Yuna yang dahulu masih ada


Tahun ini, buat pertama kali Yuna beraya sebagai isteri di sisi suaminya, Adam Sinclair.

Baru sekitar lima bulan bergelar isteri kepada lelaki bernama Adam Sinclair, penyanyi yang menempa nama di Amerika Syarikat (AS), Yuna mengakui kehidupannya kini semakin bahagia dengan kehadiran seorang lelaki bergelar suami.

Bagaimanapun, ditebak persoalan berkaitan perihal mendapatkan cahaya mata, Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai, 32, berkata, dia menyerahkan semuanya kepada urusan Tuhan, sementara ingin terus fokus mengembangkan sayap sebagai seorang penyanyi di bumi Uncle Sam termasuk di Malaysia.

Pertama kali menyambut lebaran sebagai isteri, pelantun lagu Lelaki itu berkongsi pengalaman menyambut 1 Syawal sewaktu berada di lapangan terbang di Jepun ketika transit dari Los Angeles, Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, menggalas peranan sebagai duta Pantene untuk kempen Wanita Besi, Yuna mendedahkan bukan mudah mencapai kejayaan pada awal kemunculannya sebagai seorang penyanyi. Katanya, dia pernah diminta untuk menanggalkan hijab kerana ada pihak yang menganggap fesyennya ketika itu tidak komersial.

Bercakap tentang hal kerjaya, Yuna bakal muncul dengan album Inggeris terbaharu sekitar hujung tahun ini yang mengetengahkan jenis muzik yang sedikit berbeza daripada album-album terdahulu.

KOSMO!: Boleh ceritakan peranan Yuna sebagai duta kempen terbaharu Pantene yang diberi nama Wanita Besi tersebut?

YUNA: Sangat teruja. Sudah banyak kali saya menjadi duta produk namun menjadi duta Pantene untuk kempen Wanita Besi seronoknya lain macam.

Bagi saya, untuk menjadi wanita besi, ia harus bermula daripada dalaman diri. Setiap wanita mempunyai cerita yang berbeza untuk dikongsi. Dalam filem pendek Wanita Besi ini, saya berkongsi cerita yang jarang didedahkan kepada umum iaitu berkaitan kisah pegangan hijab saya.

Apa maksud anda cerita berkaitan pegangan hijab yang jarang didedahkan kepada umum?

Maksud saya, jalan cerita filem pendek tersebut berkisarkan kehidupan saya sejak kecil sehingga sekarang. Saya sebenarnya malu berkongsi kisah lama kerana ketika kecil saya jenis kanak-kanak yang suka berangan-angan, tulis lirik ketika di bilik darjah sehingga dimarahi guru.

Bukan itu sahaja, apabila sudah besar dan ingin berkecimpung dalam dunia nyanyian, saya menerima banyak halangan. Halangan terbesar apabila ada pihak yang menyuruh saya menukar penampilan iaitu membuka tudung sekiranya ingin pergi jauh dan menjadi seorang artis. Bagaimanapun, saya bangga tanpa perlu mengikut telunjuk mereka, kini, saya mampu berada pada kedudukan sekarang.

Baiklah, boleh kongsi sedikit pengalaman pertama anda beraya sebagai isteri?

Pengalaman pertama sebagai isteri biasa-biasa sahaja dan agak ringkas. Saya sampai di Malaysia sedikit lambat kerana ketika raya pertama, saya transit di lapangan terbang di Jepun. Sampai di Jepun, belek-belek Instagram orang lain semua sudah muat naik gambar cantik-cantik dengan orang tersayang sementara saya di masih di negara orang. Bagaimanapun, semua berjalan lancar selepas itu. Saya dapat beraya di kedua-dua rumah belah keluarga dan mertua di Shah Alam.

Dalam pada itu, saya juga sempat membawa suami (Adam) beraya di kampung nenek belah ibu dan bapa saya di Sayong dan Batu Gajah di Perak. Seronok kerana ia merupakan pengalaman pertama Adam beraya dalam suasana kampung sementelah sebelum ini dia tidak pernah merasai pengalaman sebegitu kerana membesar di bandar.





Maaf bertanya, barangkali terlalu awal untuk bercerita tentang perancangan menimang zuriat, apa komen anda tentang hal tersebut?

Buat masa sekarang, memang tidak merancang. Kalau ada rezeki, kami tidak akan tolak. Sekarang ini masing-masing utamakan kerjaya terlebih dahulu kerana saya tidak mahu, apabila sudah ada anak nanti, saya masih terlalu tekun bekerja. Hujung tahun ini, album studio terbaharu akan dilancarkan. Jadi, saya harus bijak mengatur masa dan kehidupan.

Baiklah, boleh anda perincikan mengenai album berkenaan?

Album berkenaan sudah 80 peratus siap. Acuannya sedikit berbeza kerana muziknya agak rancak. Insya-Allah sebelum album dilancarkan, akan ada single dilancarkan terlebih dulu. Album ini keseluruhannya mengandungi lagu Inggeris. Kalau album sebelum ini kebanyakan lagu ditulis sendiri, kali ini saya terbuka menerima idea daripada penulis lirik lain, namun masih bekerjasama dengan penerbit dan komposer sama yang terlibat dalam album terdahulu seperti Robin Hannibal.

Soalan terakhir, apa yang anda boleh katakan apabila ramai menginginkan ‘Yuna yang dahulu’. Maksud saya, Yuna yang melakukan persembahan bermain gitar berbanding sekarang?

Itu adalah proses kematangan dalam kerjaya saya. Saya bukan seorang gitaris yang baik terutama apabila menyanyi kerana bukan mudah untuk mengawal vokal. Yuna 10 tahun lalu masih ada cuma sekarang dia ingin melakukan sesuatu yang baharu. Mungkin perkara baharu seperti menari dan sebagainya kerana dia amat sukakan seni. Rasanya peminat sebenar akan faham apa yang saya cuba lakukan. Yuna yang lama ‘kool’ dan masih ada, cuma berilah saya ruang untuk mengekspresikan diri mengikut kehendak sendiri.

Post a Comment

Previous Post Next Post