Takdir kehidupan Izreen Azminda dan Ude Wahid


Raya - Izreen bahagia dapat menyambut raya bersama suaminya, Ude di kampung halaman di Perlis dan Kedah selepas empat tahun beraya sebagai ibu tunggal.

Hampir sepuluh bulan melayari bahtera rumah tangga, pelakon Izreen Azminda mengakui melalui ujian terbesar dalam hidupnya. Dihentam tanpa henti di media sosial dan dilabel dengan pelbagai perkataan kurang manis termasuk perampas merupakan ‘hukuman’ yang diterimanya kerana bergelar isteri kedua kepada pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude.

Hukuman tersebut bertambah berat selepas Ude, 30, menceraikan isteri pertamanya, Intan Liana Saleh. Bicara netizen pada waktu tersebut seolah-olah mereka duduk sebumbung dengan pasangan itu, walhal masalah sebenar dalam rumah tangga hanya diketahui oleh mereka dan keluarga sahaja. Sebagai manusia biasa, mereka juga berasa marah apabila maruah diri dipijak-pijak. Izreen, 33, bagaimanapun memilih untuk memaafkan sesiapa sahaja yang lempar kejian ke mukanya.

“Sebagai manusia, bohonglah jika saya tidak berasa marah apabila orang kecam macam-macam. Namun, saya memilih untuk memaafkan, melupakan dan reda. Jika saya memaafkan orang masa tengah marah, hikmahnya hati akan tenang. Mahu salahkan orang ramai pun tidak boleh kerana sudah lumrah masyarakat kita yang cepat menjatuhkan hukuman sebelum tahu cerita sebenar.

“Kalau boleh cukuplah, saya tidak mahu lagi bercakap tentang perkara ini. Kita tidak boleh tutup mulut orang. Saya tetap menjalani kehidupan seperti biasa. Saya juga anggap kecaman ini bersifat sementara kerana banyak lagi isu lebih penting untuk difikirkan. Buat masa ini saya reda dan sabar,” tutur Izreen membuka bicara ketika ditemui pada sesi fotografi di kediamannya baru-baru ini.

Ude yang setia di sisi turut meluahkan kepedihan apabila ada pihak turut mengaitkan keluarganya, termasuk arwah bapanya yang telah meninggal dunia ketika kontroversi rumah tangganya sedang hangat diperkatakan. Tidak mahu memanjangkan isu tersebut, Ude mengharapkan perkara berkenaan segera berakhir, sementelah hubungannya dengan bekas isteri juga baik demi dua orang anak lelaki mereka.

“Untuk orang di luar sana, fikir dulu sebelum mengeluarkan kata-kata kerana anda semua tidak tahu apa masalah sebenar yang berlaku dalam keluarga kami. Tidak salah mahu memberi nasihat, tetapi bukannya dengan cacian.

“Kesabaran seseorang ada batas, jika terlalu didesak saya juga harus melindungi diri dan keluarga. Kami semua sudah meninggalkan kisah silam dan kini mempunyai kehidupan masing-masing. Saya harap netizen juga begitu,” kata Ude.

Dikenali satu Malaysia secara tiba-tiba kerana berkahwin dengan Izreen juga bukan pilihan Ude. Tidak biasa menjadi perhatian orang ramai pada peringkat awal kontroversi rumah tangganya meletus, Ude mengakui berasa tertekan.

“Bayangkan sebelum ini orang langsung tidak mengenali saya. Secara tiba-tiba satu Malaysia kenal saya dengan cara tidak elok dan jadi bahan kecaman. Mulanya memang tertekan, namun lama-kelamaan sudah terbiasa dengan situasi tersebut. Masih saya ingat, awal-awal dahulu jika hendak beli barang saya akan ke tempat yang tidak ramai orang.

“Sekarang, jika ada orang pandang sinis, saya tidak kisah kerana sudah lali. Setakat ini, jika keluar tidak ada pula orang marah di depan saya atau Izreen, malah ramai yang tegur dan mahu bergambar,” kongsi Ude.

Disoal dari manakah kekuatan sebegitu hadir sementelah jutaan netizen meluahkan kebencian terhadap perkahwinan mereka, ringkas jawab Izreen. Meskipun pernah berasa jatuh ke cerun yang paling dalam, sokongan rakan-rakan, keluarga dan saling bergantungan bersama suaminya, tanpa sedar menjadikan mereka kuat.

“Kami saling menyokong antara satu sama lain dan paling penting mohon doa kepada Allah. Jodoh ini datangnya daripada Allah. Suka atau tidak, itulah jalan hidup yang telah tertulis untuk saya,” luah Izreen.





