Radin Era teringat arwah ayah


Biarpun pemergian arwah bapa Radin sudah berlalu lebih tujuh tahun, bagaimanapun saat indah bersama arwah ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri masih tersemat di dalam hati dan segar di benak fikiran pemuda ini.

Jelas figura berusia 28 tahun ini arwah bapa merupakan insan paling teruja dalam menyambut kehadiran bulan Syawal.

“Semestinya momen beraya bersama arwah ayah yang telah kembali ke rahmatullah pada 18 Oktober 2010 akan saya ingati.

“Sebab arwah ayah orangnya begitu teruja bila menjelang hari raya. Semua persiapan arwah akan selesaikan satu persatu.

"Arwah juga wajib tolong mama untuk sama-sama masak rendang ayam,” kata Radin kepada Sinar Harian.

Memasuki tahun keempat menyambut lebaran sebagai penyampai radio di stesen ERA, pemenang Penyampai Radio Popular pada Anugerah Bintang Popular (ABP2017) ini turut berkongsi suasana hari raya dari konti.





“Sepanjang berkhidmat sebagai penyampai radio, sudah dua kali saya beraya di konti dan dua kali juga dapat cuti sempena raya. Alhamdulillah.

”Cakap fasal beraya di konti pula, tahun pertama memang sedih. Tapi bila dah masuk tahun keempat ini benda tu dah lali.

“Paling sedih bila malam raya sebab kena bekerja sambil putarkan lagu dan dengar orang buat ucapan raya, bermaaf-maafan,” ujarnya perasaan bercampur baur.

Kata Radin selain berpakaian tema raya, aktiviti bersalaman antara adik-beradik merupakan momen yang mencuit hatinya.

“Selain pakai baju raya sedondon, saya dan adik-beradik akan gelak besar bila masing-masing mohon maaf satu sama lain.

“Siap boleh cakap, lepas ini buat salah balik, tak guna pun minta maaf,” katanya mengakhiri perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post