hiburan tanah air.

ADA alasan kuat mengapa tiga figura seni dengan nama pentas Haiza Hanafi, Zarul Husin dan Liza Hanim dipilih untuk dibingkaikan bersama dalam edisi Aidilfitri kali ini.

Kata pengukuhnya mudah, mereka merupakan antara penghibur tanah air yang berprofil besar. Di sebalik kejayaan membina jenama tersendiri, ketiga-ketiga pelaku seni itu sebenarnya pernah melalui roda revolusi seni yang menarik untuk dikenang.

Bermula dari fasa awal kegemilangan menjadi artis, ketiga-tiga anak seni itu kemudiannya ‘berhibernasi’ seketika tanpa percikan populariti dan kini kembali kencang mewarnai industri hiburan tanah air.

Pertemuan bersama Kosmo! yang berlangsung di Hotel Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini bagaimanapun bukanlah mahu mengupas kisah perjalanan kerjaya mereka, sebaliknya ingin menyelami kemeriahan Syawal yang disambut saban tahun.

Haiza layan peminat

Memulakan berbicara, Haiza yang secara kebetulan tahun ini merupakan giliran keluarganya beraya di kampung halaman yang terletak di Benut, Johor, berkongsi cerita.

Jelas penyanyi dan penyampai radio itu, dia dan keluarga pulang ke kampung dua hari sebelum Syawal. Kemudian, pada hari raya ketiga barulah berkesempatan beraya di rumah mertuanya di Melaka.

“Seperti keluarga lain, kami juga menyediakan pelbagai juadah untuk dihidangkan kepada tetamu pada hari raya pertama. Namun, saya tidaklah bersiap beria-ia kerana rumah ibu merupakan lokasi utama untuk saudara-mara berkumpul, jadi kami menanti kedatangan tetamu sahaja,” tutur Haiza.

Tertawa besar terkenangkan kenangan sewaktu mula bergelar artis, menurut pemilik nama Rohaizah Nordin itu, boleh dikatakan semua tetamu yang datang beraya ingin berjumpa dan bergambar dengannya.

“Situasi itu masih berlaku sehingga sekarang. Setiap kali tetamu datang, mesti ibu akan memanggil saya untuk sama-sama melayan mereka. Bagaimanapun, itu bukan bermakna saya harus berhias setiap masa kerana pernah juga tetamu datang awal pagi dan ketika itu saya masih belum mandi,” katanya tertawa.

Bercerita tentang persiapan raya pula, jelas Haiza tahun ini dia menyediakan lima pasang baju raya yang dibeli secara dalam talian sahaja.

“Sejak bergelar ibu, perbelanjaan raya lebih tertumpu kepada anak dan emak di kampung. Setiap tahun saya akan pastikan keperluan ibu didahulukan. Selain itu, jika orang lain gemar memakai tema sedondon tetapi saya dan suami pula lebih suka memakai baju dengan warna yang sepadan,” jelasnya.





Kebebasan Zarul

Bagi penyanyi Zarul Husin pula, kelainan sambutan Syawal mula dirasakan sejak tahun lalu selepas keputusannya menyertai pertandingan nyanyian Gegar Vaganza musim ketiga.

Katanya, jika dahulu dia dirantai dengan jadual kerja sebagai anak kapal tetapi sekarang rutin tersebut tidak lagi berlaku selepas menjadi penyanyi dan pelakon sepenuh masa.

“Dahulu setiap kali raya, saya pasti akan tertanya-tanya sama ada permohonan cuti diluluskan atau tidak. Saya hanya akan membeli baju raya sekiranya dibenarkan bercuti, jika tidak, saya hanya akan memakai baju raya lama.

“Ini merupakan tahun kedua saya beraya sebagai anak seni sepenuh masa. Memang sudah bebas daripada jadual kerja tetapi saya akui masih menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang,” katanya.

Berkongsi pengalaman, pemilik nama penuh Zairulkefli Husin itu berkata, dia pernah berada di atas kapal terbang dari Osaka, Jepun ketika malam raya dan hanya sampai di Malaysia apabila umat Islam lain sedang menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Tambah pelantun lagu Remuk itu, dia juga pernah ditugaskan untuk bekerja pada Syawal pertama. Ketika itu, dia sempat membawa bekalan ketupat dan rendang untuk menjamu selera bersama anak kapal lain.

“Banyak perbezaan, sebab ketika menjadi pramugara, saya tidak beria-ria menyambut raya kerana cuti yang sangat terhad. Kemeriahan hari raya bagaikan tersekat.

“Tetapi sejak tahun lepas, saya sudah mula rasa bebas. Namun, saya hanya beraya di Kuala Lumpur memandangkan ibu dan bapa sudah meninggal dunia,” jelasnya.

Bercerita mengenai sambutan raya pada tahun ini, sejak tiga tahun lalu Zarul meminta isteri kesayangan, Intan Nur Fathihah untuk memasak rendang udang.

“Kisahnya, ketika itu isteri saya sengaja menghabiskan baki rempah dan udang yang ada. Disebabkan rasanya yang sedap, selepas itu selain ketupat dan ayam masak merah, rendang udang menjadi menu wajib kami setiap kali raya,” katanya tersenyum.

Fokus Liza Hanim

Berbeza pula halnya dengan penyanyi Liza Hanim. Menjadi ibu kepada empat orang cahaya mata, setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri, dia menjadi pening memikirkan persiapan raya.

Kongsinya, untuk memikirkan tema busana sedondon sahaja sudah memakan masa hampir berminggu-minggu, tambahan pula dengan jadual seni yang semakin padat sekarang.

“Tahun ini berbeza kerana masa saya bersama keluarga sangat terhad. Seperti biasa sindrom ibu-ibu setiap tahun pastinya pening kepala memikirkan soal baju raya untuk semua.

“Pilihan saya mestilah baju raya yang praktikal. Bukan sahaja nampak cantik tetapi sesuai untuk membuat kerja-kerja di dapur,” terangnya yang akan menolak sebarang tawaran kerja pada minggu pertama perayaan

Bercerita mengenai revolusi raya dahulu dan kini, wanita berusia 39 tahun itu menyifatkan fasa kehidupan yang dilalui sangat menyeronokkan.

“Ketika fasa awal kegemilangan saya dahulu, persiapan raya lebih kepada diri sendiri, kemudian ia berubah menjadi fasa berkeluarga yang sedikit kecoh dan huru-hara. Sehingga kini, persiapan raya saya masih huru-hara sebab ada keluarga yang besar, namun hal itu menyeronokkan.

“Menariknya, pada tahun ini dalam kepadatan jadual seni, saya sempat membuat biskut raya sendiri. Tujuan saya membuat kuih raya kerana ingin memberi kenangan kepada anak-anak sama seperti yang saya lalui dahulu,” katanya seraya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post