Hikmah

Sungguhpun kehidupan rumah tangga Izreen dan Ude berjalan dengan tenang dan bahagia, namun kerjaya seninya mengalami perubahan yang begitu ketara. Gara-gara kontroversi rumah tangga, tawaran lakonan semakin berkurangan. Berlapang dada dengan perkara tersebut, Izreen tidak menyangka rezeki hadir dalam bentuk lain apabila dipilih sebagai duta produk pencuci solekan, Magika Argan Cleansing Flakes.

“Saya akui kerjaya lakonan sedikit terjejas, tetapi semakin okey. Rezeki Allah itu luas, tahun ini dalam sejarah saya tiada drama raya, kecuali terlibat dalam program televisyen. Namun, sepanjang Ramadan ada beberapa buah drama lakonan saya bersiaran di televisyen.

“Tawaran lakonan masih ada, tetapi tidak banyak seperti dahulu. Harap selepas kontroversi reda, saya akan kembali berlakon seperti biasa. Mungkin sudah rezeki dalam keadaan orang menghentam, saya dilantik sebagai duta produk,” ujar Izreen.

Lebih tiga bulan tidak ke set penggambaran dan menjadi suri rumah sepenuh masa merupakan suatu rutin yang tidak pernah dibayangkan Izreen. Melihat dari sudut positif, terhadap hikmah di sebalik semua yang berlaku. Selain dapat menunaikan tanggungjawab sebagai isteri, tempoh tiga bulan tersebut adalah rehat paling panjang buatnya sejak 12 tahun menjadi pelakon.

“Sebelum ini saya seorang yang kuat bekerja dan sekarang kehidupan bertukar 360 darjah. Selama tiga bulan ini saya dapat habiskan masa dengan keluarga dan anak. Jujurnya, saya seorang yang sangat jarang ke dapur kerana sibuk bekerja.

“Jadi, ini memang masa yang sesuai untuk berehat kerana saya dapat fokus kepada suami dan anak. Saya tidak pernah ragu atas perancangan Tuhan.

“Alhamdulillah sekarang saya semakin cekap ke dapur walaupun mendapat bantuan daripada internet,” tutur Izreen dalam tawa.

Raya pertama

Berbicara tentang sambutan Syawal, pelakon yang popular dengan drama Ahli Mesyuarat Tingkap itu cukup teruja untuk menyambutnya bersama suami selepas empat tahun beraya sebagai ibu tunggal. Sambutannya juga bertambah meriah, kerana selain anak Izreen, Muhammad Adrian Umar, 5, keluarganya bertambah dengan kehadiran anak tiri, Arish Muqri, 4, dan Ariq Muqri, 2.

“Memang teruja kerana dahulu fikir diri dan anak sahaja. Sekarang banyak yang harus difikirkan seperti suami, anak-anak dan keluarga kedua-dua belah pihak. Semakin sibuk, tetapi saya bersyukur dengan kehidupan sekarang,” kata Izreen.

Menurut Izreen, tahun ini mereka sekeluarga beraya di kampungnya di Kangar, Perlis dan Jitra, Kedah, manakala kedua-dua anak tirinya beraya dengan ibu mereka.

“Tahun ini kami balik ke kampung saya di Perlis dan Kedah. Tahun depan giliran kampung suami di Johor.

“Anak saya Adrian pula menghabiskan masa bersama bapanya seminggu sebelum raya. Setiap tahun memang itulah rutinnya,” ujar Izreen.

Menyentuh tentang makanan kegemarannya pagi raya kata Izreen, selain kuih semperit, nasi minyak, ayam masak merah, rendang dan ketupat adalah menu wajib buat keluarganya

“Jika di Kedah nasi minyak bukan dimakan sewaktu kenduri sahaja, tetapi wajib pada pagi raya. Selain dimakan dengan ayam masak merah turut dihidangkan adalah rendang dan daging masak hitam,” kongsinya.

Sebelum menutup bicara, Izreen mengharapkan bulan Syawal yang penuh keberkatan memberi sinar bukan sahaja buatnya sekeluarga, tetapi seluruh umat Islam.

“Saya menghimpunkan sepuluh jari memohon kemaafan andai ada melakukan sebarang kesilapan tanpa disedari. Selamat hari raya buat semua,” ucap Izreen.

Biarpun perkahwinan pelakon Izreen Azminda dan suaminya, Ude tidak direstui oleh segelintir netizen, mereka reda. Menjadi mangsa kecaman, jelas Izreen terdapat hikmah di sebalik ujian terbesar dalam kehidupannya itu. Cinta membuatkan mereka tidak mati semangat dan kalis kecaman. Justeru,kehadiran Syawal ini juga diharapkan membuka lembaran baharu dalam kehidupan mereka.

Post a Comment

Previous Post Next Post